06 November 2012

Kajian UM: Pengundi BN Merosot Disebab Integriti Buruk Pemimpin



 Meremehkan soal integriti menyebabkan prestasi Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti dijangka bakal mengalami kemerosotan.

Menurut laporan kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi Dan Pilihan Raya (UMCEDEL) baru-baru ini, sebanyak 66 peratus responden percaya integriti buruk pemipin Umno-BN akan memberi kesan buruk terhadap prestasi parti itu dalam pilihan raya nanti.


Kajian yang dijalankan dari 1 hingga 16 September itu juga menunjukkan 60 peratus responden percaya isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin yang tidak terkawal juga akan menjadi isu duri dalam daging kepada Umno menjelang pilihan raya nanti.

Manakala isu lain yang dijangkan memberi kesan buruk terhadap prestasi Umno-BN, Lynas dengan 59 peratus, isu National Feedlot Corporation (NFC), 55 peratus dan diikuti 54 peratus bagi isu kegagalan kerajaan mengurangkan kadar jenayah.

Kajian yang melibatkan seramai 1536 responden itu juga menjelaskan sebanyak 52 peratus dari mereka, percaya bahawa isu Demontrasi BERSIH turut menjejaskan sokongan terhadap Umno-BN.

Sementara itu, menurut rumusan kajian sama, laporan media terhadap ‘kelemahan’ negeri Pakatan Rakyat juga semakin kurang mendapat kepercayaan masyarakat.

“Terdapat kesangsian yang tinggi terhadap percanggahan pendapat dalam kalangan parti-parti dalam PR dan kelemahan dalam pentadbiran yang didedahkan oleh media massa,” menurut ringkasan laporan kajian tersebut.

Dalam isu sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika mengulas laporan tersebut, menjangkakan pengundi dalam PRU-13 nanti akan mengambil kira isu integriti dan kemampuan PR mentadbir negara sekiranya diberi peluang nanti.

“Ya, saya rasa soal integriti dan kredibiliti merupakan isu utama dalam pilihan raya yang akan datang ini.

“Ianya bukan soal Melayu bergaduh dengan Cina atau Islam dengan bukan Islam, tetapi persoalan nak dapatkan pemimpin yang berintegriti yang mempunyai kredibiliti dan mempunyai kemampuan untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih daripada segala jenis rasuah,” katanya kepada TV Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan