22 April 2012
Demo PTPTN: Misi kami belum gagal, kata SMM
SHAH ALAM - Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Malaysia Bangkit masih berpendirian tegas bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) wajar dimansuhkan sambil menafikan tanggapan bahawa misi pihaknya telah gagal atau sudah beralih fokus.
Kedua-dua pergerakan penuntut institusi pengajian tinggi itu mengadakan demonstrasi menuntut PTPTN dimansuhkan pada 14 April lalu di ibu negara dan kemudian berkhemah di Dataran Merdeka sejak itu.
Pihaknya yang mengosongkan Dataran Merdeka buat sementara sejak petang kelmarin mahu kembali berkhemah hari ini.
"Kemungkinan sasaran kami belum seratus peratus tercapai setakat ini, selepas satu minggu mengadakan demonstrasi, tetapi kami belum gagal dalam matlamat perjuangan kami.
"Dakwaan mengatakan kami sudah gagal atau sudah beralih daripada fokus perjuangan kami, tidak benar, tidak berasas," kata Setiausaha Media SMM, Ahmad Syukri Kamaruddin ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Mengambil kira perkembangan sepanjang seminggu ramai beranggapan bahawa misi dan matlamat pergerakan pelajar itu sudah gagal.
Beliau berkata, dalam tempoh yang singkat ini pihaknya sudah berjaya mencetuskan satu 'gelombang' di kalangan mahasiswa dan rakyat pada keseluruhannya mengenai isu ini.
"Sebagai contoh, selepas kami diserang minggu lalu, sokongan rakyat kepada kami meningkat. Lebih 1,000 orang datang pada sebelah malam Khamis lalu, sertai pada aktiviti-aktiviti yang diadakan," katanya merujuk kepada sidang rakyat dan kuliah 'Dataran Merdeka' yang diadakan setiap malam sepanjang minggu lalu.
SMM dan Malaysia Bangkit mengadakan demonstrasi di ibu negara pada 14 April lalu dengan berarak dari Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka dan berkhemah di lokasi bersejarah sejak itu.
Mereka mengosongkan Dataran Merdeka buat sementara waktu bagi menghormati Konsert Diraja yang diadakan malam tadi sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong.
Ahmad Syukri berkata, matlamat pihaknya juga tidak berubah iaitu mahukan PTPTN dimansuhkan sama sekali, dan digantikan dengan pendidikan percuma.
"Ini matlamat kami, kami mahu kerajaan menyediakan pendidikan percuma dan disediakan elaun sara hidup kepada pelajar yang meneruskan pengajian tinggi," katanya.
Ketika ditanya sama ada pihaknya bercadang mengadakan pertemuan dengan pengurusan PTPTN, Ahmad Syukri berkata, pihaknya tiada hasrat untuk berbuat demikian.
"Kami tidak akan berjumpa dengan mereka. Dan, kami juga mahu kerajaan memberi respons kepada tuntutan kami, kami mahu Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) datang jumpa kami di sini dan memberikan jaminan, tidak kisah jika datang meluangkan sedikit masa sahaja untuk bertemu dengan kami.
"Jika Perdana Menteri boleh bertemu dengan rakyat di seluruh negara dan meluangkan masa untuk mereka, mengapa tidak bagi kami di Dataran Merdeka," katanya yang menegaskan, pihaknya akan berada di Dataran Merdeka sehingga Sabtu ini.
Sambil mendakwa "Perdana Menteri seolah-olah tutup sebelah mata", Syukri berkata, pihaknya juga tidak pernah menjemput pemimpin Pakatan Rakyat (PR) datang ke Dataran Merdeka.
"Mereka datang dengan sendiri, kami tak jemput mereka pun. Jadi, kami pun berharap pemimpin kerajaan akan datang," katanya lagi.
Pihaknya kata beliau, akan mengadakan aktiviti kemuncak pada sebelah malam Jumaat ini.
"Kami akan mengadakan Malam Unggun Bersih sebagai aktiviti terakhir kami di Dataran Merdeka," kata beliau.
bertahanlah anak2 sekalian..bersabar dan usah dilayan provok buduh orang2 buduh tu...bersabarlah tunggu kami akan sampai seawal pagi 28apr nanti..
BalasPadam