10 Oktober 2012

Terkini ! 3.1 juta warga asing dalam Daftar Pemilih di Malaysia


RCI SABAH TERCEMAR DAN UTOPIA?


BUKTI.....Mutalib (kanan) mengabadikan kenangan bersama salah seorang peminatnya, Mr Lai yang datang daripada Semenanjung Malaysia untuk membeli buku 'IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir (?) yang berharga RM1,500 sebuah.

Oleh : MOHD HALIM AHMAD

PENUBUHAN Suruhanjaya Siasatan DiRaja (Sabah) untuk menyiasat isu kebanjiran rakyat asing dan kerakyatan songsang telah dicemari sikap pemimpin Sabah yang tidak mempunyai semangat nasionalisme dan hanya utopia (tidak mungkin wujud di alam nyata).

Penulis Kontroversi, Mutalib M.D berkata demikian ketika mendedahkan penemuan terbarunya di Forum Perdana RCI Sabah di sebuah hotel di Kota Kinabalu baru-baru ini.

"Apa ertinya RCI jika pemimpin kita yang mencemarkannya melalui penglibatan terus mereka dalam isu kerakyatan songsang? Berhargakah RCI jika panel yang ditubuhkan atas perkenan DYMM Yang Di Pertuan Agung, bukannya atas Daulat Sultan Sulu, Datuk Akjan tidak mempunyai wibawa dan mudah diperlekehkan masyarakat?," tanya Mutalib secara sinis.

Mutalib kesal kerana Dewan Undangan Negeri Sabah dan Ibu Pejabat UMNO gagal mengesan bahawa Adun Sebatik, Datuk Abdul Muis Picho adalah PATI yang mendapat kerakyatan songsang, tetapi menjadi salah seorang penggubal undang-undang di Sabah.

"Malah kita kesal kerana PATI boleh menggunakan pengaruh Istana untuk hidup mewah dan mendapat suaka politik di Sabah. Kenapa polis dan imigresen tidakpun menyiasat kerakyatan 'Isteri' Adun Sekong, Pia Binti Dahlan yang menggunakan nama keluarga terdekat TYT (Tun Juhar) untuk mendapatkan MyKad, sekalipun beberapa laporan polis telah dibuat?" tanya Mutalib yang menunjukkan beberapa bukti penting.

Selain Pia, isteri Ahli Parlimen Silam, Hajjah Fatmah Abdul Aziz juga turut menggunakan dokumen palsu dan memalsukan keterangan diri untuk mendapatkan kedudukan dan suaka politik di Sabah.

"Jika PATI boleh menjadi TYT, Ketua Menteri (Sakaran), Adun (Muis) dan Ketua Jabatan serta isteri orang kenamaan, apa yang mampu RCI lakukan melainkan untuk memberikan pengiktirafan?," kata Mutalib yang menggesa agar rakyat Sabah membuka mata dengan memantapkan jati diri menolak PATI.

Mungkin tiba masanya, kata Mutalib, rakyat Sabah bangkit menyelesaikan isu ini secara glokal kerana tidak mampu diselesaikan Kerajaan Persekutuan yang langsung tidak mempunyai 'Political Will' setelah isu ini berakar umbi dan mendominasi UMNO sejak 1991.

"Warganegara songsang atau PATI yang mendapat kerakyatan melalui IC Projek bukan lagi rahsia seperti kewujudan Iblis dan Syaitan. Tidak perlu dibuktikan oleh Suruhanjajaya atau 'Ghost Buster' kerana hanyalah kerja sia-sia," tegas Mutalib lagi.

Mutalib menjelaskan, kuasa rakyat lebih ampuh kerana tidak ada bala tentera di dunia yang dapat menewaskan pemikiran rakyat yang cintakan negara melebihi daripada jiwa dan raga mereka.

Namun jika rakyat Sabah tidak mampu bangun melawan kezaliman melalui 'Pilihanraya' yang sudah dicemari pengundi hantu, maka salah satu jalan yang terbentang ialah memupuk semangat nasionalisme seperti sejarah Kuih Bulan di negara China.

"Minda rakyat harus menolak sebarang paksaan untuk menerima 'Warga Penyu' sebagai ahli dan pemimpin parti tanpa sebarang alasan dan menolak hadis atau dalil palsu untuk menghalalkan kerakyatan songsang," kata Mutalib yang telah mendedahkan banyak bukti yang beliau perolehi, termasuk penglibatan pemimpin UMNO dan pegawai kanan kerajaan.

Kata Mutalib, tidak ada yang dapat membantu rakyat Sabah menyelesaikan isu yang menjadi ibu segala masalah kerana semua pihak mempunyai kepentingan politik dan penubuhan RCI hanyalah usaha murni untuk menjinakkan rakyat Sabah yang mula memberontak.

Panel RCI, kata Mutalib tidak perlu bersusah payah mengambil masa enam bulan, malah satu minggu sudah mencukupi untuk mendapatkan bukti kerana kerajaan telah menangkap lebih 15 Pegawai Pendaftaran dan 25 Orang awam pada 1996 yang terlibat dengan Sindiket IC Projek dan Skandal X Files Ops Gembleng di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Panggil sahaja beberapa nama yang saya dedahkan dalam kesemua buku saya terutama IC Palsu, IC Projek dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir untuk memberi keterangan secara bersumpah, sama ada di Dewan Undangan Negeri atau di khalayak ramai seperti Inques atau Pendengaran Umum. Kenapa perlu dirahsiakan atau secara tertutup?" tanya Mutalib lagi.

Tegas Mutalib, najis manusia walau dibungkus dengan tupperware atau dipanggil dengan nama Christian Dior, tetap juga najis dan berbau busuk, apatah lagi kegiatan subversif memberi kerakyatan kepada warga asing; merupakan pengkhianatan kelas tertinggi di dunia.

"Kenapa melunakkan dosa pemimpin lalu dan memaksa Najib menanggungnya sedangkan salah seorang 'Pengkhianat(?)' iaitu Dr Mahathir masih bernyawa dan sudah mengaku kewujudannya melalui beberapa kenyataan di dalam blognya dan media?" tanya Mutalib yang menyifatkan rakyat Malaysia tidak berlaku adil kepada Najib yang telah bersetuju menubuhkan RCI; sedangkan Mahathir dan Pak Lah hanya mengunci bicara sebelum ini.

Berhubung 'Pengundi Untuk Disewa' yang wujud dalam Sistem Pilihanraya di Malaysia, kata Mutalib akan menjadi lebih mudah untuk dibersihkan jika rakyat dan parti politik mendesak pendaftaran semula pemilih berdasarkan beberapa mekanisme untuk memastikan tidak ada PATI atau Warga Penyu yang mengambil kesempatan mendaftar atau didaftarkan sebagai pemilih.

"Jika kerajaan atau SPR tidak mahu mendaftar semula, maka mereka boleh menggunakan 'Hak Asasi' mereka untuk memboikot PRU-13 tanpa perlu mengadakan Demonstrasi Jalanan seperti Bersih atau Piket yang dibiayai negara atau NGO asing yang berniat untuk menumbangkan kerajaan yang dipilih rakyat," kata Mutalib dengan nada tegas.

Mutalib yang menghabiskan banyak masanya menjalankan kajian dan mengumpul bukti kewujudan Pengundi Hantu atau Pengundi Untuk Disewa Di Malaysia memberi amaran bahawa gerakan memberikan kerakyatan songsang masih berjalan sekalipun dalam sekali kecil namun telah mencatatkan jumlah yang membimbangkan.

"Kini terdapat lebih 3.1 juta warga asing dalam Daftar Pemilih di Malaysia," dedah Mutalib yang mengejutkan peserta Forum namun memaklumkan bahawa data terbaru tersebut akan dimuatkan dalam buku terbarunya kelak.

Melalui segala bukti yang didedahkan dalam Power Point, rakyat Sabah sewajarnya bersatu hati dan menyokong perjuangan Mutalib yang tidak berhenti mendesak dan mencari formula bagi menyelesaikan isu kerakyatan songsang yang merantai Sabah selama ini.  

Sumber : sabahkini.net

Tiada ulasan:

Catat Ulasan