25 Ogos 2012

Perasan tak...Kes tipu pengguna , berat bawang dan ubi kentang tak cukup

Bawang yang ditimbang tidak sama dengan berat yang dicatatkan, sepatutnya 5kg.

GEORGE TOWN - Seorang peniaga kedai runcit hari ini kesal apabila stok bawang besar, bawang putih dan ubi kentang yang diimport dari India tidak menepati timbangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Ahmad Mohamad Nordin, 52, berkata sebelum ini kerajaan menetapkan kesemua barangan harga terkawal yang diimport perlu mempunyai sukatan 5 kilogram (kg) atau 10 kg, bagaimanapun mereka menerima stok dengan berat sekitar 3 kg hingga 4 kg sahaja.

“Kerajaan dah tetapkan kalau import sama ada 5 kg atau 10 kg. Tetapi depa tak ikut apa yang

telah ditetapkan. Ini memang tidak adil kepada kami sebagai peniaga,” katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.

Beliau berkata masalah ini telah dialami sejak enam bulan lepas dan peniaga lain turut mengalami masalah yang sama.

Ketika ditanya apakah alasan pemborong berhubung masalah ini Ahmad berkata pemborong bersikap lepas tangan dengan mengatakan tidak tahu-menahu hal tersebut kerana kesemua stok diimport dari negara luar dan mereka hanya menjualnya kepada peniaga.

Ahmad berkata masalah itu bukan kali pertama berlaku kerana sejak menjalankan perniagaan dari tahun 1955 kedai runcitnya kerap mengalami masalah yang sama.

“Apabila kita merungut dan buat report depa packing dengan berat yang betul.

Tapi lepas tu depa buat balik (mengurangkan berat barangan),” katanya.

Justeru itu, Ahmad meminta kerajaan memantau dan mengambil tindakan terhadap sikap pengimport yang tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan kerajaan.

Sementara itu adik Ahmad, Mohamad Ali Mohamad Nordin berkata sekiranya masalah itu berlarutan pengguna akan mengalami kerugian memandangkan ada kemungkinan peniaga terpaksa menjual dengan harga yang tinggi.

“Dahulu bawang besar 10 kg depa (pengimport) dapat untung RM2. Sekarang depa dah pandai kalau bawang 10 kg tu depa paketkan menjadi 3 kg lebih setiap paket depa boleh untung RM4. Yang rugi sekarang pengguna,”
katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan