19 Oktober 2012
Umno Makin Lemah Punca Soi Lek Sanggup Hina Islam -Jui Ming
Datuk Chua Jui Ming mengesa Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memohon maaf kepada umat Islam kerana mengeluarkan kenyataan menghina Islam di dalam blog video dan Facebook.
Sebelum ini,Soi Lek yang juga Presiden MCA mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan sekiranya PAS melaksanakan hudud di Malaysia.
Soi Lek yang memetik satu SMS oleh individu tidak dikenali, menyenaraikan pelbagai industri yang terjejas dengan kehilangan pekerjaan sekiranya hudud dilaksanakan.
Jui Ming yang juga Naib Presiden PKR menambah Presiden MCA itu sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana Soi Lek sendiri tidak memahaminya.
“Dia dan pemimpin MCA sekarang semakin lebih keras ‘menyerang’ agama(Islam) dan saya pada hari ini menuntut beliau memohon maaf kepada umat Islam di Malaysia,” kata Jui Ming ketika dihubungi TVSelangor.
Tindakan ini ujarnya, disebabkan kegagalan pemimpin Umno memberikan penjelasan kepada Soi Lek sehinggakan sanggup mengeluarkan kenyataan tidak berasas berkenaan pelaksanaan hukum hudud.
“Pemimpin Umno kini semakin lemah dalam medan politik, Umno kini sudah tidak mampu memperjuangkan sesiapapun sehingga untuk partinya sendiri.
“Dalam keadaan ini, MCA sudah naik kepala terhadap Umno dan tidak peduli sekarang, keadaan Umno akan semakin lemah di masa akan datang dengan MCA berterusan menyerang Islam,” katanya.
Jelasnya, sehingga kini tiada seorangpun kalangan pemimpin Umno yang berani menegur sikap Soi Lek yang secara terang-terangan banyak kali memperlekeh agama Islam dan pelaksanaan hukum hudud.
“Umno sudah tidak ada pendirian sendiri untuk berhadapan dengan MCA dan membiarkan MCA menyerang agama Islam,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan