20 Jun 2012

MP BN janji peralihan aman jika Pakatan menang, Najib setuju ke?



Peralihan kuasa akan berlaku secara aman sekiranya benar Pakatan Rakyat dapat mengambil alih kuasa dalam pilihan raya umum akan datang, kata ahli Parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan.

Bercakap pada debat anjuran Malaysiakini malam tadi, Abdul Rahman berkata, BN mampu menerima kekalahan dengan hati terbuka seperti situasi di Kelantan pada 2004 apabila tewas dengan majoriti amat kecil.

"(Pada masa itu) PAS memenangi satu kerusi dengan majoriti dua undi. Walaupun setelah 20 tahun (memerintah), bila kami kalah, kita tidak melakukan apa-apa.

"Kita beri pada mereka secara jujur dan adil," kata Abdul Rahman sebagai menjawab persoalan yang diutarakan.

Menghangatkan lagi suasana debat malam tadi yang dihadiri kira-kira 300 hadirin, Abdul Rahman sebaliknya berkata, sekiranya pada pilihan raya umum akan datang Pakatan tewas, keadaan seperti perhimpunan BERSIH 3.0 akan berlaku.

"Sebab mengapa saya berkata demikian kerana, saya percaya, keganasan pada 28 April merupakan amaran kepada Malaysia bahawa pembangkang tidak akan bertolak ansur sekiranya kalah pada pilihan raya umum," katanya yang menerima sorakan 'boo' oleh hadirin.

Abdul Rahman bagaimanapun dengan tenang dan berseloroh berkata, beliau datang pada debat tersebut berseorangan dan tidak membawa pasukan sorak. "Saya telah bercakap dengan orang saya dalam BN, jika kita kalah, kalahlah," kata Abdul Rahman.

'Keganasan sebenar'


Sementara itu, membidas kenyataan Abdul Rahman, ahli Parlimen Subang daripada PKR, R Sivarasa berkata, sekiranya tiada pilihan raya yang adil dan bersih, di mana-mana negara sekalipun rakyat akan turun ke jalanan.

Beliau berkata, wajar sekiranya rakyat membantah pilihan raya yang telah dirancang dan tidak adil.

Sivarasa menegaskan lagi, jika ingin bercakap mengenai perhimpunan pada 28 April, keganasan sebenar apabila gas pemedih mata dan meriam air digunakan oleh pasukan beruniform.

"Jika menang dengan cara yang bersih dan adil tidak mengapa. Tetapi jika menipu dan menang, oh, kita akan pergi ke jalanan. Seluruh rakyat di dunia akan pergi ke jalanan.

"Tiada orang yang membenarkan pilihan raya yang tidak adil dan menipu," katanya disambut dengan tepukan hadirin.


Debat semalam siri pertama "Debatkini" anjuran Malaysiakini. Turut dibariskan semalam Naib Presiden MCA Gan Ping Sieu dan ahli parlimen PAS Mujahid Yusof Rawa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan