16 November 2012

TERKINI! Mansor Cantas Peluang Chegubard?



Pengumuman mengejut Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang menamakan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman sebagai calon KEADILAN mewakili Pakatan Rakyat bertanding di parlimen Nibong Tebal, mengesahkan spekulasi bahawa Mansor dikatakan mencantas peluang Ketua KEADILAN Rembau, Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard di parlimen itu.

Bercakap dalam satu ceramah di Sungai Udang malam tadi, alasan Anwar meletakkan Mansor bertanding adalah kerana dia merupakan ketua KEADILAN negeri dan selayaknya menentang Ketua Umno Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman yang kecundang di tangan bekas ahli parlimen KEADILAN, Tan Tee Beng yang melompat menjadi ahli parlimen bebas dan setelah meyertai KITA, dipecat awal tahun ini.

Bagaimanapun, pengumuman tersebut dikatakan hanya akan menambah kekalutan dalam parti itu setelah Chegubard kerap berada di kawasan parlimen tersebut bagi memperkenalkan diri sejak beberapa bulan lalu.

Masalah timbul apabila Mansor juga merupakan ADUN Penanti dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili sendiri Anwar, kerana Pakatan Rakyat dikatakan akan mengemukakan usul satu calon satu kerusi dalam pilihanraya umum akan datang seperti yang dicadang Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh.

Bagaimanapun, peraturan itu tidak terpakai kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana khidmatnya masih diperlukan di peringkat persekutuan dan negeri.

Berbalik kepada Mansor, imejnya yang sedikit calar apabila terbongkar rakaman audio yang mengkritik Guan Eng sebagai 'tokong' juga sedikit sebanyak menjejaskan reputasinya sendiri kerana walaupun dianggap perkara kecil, namun ia secara tidak langsung membawa imej kurang baik KEADILAN negeri dalam Pakatan Rakyat.

Manakala jika diukur dari segi populariti pula, Chegubard lebih disenangi penduduk di sana kerana dia sememangnya berasal dari parlimen itu.

Setakat ini, Chegubard masih belum memberi sebarang komen berhubung pengumuman Anwar dan perkembangan menarik ini pastinya akan ditunggu-tunggu kerana Mansor didesak supaya memilih sama ada menjadi ADUN atau ahli parlimen bagi memberi peluang kepada pemimpin lain untuk bertanding.

Ada yang mengatakan, sekiranya Mansor yang dipilih mewakili mereka, peluang KEADILAN untuk merampas parlimen tersebut agak tipis berbanding meletakkan Chegubard yang tahan diuji dengan serangan Umno tidak kira di mana dia berada.

Permohonan Anwar  yang meminta maaf tidak cukup untuk menghilangkan kemarahan penduduk Nibong Tebal walaupun mengetahui Tee Beng menjadi alat BN bagi memalukan Pakatan Rakyat.

Dan sepatutnya Anwar memilih Chegubard jika dia merasakan tidak mahu pisang berbuah dua kali sebagaimana yang dilakukan Tee Beng terhadapnya.

Ternyata, walaupun Pulau Mutiara dianggap selamat bagi Pakatan Rakyat mempertahankan kuasa, kemelut kecil menjelang pilihanraya umum seperti ini pasti akan meresahkan jentera kempen yang sudah bersedia menentang Umno dan Barisan Nasional (BN) kelak.

Sumber : SINI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan