26 November 2012

Panas ! Adun Batang Kali Yang " Otak sek "....? ( + video )

Usul Tindakan Disiplin Terhadap Adun Umno Seksis Bakal Dicadangkan


Adun Pakatan Rakyat Selangor akan mencadangkan usul agar Adun Umno-BN, Datuk Mohd Isa Abu Kassim dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berikutan kata-kata yang menghina kaum wanita yang dikeluarkan beliau Khamis lalu.

Usul yang bakal dicadangkan minggu ini akan menyeru agar satu tindakan disiplin di ambil terhadap Adun Batang Kali itu kerana kenyataannya semasa sesi pengulungan perbahasan Belanjawan Selangor 2013 di dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

Cadangan tersebut bakal diusulkan kerana Mohd Isa sebelum ini enggan menarik balik kenyataan tersebut serta meminta maaf dengan alasan beliau tidak menyebut kata-kata itu.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata hansad sidang Dewan Negeri Selangor jelas menunjukkan beliau menyebut kata-kata itu.

“Saya lebih meluat apabila ianya dibangkitkan oleh (Adun Subang Jaya) YB Hannah Yeoh, beliau menafikan kononnya beliau tidak menggunakan perkataan itu, tetapi terbukti apabila hansad diedarkan, terang-terang perkataan itu wujud.

“Sebenarnya pihak Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) telah pun berbincang dan dipersetujui supaya dibawa satu usul yang dibentangkan ke dalam dewan dalam masa seminggu ini untuk memanggil Batang Kali dibicarakan di bawah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Kenyataan seperti itu, tak menggambarkan rasa hormat dia pada wanita dan kalau orang menyebut seperti itu kepada isteri, ibu atau anak perempuannya, apa perasaan dia,” ujar Rodziah kepada TV Selangor hari ini.

Pada Khamis lalu, Mohd Isa didakwa mengeluarkan kata-kata tidak sopan semasa Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong membuat pengulungan tentang status hutan simpan di kawasan Taman Templer.

Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor Haniza Talha pula mengingatkan bahawa semua wanita lain juga mempunyai hak untuk dihormati seperti mana ibu Mohd Isa sendiri.

“Boleh tak dia bergurau begitu kepada emak dia? Tentu tidak, kalau tak boleh apa bezanya dengan wanita lain sebab wanita lain juga ada hak untuk dihormati,” kata yang juga Adun Taman Medan.

Haniza juga menyarankan agar pengundi wanita di Dun Batang Kali ‘mengajar’ Adun tersebut dengan menolak beliau dalam pilihan raya akan datang.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata Mohd Isa wajar meminta maaf kepada Elizabeth.

Artis popular, Abby Abadi pula menyifatkan kenyataan Mohd Isa itu sebagai kenyataan biadab yang hanya dikeluarkan oleh individu yang kurang moral.

“Kenyataan seperti itu tak boleh terima, keterlaluan, keluar topik, lebih-lebih lagi bila dikeluarkan oleh seseorang yang sepatutnya dijadikan contoh oleh masyarakat di kawasan yang dijaganya,” kata Abby kepada TV Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan