09 September 2012

KANTOI ! TENTERA ELIT DIBEKAL ALAT TIDAK BERMUTU


SULTAN JOHOR, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar menyatakan kemurkaan baginda ke atas pembekalan kelengkapan tidak bermutu kepada Pasukan Elit Kor Gerak Khas Angkatan Tentera.

Baginda bertitah, kementerian pertahanan harus memantau setiap perolehan kelengkapan berkenaan bagi memastikan ia menepati keperluan pasukan dan menjamin tahap kualitinya, lapor akhbar hari ini.

Sultan Ibrahim Ismail juga bertitah, lebih baik jika baginda sendiri mengambil alih kontrak berkenaan sekiranya perkara itu berterusan.

"Sekiranya perkara ini berterusan, yang mana cara pembelian peralatan tidak menepati kehendak Gerak Khas dan dengan harga yang tidak berpatutan maka beta rasa lebih baik beta sahaja yang mengambil alih pembelian peralatan tersebut,"
titah baginda seperti dipetik dalam laporan akhbar Kosmo Ahad.

Sementara itu, akhbar Utusan Malaysia pula menyebut, baginda turut membangkitkan mengenai penglibatan bekas jeneral dan pegawai tentera dalam perniagaan membekal peralatan tentera.

"Dalam usaha melengkapkan pasukan Gerak Khas dengan peralatan terkini dan moden, suka saya ingatkan jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi.

"Tidak dinafikan ramai bekas jeneral dan pegawai tentera yang telah bersara menceburi bidang perniagaan sebagai pembekal peralatan ketenteraan.

"Namun suka saya ingatkan, janganlah bekalkan peralatan yang kurang berkualiti tetapi meletakkan harga berlipat kali ganda," titahnya seperti dipetik akhbar itu.

Dalam majlis itu juga, Sultan Ibrahim turut memberi amaran kepada golongan yang "menangguk di air keruh" berhubung projek mega Mersing Laguna bernilai RM22 bilion yang dirasmikannya sendiri pada April.

Titah baginda, projek berkenaan kini dibatalkan memandangkan pemaju masih gagal meningkat modal berbayar kepada RM200 juta dalam tempoh enam bulan.


"Negeri Johor memang sentiasa pesat membangun dan sentiasa terbuka kepada pemaju yang betul-betul komited, mempunyai kepakaran dan modal yang nyata.

"Sekiranya ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mencari jalan mudah untuk mengaut keuntungan, maka pergilah ke tempat lain kerana tiada tempat untuk orang seperti ini di negeri Johor," titah baginda lagi seperti dipetik Utusan.

Baginda yang juga Kolonel Komandan Pasukan Elit Rejimen Gerak Khas bertitah demikian semasa majlis ulang tahun ke-47 pasukan itu di Kem Iskandar, Mersing, semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan