14 Jun 2012

Tanda-tanda kejatuhan BN bertambah jelas — Aspan Alias



14 JUN — Mencapai matlamat perjuangan sememangnya susah dan terpaksa menghadapi pahit maungnya dengan tabah dan sabar yang maksima. Mencari kebaikan akan berhadapan dengan halangan yang rintangannya kadangkala kita rasakan tidak akan tercapai. Tetapi usaha ini terpaksa juga diteruskan kerana dalam keadaan yang mendesak mesti ada pihak yang berani dan sanggup berkorban dan menghadapinya walaupun ianya berhadapan dengan berbagai-bagai risiko yang tidak ramai sanggup menghadapinya.

Apa sebenarnya yang membuatkan ada pihak yang sanggup melakukan usaha untuk kebaikan ini? Jika tercapai akhirnya matlamat yang dicari itu, siapakah yang akan menikmatinya? Apakah sebenarnya kepuasan kepada siapa yang berjuang itu? Sebelum itu persoalannya apakah yang menjadi penyebab seseorang atau kumpulan itu sanggup berjuang sambil menghadapi segala rintangan yang bukan kecil itu?

Bagi kita rakyat di Malaysia sekarang ini, perjuangan yang berada di hadapan sekali ialah perjuangan untuk mengembalikan negara kepada landasan yang sebenar dan hakiki itu. Perjuangan setengah pihak sekarang ialah untuk menjaga negara kita yang dianugerahi kekayaan yang melempah-ruah untuk rakyatnya diuruskan dengan baik dan sempurna. Keadaan negara sekarang berada di dalam keadaan yang paling menyayat hati kepada sesiapa yang berfikir dan sayangkan negara ini.

Kebanyakan kemerdekaan dan tamadun sesebuah negara dan “empire” yang tertulis di dalam sejarah dunia ini ialah kerana isu rasuah yang besar-besar. Rasuah merupakan isu yang tidak ada tolok bandingnya kerana rasuah itu boleh menjahanamkan seluruh sistem ampuh sesebuah negara dan jajahan itu.

Negara kita sekarang sedang berada dalam keadaan yang sama semasa Empire Rome ketika tamadunnya hendak runtuh dan berkecai dahulu. Begitu juga semasa kekuasaan Uthmaniah dahulu dan banyak lagi contoh-contoh yang sama berlaku di dalam negara dan tamadun yang telah hilang dimamah sejarah.

Di antara dua puluh enam “dynasty China”, dinasti Qing merupakan dinasti yang terakhir yang menghadapi keadaan yang sama sehinggakan dinasti itu jatuh bergelimpangan dengan “people’s power” pada 1910 dahulu dan akhirnya dinasti yang kuat dan kukuh itu telah jatuh dengan penolakan rakyat. Semua tamadun ini merupakan tamadun yang kuat yang tidak ada siapa yang menyangka tatkala itu yang mereka akan jatuh tersembam oleh kehendak rakyat.

Umno Baru dan BN juga sedang berada di dalam keadaan yang sama, dalam mana kekuasaan yang telah mereka perolehi selama lebih lima dekad itu nampaknya sudah menunjukkan tanda-tanda akan jatuh. Segala dalil dan petanda kejatuhan yang kita lihat sekarang ini dialami oleh rakyat negara kita hampir sama dengan apa yang dialami oleh rakyat “empire” dan negara yang saya sebutkan tadi.

Di antaranya rasuah yang tidak terkawal lagi, kuasa diperguna dengan salah dan ketidakadilan dilakukan terhadap mereka yang berusaha untuk memperbaikinya. Memfitnah dan menggunakan institusi kerajaan sebagai egen kebobrokkan mereka menjadi perkara biasa. Yang benar menjadi salah dan yang salah dijadikan perkara benar.

Inilah yang berlaku apabila kuasa yang dipegang itu berada di dalam tangan dalam tempoh yang terlalu lama. Gerakan yang sama juga sedang dilakukan oleh rakyat negara ini. Reaksi kepada yang berkuasa kita sekarang juga sama dengan pemimpin-pemimpin negara dan “empire” yang telah hilang ditelan sejarah itu. Yang berkuasa selalunya akan hilang hidayah untuk mentadbir secara baik dan sesuai dengan kehendak dan keperluan rakyat semasa

Apa yang perlu kita semua lakukan ialah untuk menunjukkan perbezaan di antara kumpulan reformis dan yang sedang berkuasa. Itu sebabnya saya selalu menulis supaya pendukung perubahan melalui Pakatan Rakyat kali ini perlu dilakukan dengan penuh berhemah dan demokratik. Pihak PR tidak boleh respons dengan tindak tanduk kasar pihak BN dan inilah dia sebenarnya dugaan bagi pihak-pihak yang inginkan perubahan.

Kita mesti ingat yang pihak berkuasa sekarang sedang dalam keadaan “desperate” maka kerja-kerja kasar dan kata-kata yang kotor yang keluar dari mulut pimpinan kerajaan sekarang merupakan perkara yang “normal” yang lazim dilakukan oleh pihak yang akan jatuh tersungkur. Berbohong adalah sifat mustahil bagi Allah swt dan Tuhan Semesta Alam ini akan memberikan hidayah kepada pihak yang sabar dan istiqomah dalam perjuangannya.

Kejayaan akan hanya didapati oleh mereka yang berusaha, bersabar dan istiqomah dalam perjuangannya. Tidak ada pihak yang sabar itu yang tidak berjaya akhirnya. Percayalah tentang kehendak “nature” ini dan kita hanya menunggu sambil berusaha keras untuk mencapai apa-apa matlamat yang baik itu.

Kepayahan dan kesusahan itu memang pakaian mereka yang berjuang. Perjuangan yang baik itu tidak ada yang mudah dan senang, begitu jugalah kita dalam usaha untuk membina negara untuk kemajuan yang hakiki. Media massa yang digunakan oleh pihak pemerintah secara tidak adil itu telah menjemukan rakyat sebenarnya. Apa yang harus dilakukan oleh mereka yang bertentangan dengan kuasa yang zalim kini ialah dengan memberikan penerangan yang sehabis baik dan jujur tentang isu-isu yang berbangkit di pihak pemerintah pada hari ini.

Apabila rakyat mendapat maklumat yang sebenarnya tidak ada kuasa yang boleh mengalihkan pandangan rakyat dari pemerintah kepada pihak yang bertentangan. Kejayaan akhirnya akan tercapai dan persoalan siapa yang akan menikmati dari kejayaan ini mudah untuk dibayangkan.

Kejayaan usaha pihak yang hendak mengambilalih mandat ini akan memberikan kebaikan kepada rakyat yang sedang hidup dalam kongkongan pemerintah yang memerintah tanpa hidayah ini. Rakyat ramai akan berpeluang untuk bersama hidup dalam harmonis tanpa isu-isu rasis yang diperkayakan oleh Umno Baru yang “desperate” ini.

Rakyat akan berpeluang untuk tidak lagi mendengar slogan-slogan kosong yang sekarang dipergunakan oleh pihak pemerintah untuk mengelirukan rakyat. Rakyat juga mempunyai harapan untuk menyekat pengaliran wang negara secara haram seperti yang berlaku sekarang yang jumlahnya melebihi RM1.3 trillion sejak sepuluh tahun yang lalu.

Mungkin juga rakyat tidak akan mendengar kejadian memelihara lembu dengan belanja RM179 juta untuk mengeluarkan hanya seribu ekor lembu sahaja. Rakyat juga tidak mahu lagi mendengar pemimpin miskin yang mampu membina rumah dan mahligai yang berharga puluhan juta ringgit.



Dengan peralihan kuasa kita berharap tidak akan ada lagi isteri-isteri pemimpin yang lebih “kuah dari sudu” atau seperti “kera mendapat bunga” dengan membelanjakan wang rakyat yang jumlahnya amat besar dan tidak dapat dikira.

Jika berlaku peralihan kita berharap tidak ada lagi pemimpin yang berbelanja dengan sewenang-wenangnya wang rakyat seperti apa yang berlaku hari ini. Hari ini pemimpin-pemimpin besar tidak malu-malu membelanjakan wang rakyat dengan pembaziran di hadapan mata rakyat yang bertungkus lumus membina sumber kewangan negara kita. Tetapi dalam masa yang sama mereka menyeru rakyat berbelanja secara berwasatiyah kononnya.

Tetapi seperti yang saya katakan tadi jalan untuk menuju ke arah kebajikan ini amat sukar tetapi insyaallah kita akan berjaya akhirnya. Tanda-tandanya semakin jelas kita lihat.

Bersabarlah dan teruskan usaha… Insyaallah perjuangan kita tidak akan sia-sia. — aspanaliasnet

Tiada ulasan:

Catat Ulasan