22 Mei 2013

TERHANGAT ! 'Kabinet Najib sikit atas dari Ahmad Nisfu'



ALOR SETAR: PAS menyifatkan kabinet Datuk Seri Najib Razak yang dibentuk dengan undi popular 47 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, bukan sahaja kabinet minoriti tetapi juga mirip 'kabinet Ahmad Nisfu' dalam cerita Tiga Abdul yang turut dibintangi Allahyarham P.Ramlee.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, oleh hal yang demikian, Najib dan menteri-menteri kabinetnya perlu sedar, jangan terlalu berlagak atau angkuh dengan kuasa yang mereka ada kerana majoriti rakyat bukan lagi bersama BN.

"Alhamdulillah kita dapat 52 peratus sokongan pada PRU13 lalu. Dia (BN) dapat 47 peratus sahaja. Ahmad Nisfu dan Saleh Kamil 20 percent, kabinet Najib ini kabinet 47 percent sikit atas pada Ahmad Nisfu," katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 50,000 orang yang hadir pada Himpunan Black505 peringkat negeri Kedah malam tadi yang dipengerusikan Datuk Johari Abdul.

Program yang berlangsung di Kompleks PAS Kota Sarang Semut itu juga turut dihadiri pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Selain mereka, turut hadir adalah Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, AJK PAS Pusat Dr Hatta Ramli, Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Ajak Mukhriz debat

Dalam ucpannya juga, Mahfuz yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah menyelar sikap Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir yang melarang himpunan ini diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim.






Katanya, alasan yang diberikan Mukhris kononnya himpunan ini hanya sarat dengan fitnah dan menimbul ketegangan, hanya tuduhan jahat terhadap Pakatan Rakyat.

"Dia kata himpunan ini cuba menimbulkan fitnah, cuba menimbulkan ketegangan, akan menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan

"Ini bukan fitnah, bukan dakwaan kosong, ini fakta, semua orang tengok begitu teruknya berlaku penipuan (dalam PRU13 lalu).

"Saya bukan cabar Datuk Mukhriz, nanti orang kata saya sombong, tapi kalau dia kata dakwaan saya dan pimpinan Pakatan Rakyat ini berbaur fitnah, ayuh buat forum terbuka debat antara saya dengan dia di bandar Alor Setar," tegasnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan