16 Oktober 2012

Panas ! Dewan Undangan Negeri Kelantan Berhak Menyita Pelantar Minyak Petronas


Dun cadang sidang khas batal perjanjian Petronas

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini menimbulkan persoalan baru apakah kewajaran tindakan Menteri Besar, Datuk Muhamad Nasir pada 1975 menandatangai perjanjian dengan Petronas tanpa mendapat mandat Dun.

“Adakah perlu mendapatkan izin daripada Dun terlebih dahulu sebelum Menteri Besar menandatangani perjanjian dengan Petronas ketika itu kerana ia merupakan isu besar.


“Ini kerana kuasa Menteri Besar untuk pindahkan hak carigali kepada Petronas untuk selama-lamanya merupakan perkara besar di sisi undang-undang,” kata anggota Exco, Datuk Husam Musa (gambar atas)ketika menjawab soalan Ustaz Mohamad Mustafa (PAS-Demit).


Kata Husam surat kuasa yang ditandatangani pada 9 Mei 1975 menyebut memberi kuasa kepada Petronas untuk carigali minyak.

Menurutnya berdasar kepada rentetan tersebut secara jelas menggambarkan Kelantan ada hak ke atas sumber minyak yang terdapat di kawasan perairannya sehingga Petronas perlu mendapat izin untuk dipindahkan kuasa terlebih dahulu pada 1975.

Bagaimanapun kata beliau peguam kerajaan negeri berpendapat dokumen yang ditandatangani pada 9 Mei 1975 bukan sebuah perjanjian dan ia hanya sekadar surat serah kuasa (kontrak).


Surat kontrak itu menyebut tugas Petronas hanya untuk usaha carigali sahaja.

“Persoalannya sekarang apakah tuan rumah (Kelantan) wajar tidak dimaklumkan terhadap segala hasil carigali tersebut.

“Ini pecah kontrak yang pertama berlaku apabila Petronas hanya menyimpan segala dokumen carigali tanpa memberi maklum balas kepada kerajaan negeri.

“Sedangkan apa yang berlaku di Terengganu pada 13 Mei 1978 Petronas menghantar surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memaklumkan segala butiran mengenai pengeluaran minyak dan gas serta harga semasa.
“Begitu juga pada 14 Jun 1978 Ketua Pegawai Eksekutif Petronas menulis surat kepada Pegawai Kewangan Negeri Terengganu untuk memaklumkan bayaran royalti yang dibuat,” katanya.

Boleh batal kontrak

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Kelantan berkata, jadi terpulang kepada Dun atau Exco untuk bertindak membatal surat kontrak (perjanjian) dengan Petronas.

Menjawab soalan tambahan Adun sama katanya sekiranya Petronas masih enggan membayar royalti, Dun boleh mengubal satu enakmen bagi mengenakan fee (cukai) kepada Petronas mengikut kadar royalti yang sepatutnya dibayar.

Husam juga bersetuju dengan pandangan Abdul Fatah Harun (PAS-Bukit Tuku) bagi menulis surat kepada Petronas bagi memaklumkan operasinya di perairan Kelantan dibuat tanpa kelulusan lesen kerajaan negeri.

Mencelah isu sama Hanifa Ahmad (PAS-Pengkalan Pasir) mencadangkan supaya diadakan persidangan khas Dun sebelum akhir tahun ini membincangkan bagi membatalkan surat kontrak kepada Petronas atau sebaliknya.

Hujahnya Petronas begitu samseng kerana tidak memaklumkan perkembangan carigali di perairan Kelantan kepada pihak tuan rumah. Namun Husam memilih untuk memberi masa kepada Petronas bagi membolehkan mengambil tindakan segera sebelum persidangan khas Dun benar-benar menjadi kenyataan.


“Kita sebenarnya mengambil kira kalau dibatalkan kontrak (perjanjian) dengan Petronas tentunya ia akan memberi kesan besar kepada negara dan dunia.

“Jadi sekarang kita beri notis terlebih dahulu supaya nampak lebih sopan. Namun kena ingat persidangan khas boleh menjadi kenyataan selepas ini,” ujarnya.

Iktibar isu Pergau

Ustaz Hassan Mohamood (PAS-Tawang) pula mencadangkan supaya kerajaan negeri mengenakan tindakan serupa seperti dilakukan terhadap Tenaga Nasional Bhd (TNB) ketika isu Pergau pada awal tahun 1990-an.

Husam menjelaskan kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian dan Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli hanya memasangkan kayu halangan di tempat keluar masuk ke projek Hidroelektrik Pergau bagi merundingkan isu yang dituntut kerajaan negeri.

Kata beliau akhirnya Pengerusi TNB ketika itu Tan Sri Ani Arope datang berunding dengan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga Kelantan berjaya mendapatkan pampasan sebanyak RM110 juta.

“Begitu juga dalam isu minyak sekarang kita boleh pasang reben merah di lautan di sekitar kawasan pelantar kalau kaedah sama mahu diambil,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan