03 Jun 2013

Panas! Ucapan Agong dibuat oleh BN, dakwa Anwar


PETALING JAYA, 3 Jun — Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, titah yang di-Pertuan Agong yang menggesa rakyat di negara ini menerima keputusan Pilihan Raya 2013 disediakan Jabatan Perdana Menteri (JPM), dan Pakatan Rakyat (PR) jelasnya bersedia menerangkan pendirian mereka berhubung protes menolak keputusan pilihan raya 5 Mei lalu.

Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menitahkan pada Sabtu, semua pihak, tanpa mengira kaum dan kepercayaan, menyokong usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membaik pulih semula persefahaman kebangsaan.

“Kita tahu sistem Perlembagaan di negara ini, ucapan Yang di-Pertuan Agong dibuat Jabatan Perdana Menteri, kemudian disahkan oleh perdana menteri, seterusnya dihantar oleh Pejabat Perdana Menteri untuk pertimbangan Agong,” kata Anwar (gambar) kepada pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Menurut Anwar lagi, PR juga bersedia menulis warkah bagi menjelaskan tindakan mereka kepada Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah serta menerangkan penipuan dan kecurangan yang berlaku dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kalau perlu kita boleh tulis warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, menerangkan kecurangan dan keterlaluan dalam sikap SPR, serta kemuki bukti penipuan yang nyata.

“Kami menghargai kenyataan oleh Agong, namun ucapan itu disiapkan kerajaan,” katanya.

Dalam titahnya, Seri Paduka mahu agar prinsip-prinsip seperti demokrasi berparlimen yang sihat dan matang, Raja Berpelembagaan sebagai teras kestabilan nasional, menghormati falsafah Persekutuan, meraikan kepelbagaian, menjunjung keluhuran Perlembagaan dan memuliakan kedaulatan undang-undang dijadikan teras panduan kepada proses itu.

“Dalam menjunjung kasih Agong, bahawa ucapan itu dikemukan kerajaan persekutuan, namun dalam perbahasan kita akan jelaskan pendirian kita,” tambah Anwar. ~ Sumber


Berita lain:


Pakatan menyokong himpunan ‘Blackout 505’ di KL pada 15 Jun

PETALING JAYA, 3 Jun — Himpunan membantah keputusan Pilihan Raya 2013 akan diadakan pada 15 Jun depan di Kuala Lumpur, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).

Anwar berkata, pihaknya juga akan mengadakan rundingan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi tujuan berkenaan.

“Kita juga telah memutuskan untuk menyokong inisiatif mengadakan himpunan aman di Kuala Lumpur pada petang 15 Jun akan datang.

“Pihak jawatankuasa sekretariat dan wakil-wakil NGO akan meneliti semua aspek dan akan berunding dengan Ketua Polis Negara dan pihak keselamatan supaya perjalanannya itu terjamin aman dan terkawal,” kata Anwar ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Sementara itu, mengulas berkenaan perbincangan mengenai penyertaan wakil pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) mengenai penambah baikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jelas Anwar tidak akan berlaku sehingga pengerusi dan timbalan pengerusi SPR meletakkan jawatan.

Ketua Pembangkang itu menegaskan, penubuhan PSC itu adalah cubaan untuk mengalih perhatian penipuan yang dibangkitkan mereka, dan juga tindakan pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang tidak kompeten.

“Barang rompakan itu serah dulu, baru kita cerita,” kata Anwar merujuk kepada penipuan yang berlaku dalam pilihan raya 5 Mei lalu.

“SPR perlu letak jawatan, tidak kompeten, jangan cuba menipu lagi seperti kes selepas Bersih, buat PSC, kemudian menipu kami lagi,” tegasnya.

Sejak pengumuman keputusan Pilihan Raya 2013, PR telah menganjurkan beberapa diri Himpunan “Blackout 505” di seluruh negara menolak keputusan pilihan raya.

Penganjurnya, Datuk Johari Abdul turut berkata himpunan berkenaan akan terus dijalankan walaupun Yang Di-Pertuan Agong telah menitahkan agar setiap rakyat menerima keputusan pilihan raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan