23 Jun 2012

UMNO-BN U-TURN LAGI! Pembentangan Manifesto Di Media Elektronik diganti Siar Rakaman

Siar Rakaman Manifesto Mahfuz Dakwa Aziz Diperguna Umno-BN


SHAH ALAM 23 JUN : Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof didakwa dipergunakan Umno-BN selepas menyedari melakukan kesilapan membuat tawaran kepada semua parti politik membentangkan manifesto di media elektronik kawalan mereka dalam kempen Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) nanti.

Dakwaan itu dibuat Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika mengulas kenyataan dibuat Abdul Aziz bahawa hanya siaran rakaman dibenarkan bagi tujuan itu terhadap semua parti politik dan bukannya secara langsung.

Laporan media menyiarkan kenyataan Abdul Aziz yang menyatakan ketetapan itu dibuat bagi mengelakkan penyiaran bahan yang mungkin menyentuh peribadi seseorang, mengancam keselamatan dan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti kaum serta agama.

“Siapa dia (Abdul Aziz) untuk buat kenyataan seperti ini,” katanya kepada TVSelangor ketika dihubungi di sini hari ini.


Mahfuz berkata, Abdul Aziz dengan peranannya sebagai Pengerusi SPR perlu bersikap berkecuali dalam perkara ini.

“Maka dengan ini alasan diberikan hanya siaran rakaman dibenarkan bagi mengelakkan pelbagai perkara tidak diingini timbul dan menuduh parti pembangkang sering memanipulasi sesuatu isu. Namun sebenarnya Umno-BN yang sering mengambil kesempatan dengan memanipulasi sesuatu perkara itu demi kepentingan mereka,” katanya.

Syarat dikenakan itu juga jelasnya bertujuan supaya parti pembangkang khususnya Pakatan Rakyat (Pakatan) menolak tawaran dikemukakan itu bagi memberikan perspektif negatif terhadap gabungan itu di mata rakyat.

“Pemimpin Umno-BN menyedari mereka akan mendapat kesan yang negatif berikutan penyiaran itu maka syarat begini dikenakan supaya parti pembangkang menolaknya,” ujarnya.

Pada 7 Jun lalu, Rais berkata parti politik kini dibenarkan membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi RTM selepas kertas kabinet mengenainya diluluskan Jemaah Menteri.

Akses media yang bebas dan adil antara 22 saranan dibuat Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang diserahkan kepada SPR selepas mereka meluluskan tanpa bahas di Dewan Rakyat pada 3 April lalu.


Rais Yatim Sudah Kembali Ke Pangkal Jalan?

Posted at 6/07/2012



KUALA LUMPUR - Parti-parti politik kini dibenarkan untuk membentangkan manifesto pilihan raya masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Beliau berkata, perkara itu diputuskan setelah kertas kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses sama rata terhadap media bagi parti-parti politik yang mahu membentangkan manifesto pilihan raya diluluskan jemaah menteri.
"Oleh kerana hujah kita adalah berasas kepada Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung hak dan kebebasan bersuara, maka kertas kabinet yang dibentangkan itu telah diterima.

"...Dan nas yang terpenting di situ ialah apabila Dewan Rakyat dibubarkan atau mengikut lunas tempoh masa yang diberi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk berkempen, maka dalam masa berkempen itulah hak bagi menyuarakan manifesto parti-parti politik diberi menerusi RTM dan badan-badan penyiaran yang lain," katanya ketika berucap merasmikan Wisma Berita RTM dan pelancaran Portal Berita dan Arkib Digital di Angkasapuri di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tentang had masa dan syarat-syarat yang bakal dikenakan berikutan keputusan itu.

Katanya apa yang boleh dilunaskan setakat ini ialah peluang itu diberi kepada setiap parti politik untuk menyuarakan pandangan menerusi manifesto mereka dalam waktu yang dihadkan dalam saluran di RTM.

Rais berkata dalam memberi kebenaran, pelbagai perkara harus diteliti iaitu, sama ada RTM perlu mengikut selera parti politik atau amalan di negara-negara Komanwel dan negara maju yang lain yang mana mereka juga ada menetapkan syarat-syarat dalaman tertentu yang perlu dipatuhi.

"Misalnya di England, BBC memberi sekitar 10 ke 15 minit untuk menyiarkan manifesto parti-parti politik semasa pilihan raya dengan beberapa syarat dalaman yang mereka olah, begitu juga di Singapura dan Thailand, malah yang terbaru Myanmar turut memberikan peluang itu dengan syarat-syarat tertentu dalam bentuk amalan yang boleh diterima oleh pelbagai pihak.

"Tentu sekali dengan keputusan ini pelbagai soal dan juga pandangan akan diberi namun kerajaan akan menerimanya secara terbuka tetapi ia mesti terasas kepada perkara yang tersusun dan tertakluk dari segi konsep penyiaran untuk negara," katanya.

Rais bagaimanapun menegaskan sebagai media kerajaan, RTM harus tetap memberi keutamaan kepada penyiaran berita-berita berkaitan kerajaan dan kepentingan rakyat.

"Sebagai media kerajaan, kita harus mementingkan hak kerajaan dan oleh kerana RTM adalah badan penyiar kerajaan, maka siaran-siaran dan berita-berita kerajaan perlu mendapat keutamaan," katanya.
~bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan