24 Mei 2012

ISU BEKALAN AIR SELANGOR, ADAKAH SPIN PEMBANGKANG BERJAYA!


Menteri & pemimpin pembangkang Selangor dipelawa lawat empangan buktikan air cukup


SHAH ALAM, 23 MEI: Bekalan air mentah di Selangor hari ini bukan sahaja mencukupi malah berada di tahap berlebihan sehingga mampu menyebabkan kejadian banjir di beberapa tempat di negeri ini.

Mengikut data yang dikeluarkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada Mei 2012 simpanan air mentah di tujuh empangan di negeri ini melebihi seratus peratus simpanan.

Statistik tersebut di edarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menyangkal dakwaan Menteri Kerajaan Pusat, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan pemimpin Umno-BN Selangor yang tahap bekalan air Selangor pada paras kritikal.

Abdul Khalid berkata, jumlah takungan sumber air di empangan Negeri Selangor adalah sebanyak 522.655 juta meter padu.


“Sejak Febuari 2012, semua tujuh empangan berada dalam keadaan memuaskan dan mampu untuk membekalkan sumber air kepada semua loji pembersihan air Selangor.

“Melalui rekod pemantauan tahunan LUAS, semua empangan mampu membekalkan sumber air dan belum pernah mencecah tahap kritikal yang ditetapkan dalam lengkuk operasi empangan (dam rule curve),” kata Abdul Khalid di dalam satu sidang media di sini.

Sebelum ini, Peter pernah dilaporkan berkata, di dalam Dewan Rakyat pada April bahawa rizab bekalan air di empangan Selangor pada tahap 2.4 peratus. Rizab optimum adalah pada 10 ke 15 peratus.

Akan tetapi kenyataan tersebut bercanggah dengan laporan LUAS, kata Abdul Khalid.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kenyataan bahawa kadar rizab air di Selangor hanya tinggal 2.4 peratus sahaja berbanding kadar sepatutnya iaitu 20 peratus, adalah salah,” tegas Abdul Khalid.

Abdul Khalid mempelawa Peter, iaitu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, pemimpin Umno-BN Selangor dan media untuk melawat empangan air bagi membuktikan kadar rizab air negeri berada dalam tahap yang selesa.

Selain itu, Abdul Khalid menegaskan Kerajaan Selangor tidak akan menentang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan mahu projek itu dimasukkan di dalam pakej penyelesaian penyusunan semula industri perkhidmatan air selaras dengan Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA).


Cadangan pakej itu juga akan membolehkan Kerajaan Selangor mengambilalih pembekalan dan pengurusan air daripada syarikat konsesi.

Bagaimanapun menurut Abdul Khalid, cadangan pembinaan projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 itu tidak perlu diberikan keutamaan pada masa sekarang.

KRISIS AIR SELANGOR : S/U UMNO SELANGOR TERJAH PAKATAN !
KENYATAAN MEDIA DATO’ SRI Ir. MOHD ZIN MOHAMED MENGENAI ISU AIR SELANGOR.


Seperti yang semua maklum, Negeri Selangor kini mengalami masalah air yang genting disebabkan kadar rizab air di negeri ini hanya tinggal 2.4 peratus sahaja berbanding kadar yang sepatutnya iaitu 20 peratus.

Masalah ini dikhuatiri akan berpanjangan sekiranya Kerajaan Negeri pimpinan Khalid Ibrahim masih enggan memberi kebenaran supaya Projek Loji Rawatan Air Langat 2 diteruskan seperti yang dirancang.

Kajian menunjukkan Lembah Klang akan mengalami krisis air yang serius pada 2014 jika tiada usaha bersepadu mendapatkan bekalan air mentah dari luar Lembah Klang.

Pelbagai kajian dilakukan bagi menangani perkara ini dan akhirnya keputusan untuk menyalurkan air mentah dari Pahang diputuskan memandangkan ianya melibatkan kos yang paling kompetetif.

Isu bekalan air di negeri ini sangat serius hingga akan menyebabkan 129 kilang dengan nilai pelaburan RM3.8 bilion dan menjana 12,300 peluang pekerjaan tidak dapat dijalankan. Sejumlah projek perumahan juga tidak dapat dilaksanakan kerana dikhuatiri tidak dapat menyediakan bekalan air yang mencukupi.

Masalah melibatkan air merupakan sesuatu yang serius. Sebagai contoh, negara jiran kita Singapura langsung tidak mempolitikkan masalah air mereka kerana mereka menganggap sumber air adalah satu keperluan asas yang penting sehingga melibatkan ‘national security’.


KRISIS AIR SELANGOR : NOH OMAR PERINGAT RAKYAT SELANGOR.



Apa akan berlaku kalau projek loji air di Hulu Langat ini terus tertangguh?

1. Krisis air akan berlaku di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

2. Cuma, sekiranya projek ini dapat disempurnakan, sebanyak 1.4 juta pemegang akaun air akan dapat menikmati air mentah bersih ini. Iaitu lebih kurang seramai 7 juta rakyat akan dapat menikmati air mentah bersih ini (1.4 juta akaun x 5 orang dalam sebuah rumah).

3. Kalau projek ini tertangguh lagi, kos pembinaannya akan bertambah tinggi.

4. Bila kosnya bertambah tinggi, kos air bersih kepada rakyat pada masa akan datang - akan bertambah tinggi juga.

5. Masalah akan timbul kepada bangunan-bangunan tinggi dan flat yang lebih dari 5 tingkat.

6. Tanpa air yang mencukupi, water pressure akan berkurangan. Maka, bangunan lebih 5 tingkat tidak akan dapat bekalan air.

7. Maka penduduk akan terpaksa mengambil air dari bawah flat atau bangunan dengan menggunakan tangki air.

8. Pemaju perumahan, pemaju hartanah dan pemaju pejabat-pejabat akan meminta assurance for future water supply untuk menjalankan projek-projek hartanah di Selangor. Sekiranya tiada, mereka akan melabur di tempat lain atau negeri lain.

Sebenarnya kementerian berkenaan telah beberapa kali mengadakan mesyuarat dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Keputusannya - Abdul Khalid tidak bersetuju dengan projek ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan