05 Ogos 2012
Pakatan Menang : Beri Kelantan royalti, panel hanya mengarut!!!
SHAH ALAM - Rakan-rakan Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) berpendirian penubuhan panel khas royalti petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung tidak perlu ditubuhkan, sebaliknya pembayaran sepatutnya diberi secara terus kepada Kelantan.
Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata, kerajaan pusat hanya menggunakan nama jawatankuasa khas sebagai taktik Barisan Nasional (BN) membuat persiapan dalam minit-minit terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Hak negeri Kelantan harus diberi secara adil. Jika benar mahu tubuh jawatankuasa khas, kenapa tidak dari dulu saja? Mengapa baru sekarang?" kata beliau.
Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung.
Menurut Najib, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.
Jawatankuasa itu akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan, kata Najib.
Surendran yang juga seorang peguam membidas kajian enam bulan, yang akan dijalankan oleh jawatankuasa itu, atas alasan ia tidak masuk akal.
Jelas beliau, PKR menjangkakan tempoh enam bulan akan melepasi tarikh PRU13 dan jelas langkah menubuhkan jawatankuasa dimaksdukan hanya mainan politik BN.
“Jika mahu kaji selama enam bulan, PRU sudah selesai.
"Jawatankuasa hanya berpura-pura mahu selesaikan konflik ini dan bayaran royalti belum tentu lagi akan diberikan secara terus kepada negeri Kelantan,” tegas beliau.
Sehubungan itu tegas, beliau yakin yang Kelantan tidak akan tertipu kerana taktik BN ini tidak akan memberi impak yang besar dan tidak akan mempengaruhi undi dalam PRU kelak.
Tambah beliau, penubuhan jawatankuasa khas ini tidak lagi menjadi satu isu kerana apa yang penting, Kelantan mesti mendapatkan semula hak mereka yang selama ini dinafikan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Royalti tetap milik Kelantan. Jadi ia mesti diberikan secara adil,” tegasnya.
DAP turut berpendapat yang penubuhan jawatankuasa khas yang diumumkan Najib semalam tidak menjadi satu isu jikapun ia tidak ditubuhkan.
Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, pemberian royalti sememangnya hak Kelantan sejak dulu lagi.“Selama ini hak Kelantan dinafikan oleh Kerajaan Pusat, jadi saya amat berharap mereka dapat kembalikan semula hak Kelantan yang selama ini tidak pernah dirasai oleh rakyatnya,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Menurutnya lagi, bayaran royalti kelak mesti diberikan secara adil dan saksama kepada Kelantan, bukan menggunakan wang ihsan.
“Saya sendiri berasal dari Kelantan. Perjuangan untuk mengembalikan hak ini sudah terlalu lama. Jadi permainan apa yang ingin dimainkan BN dengan tubuhkan jawatan kuasa ini?” kata Ahli Parlimen Kepong.
‘Kelantan berhak terima royalti minyak’ -Sabah dan Sarawak menerima royalti minyak sedangkan Kelantan dinafikan hak yang sama.
SHAH ALAM: Kelantan berhak menerima royalti minyak daripada Kerajaan Persekutuan berdasarkan kedudukan pesisir pantainya, kata Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pendirian itu diulangi Nik Aziz dengan merujuk kepada dua negeri lain iaitu Sabah dan Sarawak yang turut menerima royalti minyak sedangkan Kelantan dinafikan hak yang sama.
Tegasnya, pesisir pantai Kelantan adalah lebih dekat dengan lokasi pelantar minyak di perairan pantai timur semenanjung tersebut.
“Sarawak lebih jauh dari pelantar minyak tetapi sudah lama diberikan royaltinya. Tetapi tidak bagi Kelantan yang sepatutnya berhak menerima royalti lima peratus seperti termaktub dalam perjanjian perkongsian hasil cari gali minyak yang dimeterai antara Kerajaan Pusat, Petronas dan kerajaan negeri.
“Kalau Kelantan tidak dapat itu tidak munasabah,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran tabung Lebuh Raya Rakyat Kuala Krai ke Kota Bharu di Kompleks Media Karangkraf, di sini semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam berkata, dari segi perundangan kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum.”Kelantan hanya mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri tersebut iaitu
kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.
Najib berkata, pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan. Oleh itu, dari segi perundangan, kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan