29 Julai 2012

TERKINI!!! Anwar disambut Lajim Ukin, gerakan baru merebak ke seluruh Sabah

PERKEMBANGAN MENARIK GERAKAN PERUBAHAN BARU AKAN MENGGEGARKAN PUTRA JAYA


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) tengah malam tadi dari Kuala Lumpur.

Ketibaannya disambut oleh Naib Presiden PKR, Tian Chua, pengerusi majlis pimpinan negeri, Ahmad Thamrin Jaini, ahli-ahli majlis pimpinan negeri dan puluhan penyokong Pakatan Rakyat yang setia menunggu Anwar tiba di balai ketibaan.

Anwar baru sehari tiba dari tanah suci Makkah setelah selesai mengerjakan ibadah umrah selama lima hari dan tiba dari Jeddah, Arab Saudi dengan penerbangan jam 1.45 petang kelmarin.

Turut menanti ketibaan Anwar adalah Presiden Parti Reformasi Sabah (STAR), Jeffery Kitingan.

Paling mencuri tumpuan, kehadiran Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga ahli parlimen Beaufort, Lajim Ukin yang mengumumkan perletakkan jawatannya dalam semua jawatan parti Umno-APCO dan kerajaan serta Pengerusi BN Beaufort.

Lajim mengumumkannya dalam satu majlis ringkas di kediamannya di Likas Jaya, Kota Kinabalu, jam 6 petang semalam.

Beliau turut mengumumkan sebuah parti baru, Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang dijangka dirasmikan Anwar dalam satu majlis di Beaufort, jam 6 petang nanti.

Pada masa yang sama, Lajim mengumumkan seramai 17 pemimpin PPS dilantik bagi menyelia 17 kawasan parlimen di bawah gerakan baru tersebut.

Beberapa pemimpin tempatan menyifatkan kehadiran Anwar telah lama ditunggu-tunggu kerana proses perubahan politik di negeri ini memerlukan satu suntikan baru dengan keluarnya Lajim dan juga ahli parlimen Tuaran yang juga Timbalan Presiden United Pasokmomogun Kadazandusun Organization (UPKO), Wilfred Bumburing.

Dalam majlis yang akan diadakan di Masjid Jamek Kampung Kebatu, Beaufort, Anwar dan Lajim serta pemimpin Pakatan Rakyat dijadual akan berbuka puasa di masjid tersebut dengan Anwar dijangka akan memberi ucapan berkenaan keputusan Lajim mengisytiharkan keluar Umno-APCO dan perlunya rakyat Sabah membuat perubahan keluar dari paras kemiskinan.

Sabah merupakan negeri kedua termiskin di Malaysia selepas Sarawak berdasarkan pendapatan per kapita penduduk.

Selesai majlis tersebut, menurut aturcara program yang diedarkan sejak tiga hari lalu, Anwar dan saf pimpinan akan bertolak ke kediaman Lajim di Likas Jaya untuk meneruskan perincian hala tuju politik Lajim serta proses pengambil alihan kerajaan persekutuan dari tangan Barisan Nasional (BN) selepas pilihanraya umum ke 13 yang dijangka diadakan September ini.

Sementara itu di PEKAN, PAHANG, Perdana Menteri Najib dalam komen selepas mengetahui

keputusan Lajim tersebut berkata, kedudukannya selaku timbalan menteri akan diumumkan pada Isnin ini setelah selesai perbincangan dengan timbalannya, Muhyiddin Yassin yang semalam berada di Sabah tetapi telah pulang ke Kuala Lumpur malam tadi juga setelah gagal dalam misinya menghalang Lajim keluar Umno-APCO.


PPS dijangka akan bersama menyokong Pakatan Rakyat dalam memastikan BN negeri yang diterajui Ketua Menteri, Musa Aman tumbang dalam pilihanraya umum akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan