15 Ogos 2012

Kantoi! Najib minta Kabinet Kaji semula undang-undang kontroversi Akta Keterangan

Kesilapan akta ini akan mengakibatkan impak yang besar kepada kerajaan sekiranya protes dan ketidak puashati ini diterjemahkan kepada kertas undi mungkin kesedaran atas kesan ini Najib terpaksa membuat kajian semula atau menerima padahnya.....

KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Datuk Seri Najib Razak malam ini berkata, Putrajaya akan membincangkan tentang pindaan undang-undang kontroversi Akta Keterangan 1950 Seksyen 114A selepas warga internet Malaysia memprotes undang-undang yang mencengkam kebebasan di alam siber.

Peradana Menteri memberi komen selepas sekurang-kurangnya tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) meminta kerajaan mengkaji semula seksyen 114A daripada akta tersebut.

“Saya telah minta kabinet untuk membincangkan seksyen 114A, Akta Keterangan 1950.

“Apa sahaja yang kita lakukan, rakyat menjadi keutamaan,” kata Najib melalui akaun Twitternya, @najibrazak.

Timbalan menteri pendidikan tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, ketua pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan senator MCA Gan Ping Sieu menyokong protes yang semakin membesar terhadap undang-undang baru itu.

Kempen menentang undang-undang tersebut turut disokong oleh Majlis Peguam dan parti DAP yang menurunkan laman web mereka sempena kempen memboikot internet hari ini.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang dan peguam hak asasi manusia Edmund Bon berikrar tidak akan menggunakan internet selama 24 jam dan laman-laman web seperti Harakahdaily dan Keadilan Daily membuat 'pop up' menyokong kempen menentang seksyen 114A.

Tokoh masyarakat seperti Datin Paduka Marina Mahathir dan Hishamuddin Rais turut bersama-sama kempen ini.

Pindaan akta kontroversi tersebut diluluskan oleh Dewan Rakyat pada bulan April tahun ini dan digazetkan sebagai undang-undang oleh menteri de facto undang-undang Datuk Seri Nazri Aziz pada bulan Julai baru-baru ini.


Sementara itu Seluruh Warga internet sokong protes #Stop114A


KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Warga internet seluruh negara hari ini menyokong kempen untuk memprotes Akta Keterangan 1950 Seksyen 114A yang dipinda pada 31 Julai yang lalu berkenaan dengan internet dan rangkaian sosial.
Menurut pemilik blog terkenal, Hishamuddin Rais, kempen ini tidak seharusnya hanya berada di dalam internet, tetapi perlu diluaskan ke demo jalan raya.

“Sekiranya kempen ini hanya berada di dalam internet semata-mata, kempen ini akan hanya menjadi syok sendiri.

“Orang ramai perlu turun ke jalan raya dan membantah akta ini, kerana sekadar menutup internet tidak akan berlaku apa-apa,” kata blogger yang dikenali sebagai Tukar Tiub itu.

Katanya lagi, akta ini dipinda sedemikian lagi kerana kerajaan sudah semakin takut kerana sudah kehilangan hegemoni terhadap maklumat.

“Sejak internet menjadi medium yang besar, kerajaan sudah tidak boleh memonopoli maklumat, kerana itu mereka adakan akta ini,” katanya lagi.

Pindaan ini akan meletakkan beban membuktikan kesalahan pada pihak yang dituduh dan bukannya kepada pihak yang menuduh, yang jelas bercanggah dengan dasar dan prinsip keadilan. Secara khusus, pengguna laman sosial seperti Facebook, Twitter, blog dan lain-lain akan dipertanggungjawabkan dengan setiap isi kandungan dalam laman-laman mereka, walaupun komen dan artikel itu ditulis oleh pihak lain.

Pembekal perkhidmatan wifi juga akan dikenakan tindakan sekiranya ada pihak yang menyalahguna perkhidmatan tersebut - sekiranya rangkaian wifi rumah anda dicuri, dibawah pindaan ini anda dipertanggungjawabkan.

Sementara itu, ketua editor Malaysiakini, Fathi Aris Omar berkata, laman berita portal itu menyertai kempen ini kerana mahu menyedarkan orang ramai terhadap kelemahan pindaan akta tersebut.

“Segala beban kesalahan hanya diletakkan kepada pemilik laman web, bukan orang yang bertanggungjawab jika sekiranya sesuatu fitnah dari ruang komen.

“Jadi akta ini jelas menakutkan orang ramai untuk bersuara dan memberi pandangan atas apa yang berlaku,” katanya lagi.

Antara yang menyokong kempen ini ialah Free Malaysian Today, Malaysiakini, The Nut Graph, Harakahdaily, Keadilan Daily, dan BFM Radio.

Selain itu, tokoh-tokoh masyarakat seperti Datin Paduka Marina Mahathir menyokong kempen ini.

Ahli politik yang menyokong kempen ini ialah Datuk Saiffudin Abdullah, Khairy Jamaludin, Nurul Izzah, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, lelong.com.my, cari.com.my, Majlis Peguam, Suaram dan Sister In Islam (SIS) menyokong agar pindaan 114A ini dimansuhkan.


Senator BN mahu semak undang-undang ketika ‘Internet Blackout Day’


KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Senator Gan Ping Sieu mahu Putrajaya menyemak semula undang-undang yang mengancam kebebasan hak asasi di internet apabila kebanyakan organisasi hari ini — termasuk Majlis Peguam — tidak menggunakan internet kerana kempen 'Internet Blackout Day' hari ini.

Naib Presiden MCA (gambar) itu adalah wakil rakyat ketiga daripada Barisan Nasional (BN) yang meminta kerajaan melakukan perkara itu apabila Putrajaya meminda Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, yang mana menjadikan mana-mana kedai kopi menawarkan perkhidmatan WiFi turut berisiko diambil tindakan terhadap kesalahan hasutan dan jenayah atas kesalahan dilakukan pelanggan mereka.

“Saya menuntut kerajaan menyemak semula pindaan Akta Keterangan, lebih spesifik Seksyen 114A dan mengambil peluang ini untuk menyuarakan kebimbangan saya terhadap pindaan ini, yang mana memberikan kempen ke seluruh negara untuk kerajaan menyemak dan meluluskannya dalam sidang Parlimen.

“Akta ini bakal memberikan kesusahan kepada mereka yang tidak bersalah jika ditangkap atas dakwaan penyalahgunaan Internet, seperti ‘hacking’ pencuri identity; penipuan, seperti ‘Tweet-jacking’, termasuk pembekal perkhidmatan Internet di pusat membeli-belah, kedai kopi, dan kawasan awam lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Akta baru itu memperuntukan pengguna Internet berdaftar adalah penerbit untuk mana-mana penerbitan dihantar daripada komputer yang dihubungkan dengan servis talian, kecuali sebaliknya dibuktikan.

Seksyen berkenaan turut memperuntukan “sesiapa namanya, gambar, atau pseudonym tertera dalam mana-mana penerbitan menunjukkan dirinya sebagai pemilik, host, editor atau sub editor, atau menerbit mahupun menerbitkan semula yang telah diterbitkan kecuali ianya bertentangan.”

Gan mencadangkan kerajaan menggantikan klaus sedia ada dengan alternatif bagi membolehkan pemberi khidmat Internet memberikan kerjasama untuk agensi penguatkuasaan untuk membantu siasatan dalam penyalahgunaan Internet daripada memperkenalkan “hukuman” kepada pemilik laman web atau pemilik “hardware.”

Menurutnya, terdapatnya keperluan untuk kerajaan untuk memperkenalkan kaedah baru bagi mengatasi masalah berkaitan Internet yang bersembunyi disebalik pengguna identiti palsu dan menyebarkan kenyataan bersifat rasis secara online, namun mengakui akta baru itu gagal untuk melaksanakan perkara itu.

“Buat masa ini, Seksyen 114A Akta Keterangan gagal untuk menguruskan perkara itu dengan berkesan,” katanya.

Majlis Peguam semalam telah membuat rayuan seminggu selepas ia dikuatkuasakan pada 31 Julai.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut menyatakan sokongan terhadap pendirian menentang akta baru itu.

“Kami mendesak ahli Parlimen daripada kedua-dua pihak untuk menarik balik Seksyen 114A.

“Bagi menggantikan seksyen berkenaan, kami menggesa kerajaan mengadakan proses yang lebih telus dan terbuka untuk draf tersebut bagi mengatasi masalah jenayah siber dengan mengadakan perbincangan awam dengan pihak berkepentingan,” kata Majlis Peguam.

Kempen menentang akta baru itu yang mengancam kebebasan bersuara online hari ini mengadakan Internet Blackout Day dengan menutup laman-laman web mereka hingga esok.

Centre for Independent Journalism Malaysia (CIJ) berkata, Majlis Peguam telah mengesahkan mereka akan menutup laman web mereka bagi menyokong kempen tersebut dan DAP menutup kesemua laman web mereka pada 14 Ogos.

Lim Kit Siang dan peguam Edmund Bon mula offline untuk 24 jam bagi kempen tersebut. Antara lain termasuklah Datin Paduka Marina Mahathir, Hishamuddin Rais (Tukar Tiub), Uppercaise, Nat Tan, Niki Cheong, Anil Netto, Juana Jaafar, Sarawak Bloggers, Fahmi Fadzil dan myasylum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan