09 November 2012

Semua MP mesti hadir taklimat peguam Perancis


Semua MP mesti hadir taklimat peguam Perancis

Rakyat perlu diberikan sepenuh pengetahuan dan fakta tentang isu pembelian kapal selam Scorpene yang tidak habis-habis diperkatakan sekarang ini. Isu ini wajar diberikan perhatian oleh kerajaan dan ‘law-makers’ negara kerana ini merupakan satu skandal yang teramat besar yang melibatkan wang rakyat. Ia juga hampir sama besar dengan skandal PKFZ yang melibatkan pimpinan BN dan berkaitan dengan beberapa Menteri dalam pentadbiran Dr Mahathir dan Abdullah Badawi.
Ia berkaitan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan dan oleh kerana ia melibatkan pihak yang berkuasa, ia amat susah untuk ditampilkan dengan setelus-telusnya kepada penghakiman rakyat. Saya mengajak seluruh rakyat yang berbilang kaum di negara ini untuk memberikan perhatian serius dan mengamati dengan sesungguh-sungguhnya isu-isu ini kerana rakyat sudah tidak tertanggung lagi kelakuan pihak-pihak yang begitu jahil dan tidak menganggap mengambil rasuah sebagai satu jenayah yang terlalu besar ini.

Mesti ada pihak yang terlibat. Ia tidak boleh dinafikan dengan alasan tiada bukti kukuh dan sebagainya. Kita juga mahukan bukti yang wang itu tidak dibelanjakan seperti yang dituduh jika alasan tiada bukti itu menjadi alasan untuk menutup kes-kes seperti ini. Kita tidak mahu berlaku seperti kes PKFZ yang sedang dalam penghakiman mahkamah dengan alasan tiada kes penipuan seperti yang disebut oleh Dr Mahathir tetapi pihak defendant (kerajaan) wajar juga membuktikan yang wang sejumlah yang disebut dalam isu ini tidak dibelanjakan. Kita tidak mahu mendengar dan menerima yang tiada kes seperti yang dituduh tetapi wang yang begitu besar telah dibelanjakan.

Pada 22hb Nov ini, dua orang peguam Perancis akan tiba di Parlimen Malaysia untuk memberikan 
taklimat kepada Parlimen Malaysia di atas jemputan Ketua Pembangkang Malaysia, Saudara Anwar Ibrahim. Ahli Parlimen Subang, Sivarasa, telah mengesahkan yang William Bourdon dan Joseph Breman akan datang ke Malaysia untuk memberikan taklimat kepada Parlimen Malaysia.

Rakyat mesti memberikan perhatian tentang isu sebesar ini. Kita berharap tidak akan ada halangan-halangan yang akan dibuat oleh pihak berkuasa kerajaan dan Parlimen kerana jika tidak ada elemen-elemen rasuah seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak itu, tidak ada sebab ada pihak yang takut dan cuba menghalang kedua-dua peguam ini untuk datang dan memberikan taklimat kepada rakyat Malaysia melalui wakil-wakil mereka di Parlimen.

Kalau pihak yang dikaitkan dengan isu ini benar-benar tidak bersalah, tidak ada sebab taklimat dua peguam ini kepada rakyat Malaysia ditolak dan dihalang untuk memberikan taklimat ini dengan semudah-mudahnya. Malahan pihak berkuasa, seperti Najib sendiri, mesti memberi segala kerjasama kerana beliau boleh memberikan keyakinan kepada pihak-pihak yang menuduh beliau terlibat itu mendapat kebenaran yang beliau adalah sebersih-bersih pemimpin yang tidak langsung terbabit dengan isu rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene ini.

Kita akan lihat, jika ada usaha pihak Parlimen dan kerajaan untuk menghalang kehadiran kedua-dua peguam ini maka sekali gus rakyat akan yakin yang Najib serta mereka yang menuduh itu ada kebenarannya.

Ketua pembangkang telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamudin untuk meminta kepastian yang kemasukan kedua-dua peguam ini ke Malaysia tidak dihalang dan Hisham sepatutnya memberikan jawapan ‘ya’ dengan secepat mungkin.

Kita semua ingin tahu pandangan dan penyiasatan yang dilakukan oleh kedua-dua peguam Perancis ini kerana ia melibatkan wang rakyat dan moral kepimpinan negara. Jika ada halangan dari pihak Kementerian Dalam Negeri, maka jangan disalahkan rakyat ramai mengekalkan persepsi mereka pucuk pimpinan kita benar-benar terlibat dengan kes Scorpene ini.

Jika perkara ini tidak diselesaikan, bagaimana Najib hendak menunaikan janji untuk mentadbir negara dengan sebaik mungkin sedangkan persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa memandang serong terhadap beliau? Lagipun bagaimana Najib hendak meyakinkan rakyat yang jika PR memerintah negara, negara akan bangkrap seperti yang beliau kata di mana-mana dalam siri kempen beliau di seluruh negara?

Jika pimpinan BN lebih cenderung untuk menunjukkan kepada kami rakyat di bawah ini yang mereka tidak jujur dengan menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya, bukankah pihak BN itu yang mempunyai lebih kebarangkalian untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang bankrap? - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan