04 April 2013

TERHANGAT ! PAKATAN MUNGKIN TUMBANG DI KEDAH ?



Menteri Besar Azizan: Keadaan kesihatan mungkin diantara sebabnya

Tinjauan: Pakatan Kedah mungkin tumbang dengan kurangnya 6 peratus undi Melayu

KUALA LUMPUR, 4 April — Pakatan Rakyat (PR) mungkin akan tumbang di Kedah pada Pilihan Raya 2013 dengan kehilangan enam peratus undi Melayu dan perubahan corak pengundian masyarakat Cina, dalam penemuan terbaru tinjauan peribadi yang dijalankan oleh Merdeka Center for Opinion Research.

Seorang pemimpin PAS Kedah memberitahu The Malaysian Insider, diantara sebab perubahan dalam corak pengundian kaum Cina adalah keadaan kesihatan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak, yang mana beliau mengatakan memberi persepsi mengenai ketidakstabilan kerajaan negeri.

“Ini kerana pada tahun 2008, lonjakan sokongan daripada pengundi Melayu tidak begitu besar, contohnya kerusi DUN Tanjung Dawai, kita menang tak sampai seratus undi,” kata seorang pemimpin PAS Kedah kepada The Malaysian Insider dengan syarat namanya dirahsiakan.
Menurut beliau lagi, keputusan masyarakat Cina untuk memberikan undi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada BN dan parlimen kepada PR membuktikan terdapat masalah serius dengan kepimpinan kerajaan negeri Kedah.

Menurut Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian, terdapat tiga faktor menyebabkan kerajaan PR Kedah hilang sokongan masyarakat Melayu negeri tersebut pertama adalah pemberian RM500 Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 oleh Barisan Nasional (BN).

“Kedua masalah dalaman kerajaan seperti penyampaian perkhidmatan oleh kerajaan negeri dan ketiga, calon serta muka baru diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak sudah mula menarik kembali pengundi kepada BN,” katanya apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Perdana menteri telah membubarkan parlimen semalam dan beberapa negeri ikut membubarkan DUN manakala menteri besar Kedah akan bertemu dengan pemimpin negeri hari ini untuk mendapatkan persetujuan. Pilihan raya umum (PRU) dijangka akan diadakan pada penghujung bulan April.

Akan tetapi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tidak menganggap penemuan badan tinjauan bebas itu sebagai satu sebab untuk melemahkan partinya untuk terus berjuang bagi mengekalkan PR di Kedah dalam Pilihan Raya 2013.

“Saya akan all out membantu PAS dan Pakatan untuk mengekalkan Kedah. Ya, saya tahu tentang pembentangan Merdeka Center itu,” kata Mohamad apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

“Kami berjanji untuk perbaiki kelemahan dahulu demi untuk memastikan dapat memerintah bagi penggal kedua,” tambah beliau yang dijangka akan bertanding di kerusi parlimen Pendang, Kedah.

Dalam wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider baru-baru ini, Azizan mengatakan terdapat beberapa perkara yang dilakukan oleh kerajaan pentadbirannya yang beliau dirasakan akan menjadi sebab rakyat akan terus menyokong PR bagi mentadbir negeri tersebut.

“Bersih rasuah. Rasuah tak ada di Kedah, kalau ada tangkaplah,” kata Azizan.

“Saya bagi bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum, saya menggunakan sistem “Kifaalah” ... semua orang mati, Melayu, Cina, India semua dapat,” kata beliau yang juga merupakan ADUN Sungai Limau itu.

Sistem Kifaalah merupakan skim insuran warga emas diperkenalkan untuk memberi perlindungan insuran kepada seluruh warga emas di negeri Kedah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Sistem ini dimulakan oleh kerajaan negeri PAS di Kelantan.

“Saya bagi pendidikan, bantuan pendidikan … kemudiaan saya perkenalkan agenda pertanian Kedah.”

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengulangi pendiriannya baru-baru ini Azizan akan terus memimpin PAS Kedah sebagai Pesuruhjaya dan tidak ada sebarang pertukaran untuk menghadapi Pilihan Raya 2013.

“Semua pimpinan PAS negeri termasuk dewan diminta menumpukan kerja dalam menghadapi PRU13 yang bakal dihadapi dalam waktu terdekat ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Politiknya pada 24 Mac lepas.

Dalam Pilihan Raya 2008, gabungan longgar PAS, PKR dan DAP menang mengejut di Kedah, mengecewakan BN apabila memenangi 22 dari 36 kerusi DUN di Kedah.

Akan tetapi dua ADUN PKR Tan Wei Shu dari Bakar Arang dan Mohd Radzi Salleh dari Lunas keluar parti dan menjadi ADUN bebas mesra BN oleh kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti.

Pembelotan tersebut menyebabkan beza kerusi diantara PR dan BN turun ke hanya emat kerusi DUN.

Pada Mei 2010, khabar angin tersebar kerajaan negeri PR mungkin akan tumbang kembali kepada BN disebabkan akan berlakunya lebih banyak pembelotan dari ADUN PKR.

Akan tetapi dalam satu ceramah pada 22 Mei, kesemua 20 ADUN PR muncul untuk menafikan khabar angin, menyatakan kesetiaan mereka terhadap kepimpinan Azizan.

Kepimpinan PAS masih belum menyatakan secara rasmi siapa yang bakal mengetuai kempen parti di Kedah untuk Pilihan Raya 2013.

Ahli politik daripada parti pemerintah BN dan pembangkang PR akan bertarung untuk merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN pada Pilihan Raya 2013.

PENGUNDI MUDA DAN BARU JADI PENENTU

Dalam masa yang sama, pertambahan pengundi muda pula masih dilihat memberi kelebihan kepada gabungan PAS-PKR-DAP yang diketuai oleh parti Islam itu berbanding lawan mereka BN.

Kesemua 16 kerusi selesa Pakatan adalah: Bukit Selambau (PKR-2,632 undi), Lunas (PKR-10,323), Tokai (PAS-6,578), Kuala Ketil(PAS-4,880), Anak Bukit (PAS-3,806), Sidam (PKR-3,618),Merbau Pulas (PAS-3,576), Bukit Pinang (PAS-3,399), Sungai Limau (PAS-3,212), Pengkalan Kundor (PAS-3,122), Alor Mengkudu (PAS-2,247), Kupang (PAS-2,094) dan Bandar Baharu(PAS-1,849).


Manakala tiga lagi DUN dimenangi Pakatan dengan majoriti bawah 1,500 undi, iaitu Kubang Rotan (PAS-1,387), Bakar Arang (PKR-1,330) dan Kulim (PKR-1,244). Namun, mengambil kira pengundi baru di ketiga-tiga kerusi itu menjadikan peluang Pakatan cerah di tempat itu.

Di pihak BN pula, kedudukannya dilihat terjamin di lapan DUN yang dipertahankan pada 2008 dengan majoriti selesa.

Enam daripadanya ialah Bukit Kayu Hitam (Umno-6,995 undi),Kuah (Umno-3,324), Sungai Tiang (Umno-3,006), Pedu (Umno-2,733), Jitra (Umno-2,258) dan Guar Cempedak (Umno-1,759), kesemuanya dimenangi dengan majoriti lebih 1,500 undi.

Manakala dua lagi kerusi dimenangi BN dengan majoriti melebihi 1,000 undi, iaitu Gurun (MCA-1,554) dan Ayer Hangat (Umno-1,135 undi).

Ini bermakna BN memerlukan 11 kerusi untuk merampas kembali negeri Jelapang Padi itu dengan majoriti mudah.

Dan baki 12 lagi kerusi - enam kerusi Pakatan dan enam kerusi BN - dimenangi kedua-dua parti itu dengan majoriti di bawah 1,000 undi, termasuk majoriti bawah 500 undi.

Enam kerusi Pakatan tersebut - semuanya dirampas dari BN pada 2008 - ialah Kota Darulaman (DAP-804), Ayer Hitam (PAS-506),Pantai Merdeka (PAS-503), Bukit Lada (PAS-208), Jeneri (PAS-167), dan Tanjong Dawai (PAS-79 undi).

Manakala enam kerusi BN, termasuk kerusi Belantik yang dirampas Umno dari PAS dengan majoriti 252 undi, ialah Derga (Gerakan-163),Bakar Bata (Umno-358), Kota Siputeh (Umno-495), Kuala Nerang(Umno-805) dan Bayu (Umno-984).

Sekiranya, Pakatan dan BN berjaya berjaya mempertahankan kerusi-kerusi masing-masing, maka Pakatan akan berjaya mempertahankan Kedah dalam PRU13 nanti.

Ini dikuatkan lagi dengan pertambahan pengundi muda dan pengundi atas pagar yang dikatakan selesa dan cenderung dengan Pakatan, sekal igus memberi peluang kali kedua kepada Pakatan untuk mempertahankan kerajaan negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan