17 Jun 2012

SKANDAL SCORPENE : SAKSI PERTAMA AKAN HADIR KE MAHKAMAH PERANCIS!

Suaram: Pegawai Kanan Abdul Razak Baginda Akan Beri Keterangan Kes Scorpene




PETALING JAYA, 16 JUN: Seorang bekas pegawai kanan Abdul Razak Baginda, akan tampil di mahkamah Perancis bagi memberikan keterangan berhubung skandal pembelian kapal selam Scorpene.

Jasbir Singh Chahl, yang merupakan pegawai Perimekar, sebuah syarikat kepunyaan Abdul Razak, telah disapina oleh mahkamah negara itu supaya hadir untuk memberi keterangan.

Pengarah SUARAM Cynthia Gabriel berkata Jasbir mempunyai banyak maklumat untuk dikongsikan dan beliau telah sahkan kehadiran beliau pada pendengaran kes tersebut.

Pengumuman ini yang dibuat di Majlis Makan Malam Kutipan Dana Ops Scorpene semalam, disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh hadirin.

Jasbir merupakan antara saksi yang disenaraikan oleh Suaram untuk disapina oleh mahkamah Perancis bagi kes Scorpene yang akan dibicarakan di negara tersebut.

Saksi lain yang telah dipanggil oleh mahkamah tersebut adalah Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Abdul Razak yang merupakan bekas pembantu kanan Najib, turut dipanggil mahkamah tersebut.

Turut tersenarai adalah Bapa mendiang juru bahasa Altantuya Shaaribu, Dr Setev Shaaribu, pengarah pengurusan Boustead Tan Sri Lodin Wok Kamarudin, penyiasat persendirian, P.Balasubramaniam dan isteri Abdul Razak, Mazlinda.

Cynthia turut memberitahu, walaupun pihaknya menghadapi pelbagai rintangan untuk membawakan kes

ini di Mahkamah Perancis, tetapi ianya semakin berjalan lancar.Beliau juga berkata walaupun kes ini cuba disisihkan oleh media pro-Umno-BN, ia semakin mendapat liputan meluas di seluruh dunia.

Makan malam di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya itu juga dihadiri beberapa Ahli Parlimen termasuk Tony Pua, Nurul Izzah Anwar dan Sivarasa Rasiah.
Juga hadir Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu dan ADUN Kota Damansara Dr Nasir Hashim.

Di dalam ucapannya, Tony menyelar sikap menteri Umno-BN yang tidak mahu menjawab soalan berkaitan skandal ini di Parlimen dengan alasan dokumen berkaitan kes itu di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Di Parlimen tak boleh dedahkan kononnya dokumen sulit itu tertakluk di bawah OSA, tetapi bila jual pada firma negara asing RM142 juta, ‘kaw tim’,” kata beliau.

Sebelum ini, seorang peguam Perancis, Joseph Breham, mendedahkan dokumen sulit Tentera Laut Diraja Malaysia dijual kepada syarikat pembina kapal Perancis, DCNS.

Dokumen tersebut didakwa dijual dengan harga RM 142 juta oleh oleh syarikat Terasasi (Hong Kong) Limited yang dimiliki oleh Abdul Razak dan bapanya, Abdul Malim Baginda.

Sementara itu, Makan Malam tersebut berjaya mengumpul RM 200,000 bagi membiayai perbelanjaan pengurusan kes itu di Perancis.




Jumlah tersebut diperolehi dari hasil jualan tiket bagi setiap meja makan yang bernilai dari RM10,000 hingga RM1,000, lelongan kemeja-t bertandatangan Cynthia dan lakaran kartun oleh kartunis terkenal, Zunar.

Sebanyak 10 helai kemeja-t bertandatangan itu dilelong dengan format ‘tender terbuka’ dengan bidaan tertinggi bernilai RM2,000 sehelai.

Lelongan lakaran kartun yang memaparkan kapal selam scorpene membawa ‘rakyat Malaysia’ sambil memegang ‘C4′ dan sedang cuba merempuh lelaki berlabel ‘Najib’ pula telah mendapat bidaan tertinggi bernilai RM5,000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan