04 Mei 2012
Global BERSIH: Jangan berurusan dengan media perdana
"Mana-mana badan atau syarikat berpengkalan di Malaysia harus menimbang semula secara serius dalam menjalankan urusan bersama dengan media arus perdana atas sebab penyiaran laporan yang tidak beretika terhadap perhimpunan 'Duduk Bantah' BERSIH", kata Global BERSIH.
Dengan menyifatkan beberapa organisasi media prima sebagai "sama sekali menjejaskan masa depan demokrasi diMalaysia", badan gabungan rakyat Malaysia di luar negara itu berkata, "Kami menyeru mana-mana syarikat yang terlibat dalam pengiklanan serta penaja yang membantu membiayai organisasi media tersebut untuk bertanya kepada diri mereka sendiri, 'Apa yang kita lakukan terhadap Malaysia?'"
"Syarikat yang mengiklan atau membuat penajaan dengan kumpulan media ini harus sedar bahawa jika mereka terus bekerjasama dengan media perdana, ia bererti mereka juga bersekongkol dengan penyelewengan maklumat yang disebarkan melalui media-media tersebut ke atas perhimpunan BERSIH Sabtu lalu."
"Dengan bersekongkol, ia secara tidak langsung adalah salah dari segi moral dan etika. Amalan ini mesti dihentikan jika rakyat Malaysia mahukan kemajuan dan perubahan dalam demokrasi yang semakin rosak teruk akibat gejala seleweng maklumat ini."
Sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia (World Press Freedom Day) anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB semalam (3 haribulan Mei), Global BERSIH mengeluarkan kenyataan dengan menyelar media arus perdana yang disifatkan gagal menyebar maklumat secara tepat kepada masyarakat umum di Malaysia.
"Skandal disebalik penapisan laporan BBC mengenai peristiwa sabtu lalu adalah salah satu contoh penyelewengan maklumat oleh media arus perdana. Alasan yang tidak munasabah diberikan oleh ASTRO untuk memotong sebahagian daripada laporan BBC dan Al Jazeera mengenai BERSIH 3.0 hanya akan mengkhianati kepercayaan penonton dan juga pelanggan."
Selain itu, Global BERSIH juga menuding jari ke arah Radio Televisyen Malaysia, TV3 serta akhbar Utusan Malaysia, The Star, dan The New Straits Times sebagai contoh yang jelas memutar belit maklumat dan memanipulasi peristiwa BERSIH seolah-olah rakyat yang menyertai dipersalahkan kononnya sebagai pencetus huru-hara.
"Para penerbit artikel dan berita dari kalangan media perdana ini sememang sudah tahu akan kebobrokan system pilihanraya yang sedia ada namun mereka masih lagi sengaja memburuk-burukkan himpunan 'Duduk Bantah' yang memperjuangkan pilihanraya adil dan bersih. Oleh itu, adalah amat jelas mereka secara tidak langsung telah menafikan tuntutan murni BERSIH."
"Kesimpulannya, liputan mereka mengenai perhimpunan 'Duduk Bantah' Sabtu lalu itu sudah cukup untuk membuktikan kegagalan media perdana di Malaysia sebagai penyebar sumber maklumat yang benar dan tepat kepada masyarakat di Malaysia serta seluruh dunia," kata Global BERSIH.
*Kenyataan oleh Global BERSIH movement
Tiada ulasan:
Catat Ulasan