Anak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz menikmati manfaat terus dari Michael Chia, ahli perniagaan yang terbabit dalam skandal RM40 juta untuk Umno Sabah.
Dedah Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli pada sidang medianya di Parlimen hari ini, Nedim Nazri menggunakan kenderaan mewah jenis Hummer berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WNX 9776 milik Chia.
“Kenderaan itu berharga RM459,000…hak miliknya boleh disahkan melalui carian saman di laman MyEG.
“Saman bernombor 1100105197 bertarikh 1 April 2011 mengesahkan ia milik Michael Chia atau Chia 0tien Woh (670406-12-5261),” jelas Rafizi.
Menurut Rafizi, berdasarkan pemantauan, kereta tersebut kebiasaannya dipandu oleh pemandu peribadi keluarga Nedim di antara kediaman beliau di Clearwater Residence, dan kedai miliknya di Bangsar Shopping Complex.
Beliau turut menunjukkan beberapa gambar bukti kenderaan tersebut diparkir di kawasan kondo bersama pemandu dan pengawal peribadi Nedim.
Selanjutnya Rafizi berkata, dalam keadaan Chia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kenyataan Nazri yang bermati-matian mempertahankan taikun balak itu pasti menimbulkan konflik kepentingan dalam skandal RM40 juta.
Chia adalah individu utama dalam skandal penyeludupan wang haram RM40 juta kepada Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dan ditahan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) pada 2008 berhubung perkara itu.
Nazri sebelum ini berkata di Parlimen, Musa dibebaskan dari tuduhan rasuah selepas pihak berkuasa di Malaysia dan Hong Kong mendapati RM40 juta yang didakwa cuba diseludup Chia ke Malaysia bukan untuk Musa, sebaliknya untuk Umno Sabah.
“Beliau adalah Menteri Undang-undang…(tetapi) jadi peguam dan pembela nombor satu kepada Michael Chia.
“Ia cukup untuk timbulkan keraguan bahawa ada unsur rasuah di antara Nazri yang lindungi Michael Chia melalui kenyataannya, kerana tertuduh (Chia) biayai kenderaan mewah yang digunakan anaknya,” kata Rafizi.
KEADILAN mahu Nazri memberi maklum balas sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
“Sebagai ingatan, beliau harus sedar bahawa penafian membabi-buta kononnya beliau tidak tahu dengan urusan peribadi anaknya tidak diterima rakyat.
“Setahun lalu, ada seorang menteri yang guna alasan serupa dan dia terima hukuman politik. Masyarakat tidak lagi terima alasan sebegitu rupa,” kata Rafizi merujuk Shahrizat Jalil berhubung skandal National Feedlot Corporation (NFC) membabitkan keluarganya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan