30 Mei 2013

BUDAYA BODEK...MENEBAL DALAM PAS?


Persoalan Kota Damansara: Pengajaran Yang Perlu Diambil

Oleh kerana banyaknya tulisan yang membincangkan isu Kota Damansara (KD) sedang tersebar melalui blog, komuniti online, laman sosial dan sebagainya; dan sebahagian besar darinya diselitkan fakta dogengan dari penglipur-lara, maka saya rasa terpanggil untuk menulis respon terhadapnya. Ini adalah untuk menyelamatkan sahabat-sahabat yang bersifat lurus dari tertipu dengan fakta-fakta dogengan sehingga memanjang-manjangkan fakta tersebut dan dengan itu mendapat dosa kering.

Saya menulis respon oleh kerana mengambil kira dosa yang mungkin akan ditanggung mereka yang lurus ini dan bukan untuk membela diri semata-mata kerana seperti selalu, saya amat berterima kasih atas ‘pahala subsidi’ yang dihasilkan untuk saya oleh golongan-golongan penglipur-lara ini. Dulu ini juga yang saya alami apabila berhadapan dengan bekas Pesuruh Jaya PAS Selangor yang ingin gagalkan PR. Terdapat orang sama juga yang terlibat dan perkara yang sama seolah berulang kembali. Walaubagaimanapun, kesudahan kepada kisah penglipur-lara ini masih belum tamat dan insyaAllah akan dapat kita saksikan bersama.

Saya akan keluarkan respon saya secara berperingkat. Pertama berhubung strategi, kedua dari sudut akhlak jamaah Islam; ketiga berhubung 2 kawasan contoh dan keempat kisah dogeng berhubung KD. Harap tunggu semua tersiar, baca kesemuanya, baru respon sekiranya mahu.

Pada bahagian keempat penulisan ini saya akan cuba senaraikan fakta dogengan penglipur-lara rekaan golongan ini. Amatlah mendukacitakan apabila dilihat sebahagian dari mereka terdiri dari golongan yang berlatarbelakangkan Agama Islam. Sepatutnya mereka inilah yang menasihati golongan pereka cerita untuk berhenti dari menabur fitnah.

1) BERTANDING DI KOTA DAMANSARA DARI SUDUT STRATEGI

Ketepatan dan kebijaksanaan di sebalik sesuatu keputusan atau strategi biasanya akan dapat dibaca sebaik sahaja ianya dilaksanakan dari kesan dan natijah yang terhasil. Sebagai contoh mudah, keadaan seorang pemandu yang apabila tiba di simpang tiga tidak tahu hendak ke kiri atau ke kanan. Beliau membuat keputusan untuk ke kanan dan selepas setengah jam memandu mendapati keputusannya tersilap! Dari Kajang nak ke KL tiba-tiba baru disedari menuju ke Seremban! Beliau bukan berada di tempat yang ditujui, malahan semakin jauh. Natijahnya adalah bukti keputusannya silap.

Berdasarkan natijah yang tercapai, hakikat bahawa pertandingan tiga penjuru di Kota Damansara adalah satu kesilapan pasti diakui oleh semua yang bersikap objektif dan terbuka, yang melihatnya dari sudut yang tepat, terpisah dari sebarang perkiraan peribadi.

Hakikatnya, hasil dari tindakan ahli PAS di Kota Damansara bertanding setelah PKR menurunkan Dr Nasir sebagai calonnya, natijahnya tiada satu pun yang baik. Kecuali, dapat memuaskan nafsu golongan yang teringin sangat bertanding.

Mari kita lihat pada natijahnya secara objektif dan jawab sendiri samada tindakan tersebut lebih maslahahnya atau mafsadahnya bagi PAS. Maka apakah natijah-natijahnya? Ianya seperti berikut:

i) Kerusi Kota Damansara jatuh pada UMNO/BN.Rakyat ingin menolak UMNO/BN tetapi tindakan PAS menyebabkan pengundi-pengundi Kota Damasara terpaksa menerima UMNO/BN sebagai yang mewakili mereka. Dari sudut ini kita telah khianati kehendak rakyat dan kehendak Pakatan Rakyat sendiri. Sedangkan UMNO adalah saingan utama PAS dan memenangkan UMNO merugikan PAS.

ii) Hubungan PKR dan PAS menjadi tegang dengan tersiarnya kenyataan tegur-menegur yang dieksploitasi akhbar. Hubungan di Kota Damansara sendiri sudah pasti rosak dan isu ini mampu juga merosakkan PR sehingga diperingkat seluruh Negara apabila dilihat tindakan PAS menyebabkan PKR kehilangan satu kerusi.

iii) Hubungan PAS dengan PAS juga terjejas apabila ahli yang tidak setuju dengan tindakan ‘melanggar janji’ oleh PAS KD dituduh pula sebagai terlalu pro-PKR atau pro PSM! Saya diberitahu Cikgu Pa (SUA) sendiri telah diserahkan borang keahlian PSM oleh ahli-ahli PAS KD pada malam beliau turun ke KD untuk mengesahkan calon PKR sebagai calon PR yang rasmi.

iv) Komitmen PAS terhadap PR dipersoalkan masyarakat apabila dilihat PAS sanggup memenangkan calon UMNO di KD. Sepertimana PSM dituduh agen UMNO/BN di Semenyih, kerana sanggup memecahkan undi PR, begitu juga tuduhan sama dilemparkan terhadap PAS hasil tindakan PAS KD. Maka hantu UG dihidupkan kembali oleh musuh musuh PAS yang ingin masyarakat sangsi terhadap PAS!

Amat jelas bahawa kesemua 4 natijah di atas yang dihasilkan adalah tidak baik. Lainlah kalau memang terbuku dihati ingin UMNO menang, supaya hubungan PAS/PKR tegang, PAS/PAS bergaduh dan masyarakat sangsi akan komitmen PAS terhadap PR!

Oleh itu, amat jelas juga bahawa bertanding di KD tidak berbaloi! Sekiranya tindakan sebaliknya diambil pada masa itu (persimpangan untuk membuat pilihan), kesemua natijah buruk di atas insyaAllah dapat dielakkan. UMNO tersungkur di Kota Damansara, hubungan PAS/PKR dan PAS/PAS serta imej PAS tidak terjejas.

Oleh itu dari sudut strategi ianya perlu diakui sebagai satu kesilapan dan ditolak.

Apabila diakui sebagai kesilapan dan ditolak, tidak bererti ditolak orang-orang tertentu. Kita semua faham keputusan berhubung strategi itu adalah ijtihad. Dan pemimpin berhak membuat ijtihad. Tetapi sepertimana kita juga tahu, ijtihad itu boleh betul atau tersilap. Ijtihad silap oleh pemimpin atau hakim tetap mendapat satu hasanah selagi ianya dibuat secara ikhlas. Walaupun mendapat satu hasanah, tidak bererti ianya perlu dipertahankan setelah kesilapannya jelas kelihatan. Mempertahankan ijtihad yang salah, setelah sudah jelas kesilapannya adalah kerja-kerja membodek pemimpin yang dikutuk Allah!

Ringkaskan cerita, saya di sini ingin isytiharkan, sekiranya tiada siapa yang lain sanggup memberitahu pimpinan bahawa mereka tersilap, biarlah saya seorang menyatakannya! 


Dahulu semasa menyanggah Hassan Ali pun saya seorang diri, maka biarlah kali ini juga saya seorang diri. Yang lain boleh teruskan menyatakan ‘sayang’ mereka terhadap pimpinan dan terus ‘membodek’ mereka.

Sedangkan sayang pimpinan bukan isunya di sini. Dan sekiranya benar sayang sekalipun, betulkan mereka apabila mereka tersilap bukan terus membodek mereka. Itu sayang yang sebenar.


“AsSidduku amaanah wal kadzibu khiyaanah”, kata-kata Saidina Abu Bakar (RA) kepada ummat Islam sebaik sahaja beliau dipilih menjadi khalifah. Cakap benar (iaitu menegur apabila berlaku kesilapan) adalah amanah dan berdusta (iaitu membodek dan menafikan kesilapan pemimpin) adalah khianat!

Saya tidak sanggup khianat.

Bertandingnya PAS di Kota Damansara merupakan satu kesilapan dan natijahnya adalah bukti dan dalil akan kesilapan itu!

Saksikan wahai Allah bahawa saya telah memenuhi tanggung jawab saya pada pimpinan saya!

Bersambung...

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

5 ulasan:

  1. padan muka kalah belum tau menang dok asyik berebut kalau dah menang lagi teruk allah maha kaya tau walau sedikit hama pun nawaitu anda yang bertanding sepatutnya fikir sebagai ahli bait yang redha atas ketentuan tuhan

    BalasPadam
  2. tahniah khalid samad. anda tidak keseorangan sebenarnya. ahli2 pas yg syg parti dibelakang saudara.

    BalasPadam
  3. tahniah khalid... anda hebat sebab tu dalam muktamar lepas anda telah mencalonkan "orang itu" vs TGHH...
    tahniah khalid... anda hebat dalam berstrategi... untuk menaikkan nama sendiri...

    BalasPadam
  4. Saya ahli PAS seumur hidup bersetuju dgn pandangan Khalid Samad. Saya pernah meluahkan pandangan saya dlm fb saya.Kita bertanding nak menangkan kita atau geng bukan nak menangkan dia orang.

    BalasPadam
  5. Tahniah yb Khalid. Anda seorang pejuang yg tulin. Berkata benar walaupun ia pahit. Di dalam Pas sekarang telah ada ramai kaki pembdek . Pas ganti umno (Pgu) kita dah ambil perangai2 negatif umno. Jadilah benda yg lepas untuk dijadikan iktibar dan pedoman untuk masa hadapan . Rakyat marheim mengharapkan Perubahan. Fikirkan wahai pemimpin.

    BalasPadam