25 Ogos 2013

EO TIDAK MEMBANTU PERANGI JENAYAH, HANYA KETAGIHAN POLIS MALAYSIA

EO tak membantu perangi jenayah, polis “ketagih” dengannya, kata Peguam Negara



Buat pertama kalinya, peguam utama Putrajaya secara umum mengatakan tahanan tanpa bicara gagal mengekang jenayah sejak zaman dahulu namum polis menggunakannya kerana mereka "ketagih" dengannya.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) berkata kebanyakan suspek yang ditahan tanpa bicara akan dibebaskan namun tidak meningkatkan tahap keselamatan awam.

"Ini kerana tahanan kembali kepada aktiviti lama mereka selepas dibebaskan," katanya kepada The Malaysian Insider selepas satu forum pencegahan jenayah semalam di Petaling Jaya.

Beliau bagaimanapun berkata kebergantungan polis terhadap Akta Ordinan Darurat (EO) untuk menahan penjenayah tegar kerana mereka "ketagih" dengannya.


Sejak menghentikan penggunaan EO, Bukit Aman menggesa penggunaan semula akta itu yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menggesa pengenalan akta serupa bagi mengekang jenayah yang semakin meningkat di negara ini.

Sejak Mei, 35 kes tembakan dilaporkan diseluruh negara yang mengorbankan 24 nyawa.

Melalui penggunaan semula EO, tahanan boleh ditahan di pusat tahanan sehingga dua tahun.

Menteri Dalam Negeri boleh memperbaharui arahan penahanan selama dua tahun dan meneruskan kitaran berkenaan tanpa henti.

Gani berkata kepada forum pihak berkuasa perlu memadamkan rekod tahanan tiga bulan selepas mereka dibebaskan daripada pusat tahanan di bawah EO dan ia bermakna tiada sebarang tindakan boleh dilakukan pihak polis.

"Kita akan kekalkan akta itu jika kita contohnya mengekalkan cap jari mereka," katanya, merasionalkan alasan tidak menerima pengenalan akta pencegahan.

Mengaitkan bagaimana EO menjadi seperti hari ini, Gani berkata ia tidak melalui Parlimen dan tidak pernah berniat untuk digunakan secara kekal.

"Ia diluluskan Agong atas nasihat badan eksekutif berikutan insiden rusuhan 13 Mei pada 1969," katanya.

"EO diperkenalkan untuk memenuhi keperluan semasa kerana berlaku kehilangan nyawa dan harta selama beberapa hari berikutan insiden 13 Mei," katanya.

Gani menambah, tahanan EO pada ketika itu berdepan pendakwaan di mahkamah dengan memfailkan writ habeas corpus dan Pejabat Peguam Negara perlu respon.

Katanya, walaupun selepas penarikan balik EO pada 2011, tiada bukti daripada 1,567 kertas penyiasatan yang diserahkan dilakukan oleh bekas tahanan.

Gani berkata terdapat banyak lagi undang-undang, termasuk Kanun Keseksaan yang boleh digunakan untuk menahan dan mendakwa pesalah.

"Kita perlu menggunakan akta sedia ada untuk menghukum penjenayah ganas seperti Botak Chin dan lanun di Sabah pada masa itu," katanya.

Wong Swee Chin atau dikenali sebagai Botak Chin adalah antara penjenayah ganas dan berbahaya pada 1960 dan 1970 di Malaysia. Dia dikenali dengan rompakan pada siang hari, termasuk kes melibatkan jumlah wang yang besar.

Gani juga percaya dengan prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan cara terbaik menguruskan suspek adalah melalui pendakwaan di mahkamah.

"Akta pencegahan adalah melanggar hak asasi manusia dan kebebasan sedangkan Perlembagaan Persekutuan menetapkan ianya perlu dipelihara," katanya, dan menambah komuniti antarabangsa memuji tindakan Malaysia memansuhkan EO dan juga Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan