31 Mac 2013

KEBEBASAN MEDIA KITA SEBARIS DENGAN UGANDA DIPERINTAH OLEH IDI AMIN




 Pertandingan di antara BN dengan Rakyat 

TAWARAN Rais Yatim kepada Pakatan Rakyat untuk menggunakan saluran TV selama 10 minit untuk menyiarkan manifesto mereka (PR) beberapa hari lepas merupakan lambang betapa khianatnya niat pihak kerajaan yang sudah hampir lupus penggalnya ini. Sebagai seorang yang sudah begitu lama dalam politik dan kerajaan, tawaran itu menunjukkan yang beliau dan UMNO tidak layak untuk terus mentadbir sebuah negara demokrasi. Tingkah dan laku Rais itu melayakkan negara kita duduk sebaris dengan negara Uganda semasa diperintah oleh Idi Amin dahulu.

Kemajuan negara tidak selari dengan kemajuan sikap pemimpin seperti Rais ini. Sikap takut kepada bayang-bayang ini adalah sikap pimpinan yang berjiwa fakir. Tawaran itu seolah-olah hendak dijadikan ‘favor’ besar kepada Pakatan Rakyat. Mahu tidak mahu kita mesti mengakui, demokrasi di negara kita terlalu jauh ke belakang dari demokrasi negara-negara jiran dan negara maju yang lain.




Di Singapura pihak pembangkang boleh bercakap dan bersiaran dalam TV arus perdana mereka. Begitu juga di Indonesia. Malahan di Myanmar pun sudah nampak keterbukaan dalam isu ini. Di negara ini pihak pembangkang masih dihalang untuk mendekati pengundi dan sikap seperti ini amat menjelikkan banyak pihak. Untuk pembangkang saluran TV itu hanya digunakan untuk menyiarkan video seks yang kononnya dilakonkan oleh pimpinan pihak pembangkang sahaja.

Sikap ini boleh kita anggap sebagai sikap pengecut dan tidak bermaruah pihak kerajaan. Ia juga boleh dilabelkan sebagai tebal muka atau pun sikap muka tembok yang tidak tahu malu tetapi mengaku diri mereka sebagai pemimpin negara demokrasi yang sedang hampir kepada taraf negara maju berpendapatan tinggi. Tetapi sikap dan mentaliti mereka masih jauh ke belakang daripada mentaliti pemimpin dunia ketiga.

Di Zimbabwe pihak pembangkang masih boleh bersiaran melalui TV saluran perdana mereka. Begitu juga di Filipina semasa pemerintahan diktator Marcos dahulu. Presiden Marcos tidak bertindak terhadap 2 atau tiga saluran TV yang jelas berkempen untuk pembangkang.


Sesungguhnya pemimpin UMNO ini bukannya menyekat kemaraan parti pembangkang tetapi sebaliknya menafikan hak rakyat untuk mendapat maklumat pihak lain dari pihak kerajaan. Ini adalah pencerobohan dan pelacuran terhadap demokrasi itu sendiri. Pihak Pakatan telah menolak tawaran ini kerana menerima tawaran itu adalah satu keputusan yang mendayuskan diri sendiri.

Rakyat perlu membina demokrasi dengan semangatnya sekali. Keadaan dayus pihak kerajaan ini membebankan pemikiran rakyat yang dahagakan demokrasi sebenarnya. Kita tidak faham kenapa pelajaran tinggi pimpinan UMNO tidak boleh memperbaiki moral mereka sebagai pemimpin. Ini juga merupakan masalah di dalam UMNO. Bukan sedikit pemimpin dalam UMNO itu yang pandai dan berpendidikan tinggi dalam parti itu.

Tetapi apabila mereka masuk UMNO dan mendapat tempat, mereka bertukar menjadi orang yang miskin jiwa dan rendah pula moralnya. Sepatutnya lagi tinggi pelajaran lagi kaya moral kerana palajaran itu sepatutnya boleh membangunkan minda bukannya menumpulkan daya pemikiran mereka. Benarlah kata sesetengah pendapat yang mengatakan orang pandai pun jika menyertai UMNO akan menjadi orang yang beku otak dan pemikiran mereka. Dalam bahasa kasarnya mereka menjadi bodoh (maaf kerana terpaksa menggunakan perkataan ini) apabila menjadi ahli UMNO. Justeru mereka menyangka yang rakyat ramai ini adalah rakyat yang boleh dibodohkan terus-terusan.

Itulah sebabnya saya selalu berkata sumbangan UMNO kepada rakyat khususnya ahli dan penyokong UMNO ialah merosakkan dan membekukan pemikiran manusia. Otak yang pandai tidak diperlukan dalam UMNO kerana hanya pemimpin utama sahaja yang dibenarkan berfikir. Ahli-ahli dan penyokongnya hanya diperlukan untuk mengangguk dan bertepuk tangan dalam perhimpunan agong parti setiap tahun.

Sifat takut kepada bayang sendiri inilah yang membunuh UMNO. Kalau kita takut kepada busut kerana percaya busut itu berhantu, nescaya busut itu akan berhantu. Pemimpin UMNO bermasalah besar kerana ke mana sahaja mereka memandangi mereka ternampak hantu dan sentiasa dalam ketakutan sampaikan tidak berani memanggil pilihanraya umum negara. Itulah sebabnya kita melihat pemimpin UMNO bertempik ke hulu ke hilir sekarang ini, kerana orang yang penakut selalunya akan bertempik dan menengking apabila berhadapan dengan masalah.

Budaya percaya kepada hantu ini sememangnya biasa dalam UMNO. Kita telah mendengar bagaimana ramai pemimpin UMNO dan keluarga mereka masih berdukun dan berpawang dalam politik. Ada pawang dan dukun didatangkan jauh dari India dan ada yang didatangkan dari Thailand dan dari tempat-tempat lain. Pawang-pawang inilah yang mereka harapkan akan menghalau ‘hantu-hantu’dari pandangan dan pemikiran mereka.

Oleh itu sikap bobrok pimpinan BN dalam isu ‘air time’ untuk semua dalam pilihanraya ini akan dapat diselesaikan jika UMNO dan BN tidak lagi berada di tampuk kuasa.

Lakukan pembaharuan ini dalam pilihanraya nanti. Tindakan menukar kerajaan itu pun bukannya satu tindakan jenayah. Lagipun kita sudah tahu yang UMNO sendiri telah tahu dan mengakui yang mereka (UMNO) akan tewas dalam pilihanraya kali ini. Kalau mereka masih berkeyakinan mereka tidak akan membiarkan Dewan-Dewan Legislatif terbubar dengan sendirinya.

Membiarkan Dewan-Dewan Legislatif terbubar itu adalah insiden yang memalukan negara. 
Tetapi bagi mereka yang sedang menyandang kuasa sekarang ini tidak mengambilnya begitu, kerana seperti yang saya sebutkan di atas, mereka ini tidak lagi mempunyai perasaan malu.

Perasaan malu itu sudah hilang di kalangan pimpinan UMNO dan hijab mereka sudah tertutup dan perasaan malu bukannya perkara penting dalam diri mereka. Itu sebabnya mereka tidak bertindak berteraskan kepada moral dan undang-undang yang betul. Kalau sudah begitu keadaannya, kita boleh menyoal diri kita sendiri, apakah sebabnya masih ada sedikit saki baki mereka yang ingin mempertahankan pimpinan penakut ini?

Fahamilah UMNO sudah kehilangan ‘legitimacy’ untuk mendekati kuasa, jauh sekali untuk kembali memegang kuasa itu. Seperti yang saya sebut dalam posting saya yang lepas, UMNO sekarang bukannya bertanding dengan parti-parti pembangkang, tetapi bertanding dan berperang dengan rakyat. Pilihanraya kali ini adalah peperangan di antara UMNO dan rakyat.

Petang tadi seorang bekas pegawai tinggi kerajaan yang belum pernah saya kenali telah menelefon untuk bertemu dengan saya, hanya untuk berkata, “UMNO should be disbanded instantaneously. That party has become a pest to everyone and the country. It has lost all legitimacy to rule this beautiful nation.” –

1 ulasan:

  1. majoriti rakyat tidak sabar mahu melihat umno/bn dikuburkan. pemimpin2 umno telah menjadi sangat rakus menggunakan dana rakyat dan menyalah gunakan kuasa yg diberi rakyat. bn wajib ditewaskan utk memberi masa kpd mereka utk muhasabah diri. beri peluang pakatan rakyat ambil alih. rakyat akan membuat perbandingan.

    PRU 13 : RAKYAT VS BN

    BalasPadam