04 Jun 2013

Mengapa Saifuddin Di Pilih Sebagai Pegawai Perhubungan Politik Selangor Tersebar





SHAH ALAM - Pemilihan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pegawai Perhubungan Politik Selangor dianggap tepat berdasarkan pengalamannya dalam bidang politik dan tidak perlu dipertikaikan.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, peranan Saifuddin juga mampu menyatukan komponen Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.

“Saifuddin ialah individu yang rapat dengan ketiga-tiga komponen PR (PKR, Pas dan DAP) oleh yang demikian posisi beliau sebagai 'political liaison' di Selangor adalah pilihan tepat.

“Walaupun bukan anak jati Selangor tetapi beliau mampu menyelesaikan pergeseran antara komponen PR Selangor atas kapasitinya sebagai Setiausaha Agung PKR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan PKR Selangor mempersoalkan tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung pelantikan Saifuddin sebagai Pegawai Perhubungan Politik tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Menurut Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei, MPN mahu tahu terlebih dahulu mengenai skop jawatan kerja itu dan mengapa orang politik seperti Saifuddin boleh dilantik memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Pelantikan Saifuddin diumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR ke-9 di Petaling Jaya, minggu lalu.

Sementara itu Abdul Khalid dalam ucapan ketika kongres itu mengakui kelemahan tidak bijak dalam berpolitik, justeru mengumumkan penubuhan satu 'political liaison' di pejabat menteri besar.

Menteri besar itu berkata, penubuhan 'political liaison' akan mengendalikan hal ehwal politik dalam negeri dan mereka yang dilantik akan terdiri daripada individu yang pakar dalam lapangan tersebut.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata, pakatan pembangkang berdepan beberapa isu dan pertikaian antara beberapa pemimpin mereka yang boleh menjejaskan kepimpinan sejak Selangor sejak memenangi negeri itu pada PRU13 yang lepas.

Beliau turut tidak menolak kenyataan bahawa posisi yang digalas Saifuddin ini agak berat kerana perlu menjadi orang tengah yang neutral.

“Sewajarnya tidak perlu wujud persoalan mengapa bukan anak tempatan atau kenapa jawatan ini dipilih daripada PKR bukan parti lain.

“Pada saya, figura ini (Saifuddin) adalah individu yang paling layak dan mereka perlu menghormati beliau sebagai ‘orang tengah',” katanya.


Sementara itu Pelantikan Saifuddin : Terima dengan positif oleh rakan pakatan


SHAH ALAM - Pelantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pegawai Perhubungan Politik Selangor, bertujuan menyelaras pemikiran setiap komponen untuk menjadikan Pakatan Rakyat (PR) Selangor negeri kuat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, pimpinan komponen PR Selangor terutama Pas menerima dengan positif pelantikan Saifuddin itu sebagai satu penambahbaikan bagi mengukuhkan lagi pentadbiran.

“Pas Selangor tidak berdepan sebarang masalah dengan jawatan baru ini kerana menteri besar juga berjanji akan melantik pimpinan Pas dan DAP dalam kapasiti sama.

“Kewujudan jawatan itu adalah baik sebenarnya dalam menentukan penyelarasan pemikiran antara Pas, PKR dan DAP,” katanya ketika mengulas mengenai pelantikan Saifuddin.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Selangor berkata, pelantikan Saifuddin adalah relevan kerana Selangor sebagai negeri contoh yang membuktikan ketiga-tiga komponen parti sama kuat dan bekerjasama.

“Jawatan sebagai Pegawai Perhubungan Politik Selangor berfungsi sebagai penjalin hubungan politik. Ia berperanan menangani isu-isu politik yang dihadapi di dalam negeri Selangor untuk ketiga-tiga komponen duduk berbincang bersama menyelaras pemikiran setiap komponen untuk menjadikan PR Selangor negeri kuat,” katanya.

Sementara itu mengulas perkara sama, Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, jawatan itu adalah perkara lazim dalam perkembangan politik untuk memperkukuh institusi menteri besar.

“Jawatan ini adalah sebagai perhubungan antara parti dan ia perlu ada dalam sesebuah negeri untuk menyelesaikan beberapa perkara yang melibatkan ketiga-tiga komponen,” katanya.

Bagaimanapun, Suee Lim yang juga Adun Sekinchan memaklumkan komponen PR Selangor masih belum jelas fungsi dan bidang tugas jawatan baru berkenaan.

“Kita masih menunggu fungsi sebagai tugas tersebut. Bagaimanapun, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pastinya ada sebab kukuh untuk berbuat demikian,” katanya. ~SH



Tiada ulasan:

Catat Ulasan