BN yakin menang 22 kerusi di P.Pinang, tawarkan lebih banyak ‘ganjaran’ menjelang PRU 13
KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Barisan Nasional (BN) yakin akan mengambil alih Pulau Pinang dari Pakatan Rakyat (PR) dengan memenangi 22 daripada 40 kerusi dewan undangan negeri (Dun) - lima lagi kerusi berpeluang menang dan bakal menawarkan lebih banyak lagi “ganjaran” menjelang pilihan raya akan datang, kata satu sumber.
The Malaysian Insider diberitahu, laporan dibawah menunjukkan perubahan ini disebabkan oleh kepimpinan setiausaha agung Gerakan, Teng Chang Yeow dalam BN Pulau Pinang dan juga serangan media terhadap ketua menteri, Lim Guan Eng terhadap pembangunan di cerun bukit serta kelemahan parti komponen utama PR iaitu PKR.
Teng Chang Yeow: PM yang ikhlas.
“BN yakin menang 22 kerusi Dun dan boleh menang lagi lima kerusi dengan sedikit lagi kesungguhan kerana Teng telah berjaya membawa semua parti komponen untuk berkerja bersama-sama,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider dengan menambah kerusi boleh menang adalah yang disandang oleh PKR dan PAS.
Umno sekarang mempunyai 11 kerusi Dun berbanding PR yang memenangi 29 kerusi — DAP 19, PKR sembilan dan PAS 1 dari 40 kerusi Dun.
Pulau Pinang jatuh ketangan pakatan pembangkang DAP, PKR dan PAS dalam PRU 2008 apabila Gerakan, parti yang memerintah negeri tersebut hampir 40 tahun semenjak 1969 kalah semua kerusi.
“Umno boleh menang semua kerusi yang disandang PKR dan PAS. Selebihnya terpulanglah kepada Gerakan, MCA dan MIC untuk merampasnya dari DAP,” tambah sumber tersebut lagi.
Perdana menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak masih belum membubarkan parlimen, akan tetapi Lim bertegas tidak perlu mengikut BN untuk mengadakan pilihan raya serentak. Mandat kedua-duanya akan tamat pada bulan April 2013.
Dalam pilihan raya akan datang, Umno akan bertanding 15 kerusi Dun, Gerakan 13, MCA 10 dan MIC dua.
Satu lagi sumber memberitahu, kepimpinan BN negeri gembira kerana Lim terlalu sibuk dengan hal di Pulau Pinang kerana bertahan dari serangan BN dan media mereka dalam isu tanah sehingga menyebabkan setiausaha agung Dap yang popular itu tidak dapat berkempen untuk PR. Baru-baru ini Lim tidak jadi ke Sabah untuk program DAP dimana beliau kebiasaannya akan didengar oleh ribuan orang dalam ceramah.
“Media tidak membantu Lim. Dia perlu bertahan di Pulau Pinang untuk menjawab kembali isu yang dimainkan oleh media seperti pembangunan di cerun bukit, perumahan untuk rakyat miskin dan keadaan trafik yang begitu teruk,” tambah sumber itu lagi.
Media milik Umno, Media Prima Bhd TV3 dan New Straits Times bersama-sama The Star yang dimiliki MCA telah menjadi media utama dalam menyerang Lim di Penang, yang telah mengalami pembangunan hartanah utama dan pertumbuhan perniagaan sejak beliau mengambil alih negeri tersebut pada Mac 2008.
BN Pulau Pinang telah mencadangkan beberapa inisiatif untuk merampas kembali semula negeri tersebut, seperti mencadangkan mengembalikan status pelabuhan bebas yang diambil dari negeri pada tahun 1970-an. BN negeri juga mempersoalkan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang kepada jutawan logistik,Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang mana Seaport Terminal Sdn Bhd menerima restu bagi pengambilalihan baru-baru ini.
Sumber berkata, BN sedang merancang lebih banyak “ganjaran” bagi Pulau Pinang, negeri zon pembuatan elektronik dengan kilang-kilang yang terletak di pulau itu dan tanah besar yang dihubungkan dengan satu jambatan lain yang akan siap tahun depan.
“BN mempertimbangkan konsesi tol untuk pengguna motosikal, berkemungkinan mengecualikan tol untuk mereka. Lebih banyak yang akan diumumkan apabila pilihan raya bermula,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.
Dalam temuramah bersama The Malaysian Insider baru-baru ini, Teng memuji Najib atas perubahan total bagi BN berbanding sebelum ini, menyebabkan pengundi memikirkan semula sikap anti-BN mereka.
“Melihat program Najib, ia membuktkan Najib adalah PM yang ikhlas untuk membantu segenap lapisan masyarakat. Masyarakat tahu yang beliau mencuba sedaya upaya untuk memulihkan ekonomi negara,” katanya.
“Jadi ini adalah cara kami berlawan dalam perang — tentang apa yang akan kami (BN) akan tawarkan, berbanding mengutuk PR. Kami akan lawan polisi dengan polisi, idealisme dengan idealisme. Sekiranya kita melibatkan diri dalam pergaduhan remeh-temeh seperti salah menyalahkan, ianya tidak akan berakhir,” tambah Teng dalam temuramah tersebut.
Najib telah menunjukkan keyakinan untuk merampas semua negeri yang diperintah oleh PR dan akan mendapatkan kembali majoriti dua pertiga BN di parlimen dalam pilihan raya akan datang. Selain daripada Pulau Pinang, negeri-negeri lain ialah Kelantan, Kedah dan Selangor.
BN telah memulakan kempen pilihan raya dengan Najib mengetuai Jelajah Janji Ditepati dan media arus perdana telah mula menyiarkan kempen “Saya Pilih Malaysia” yang membariskan ketua eksekutif syarikat dan penulis blog pro-kerajaan — dikatakan berhubungkait rapat dengan kempen pilihan raya BN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan