13 September 2012

Panas ! P’satuan Pengedar Kereta sokong Pakatan turun harga kereta


KUALA LUMPUR 13 September: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli memberitahu, Persatuan Pengedar Kereta dan Syarikat Pinjaman Kuala Lumpur Selangor menyokong penuh dasar Pakatan Rakyat (Pakatan) untuk menurunkan harga kereta.

Menurutnya, perbincangan tertutup selama dua jam yang diadakan di Ibu Pejabat KEADILAN itu semalam menyentuh seluruh aspek dalam usaha menjayakan manifesto penurunan harga kereta.
“Kita dah berbincang dengan persatuan terbabit dan mereka memuji usaha kita dan ada yang memberi kritikan membina. Kita ambil serius usaha ini dan akan terus menghalusi semua cadangan agar ia dapat dilaksanakan,” kata Rafizi dalam sidang medianya.


Presiden persatuan itu, Khoo Kah Jin memaklumkan, pihaknya menyokong usaha berkenaan dan perbincangan tersebut telah mencapai beberapa persetujuan bersama dalam kaedah menurunkan harga kereta.

Antaranya, mereka sepakat agar cukai eksais tidak diturunkan secara mendadak dan pengagihan Permit Import (AP) dibuat secara tender terbuka.

“Saya juga telah meminta Presiden Automotif Malaysia (MAA) untuk berjumpa dengan saya dan berbincang sekali mengenai perkara ini,” kata Khoo.

Beliau juga mencadangkan supaya hutang pinjaman kereta selama 9 tahun dipendekkan kepada tujuh tahun kerana katanya, selepas tempoh 9 tahun, harga pasaran kereta akan jatuh teruk.

“Kereta terpakai juga patut dieksport seperti yang dilakukan kebanyakan negara,” katanya.

Tambah beliau, peraturan kenderaan berat seperti lori yang melebihi lima tan perlu mendapat permit harus dihapuskan.“Ia hanya mengecilkan pasaran lori dalam negara. Cuma negara kita yang ada peraturan sebegitu,”
kata Khoo lagi.

KEADILAN mengambil serius pelaksanaan penurunan harga kereta justeru pelbagai kempen dilakukan bagi meningkatkan kesedaran rakyat bahawa harga kereta di Malaysia boleh diturunkan.Bermula Ogos lalu, pelekat kereta kempen Turun Harga Kereta telah diagihkan di seluruh negara dan ternyata orang ramai terutama golongan ‘atas pagar’ menyokong usaha itu.



Langkah seterusnya adalah membincangkan kaedah terbaik bagi merealisasikan cadangan itu secara umum bermula di Forum Turun Harga Kereta malam ini di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor pada jam 8 malam.

Selain Rafizi, forum itu menampilkan lain-lain panel seperti Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua; Naib Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Wan Saiful Wan Jan, dan Ketua Penerangan KEADILAN, Nik Nazmi bertindak sebagai moderator.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan