12 Julai 2012

BERSIH 3.0: BUKAN SAJA SAYA DIPUKUL 10 ANGGOTA POLIS, BARANG JUGA DICURI

Inkuiri Suhakam: Saksi dakwa polis curi barangan peribadi ketika dipukul


KUALA LUMPUR, 11 Julai — Inkuiri kedua Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini diberitahu saksi bahawa barangan peribadi miliknya telah dicuri pihak polis ketika dipukul sewaktu menyertai perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih, Bersih 3.0, pada 28 April lalu.

Arshad Abas yang ditahan ketika dalam perjalanan pulang selepas perhimpunan Bersih 3.0 “duduk bantah” di Dataran Merdeka mendakwa sebelum dipukul, dia telah diarahkan untuk menukar baju T kuning Bersih yang dipakainya, dan ketika hendak menukar baju berkenaan, dia telah dipukul sekitar lapan hingga 10 anggota polis.

“Saya dalam perjalanan pulang selepas perhimpunan, saya bertembung dengan dua kumpulan anggota polis dan mereka mengarahkan saya menukar baju T kuning Bersih. Ketika saya ambil baju dari dalam beg, saya telah dikerumuni pihak polis dan mereka memukul saya menggunakan kaki dan tangan.

“Kemudian, saya hanya lihat tangan yang saya yakin daripada pihak polis membongkar beg saya. Saya telah kehilangan seunit Samsung Tab 7.0, jam tangan, termasuk baju yang saya hendak tukar dengan baju Bersih yang saya pakai,” katanya kepada panel hari ini.

Beliau turut mengesahkan barangan-barangan itu belum lagi dikembalikan kepadanya walaupun laporan polis telah dibuat berhubung kehilangan itu.

“Sampai sekarang saya masih lagi tidak memperolehi barangan tersebut,” tambahnya lagi.

Malah, menurut Arshad lagi, ketika ditahan, anggota polis yang bertindak memukulnya telah memberitahu mereka bertindak ganas terhadapnya kerana salah seorang daripada anggota mereka telah meninggal dunia.

“Saya terkejut kenapa mereka memberitahu saya perkara itu,” tambahnya lagi.

Ekoran insiden itu, Arshad telah menerima lima jahitan di kawasan atas kening kanannya dan telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada hari yang sama perhimpunan itu berlangsung.

Panel hari ini telah diketuai oleh Naib Presiden Suhakam sendiri, Professor Datuk Dr Khaw Lake Tee, dan dibantu pesuruhjayanya Professor Dr Mahmood Zuhdi dan Detta Samen, manakala pihak polis diwakili oleh Asistan Komisioner Jamaluddin Abdul Rahman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan