Oleh: Amin Iskandar
Empat tahun sudah berlalu apabila buat pertama kalinya tsunami politik melanda negara. Pada 8 Mac 2008, rakyat semenanjung Malaysia membuat kejutan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12.
Perdana menteri (PM) pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menantunya tergamam tidak menyangka seteruk itu keputusan PRU. Kalau tak kerana terlalu mendengarkan menantunya dan budak tingkat empat merengek, sudah tentu Pak Lah masih PM Malaysia.
Majoriti dua pertiga BN di parlimen dirampas oleh gabungan PKR, PAS dan DAP - kini bergelar Pakatan Rakyat.
Negeri terkaya di Asia Tenggara, Selangor Darul Ehsan jatuh ke tangan PR. Perak, Kedah dan Pulau Pinang bertukar kepimpinan negeri.
Kelantan kekal di bawah pimpinan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat walaupun menantu Abdullah Badawi, Khairy Jamaluddin ghairah dengan kempen "pade doh" yang kononnya mampu merampas Kelantan.
Tidak hairanlah mengapa sehingga hari ini Khairy Jamaluddin terus dibenci oleh sebahagian besar ahli-ahli Umno termasuklah mantan perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Tsunami politik menyebabkan jangka hayat Abdullah Badawi lebih pendek daripada sepatutnya. Ianya menjadi mimpi ngeri kepada Umno dan BN. Tsunami tidak mungkin akan dilupakan. Jika tidak kerana Sabah dan Sarawak, hari ini BN sudah tentu tidak lagi berkuasa.
Selepas 8 Mac
Tsunami dan "aftershock" demi "aftershock" yang berlaku selepas PRU ke-12 menyebabkan BN tidak senang duduk. Tamparan hebat diberikan apabila PR menang dalam banyak pilihan raya kecil (PRK).
Sebelum 8 Mac 2008, boleh dikatakan BN menang hampir kesemua PRK. Ini adalah kerana seluruh jentera kerajaan dapat bertumpu di sesuatu kawasan PRK dan ini memberikan kelebihan kepada BN.
Apatah lagi media arus perdana memihak kepada BN. BN kini sedar, rakyat mahukan perubahan. Sebaik sahaja Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kuasa, gagasan 1Malaysia dicanangkan.
Program transformasi ekonomi, politik dan sosial diperkenalkan. Ini adalah kerana Najib sedar, rakyat Malaysia sudah menjadi semakin bijak serta mahukan perubahan.
Selepas Tsunami, kerajaan tidak lagi boleh berbuat sesuka hati. Lihatlah bagaimana skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) terpaksa dibatalkan oleh kerana terdapat bantahan ramai.
Dalam erti kata lain, suara rakyat menjadi semakin kuat apabila parti yang memerintah itu tidak mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen. Apabila negara mempunyai pembangkang yang kuat, kebajikan rakyat semakin terjamin.
Dahulu di zaman BN menguasai majoriti dua pertiga di parlimen, kerajaan yang memerintah boleh berbuat sesuka hati sepertimana Pak Lah menaikkan harga minyak sebanyak 70 sen dalam satu-satu masa.
Janji tidak ditunaikan
Tsunami politik tidaklah bermakna rakyat membiarkan Pakatan berbuat sesuka hati. Selain dari dipantau oleh Umno-BN, Pakatan juga dipantau oleh pengundi-pengundi mereka.
Jika ada wakil rakyat tidak berkhidmat dengan baik, jangan haraplah akan terus mendapat sokongan orang ramai. Jika Pakatan berkeras untuk meletakkan calon seperti ini, mereka juga akan berhadapan dengan risiko kalah dalam pilihan raya.
Rakyat Malaysia bernasib baik oleh kerana tsunami 8 Mac memberikan mereka peluang untuk melihat bagaimana Pakatan mentadbir negeri-negeri yang mereka kuasai seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Kita dapat menyaksikan bagaimana menteri besar bagi negeri Kedah bermati-matian mempertahankan kolej di bawah kekuasaannya menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terhadap lima orang mahasiswa.
Selain itu, rakyat Malaysia juga menyaksikan bagaimana janji-janji untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan tidak ditunaikan. Orang-orang yang kononnya mahukan pilihan raya dilaksanakan kini lebih berusaha keras untuk mencari alasan agar tidak perlu melaksanakannya.
Maklumlah, sistem yang sedia ada lebih "enak" dan memberikan hasil yang lumayan.
Tidak dinafikan juga ada dasar-dasar yang baik dilaksanakan. Akan tetapi pemantauan yang kuat terhadap negeri-negeri Pakatan perlu diperhebatkan oleh rakyat agar perubahan yang dijanjikan dapat berlaku.
Jangan dilihat gelojoh
Tidak lama lagi, gendang pilihan raya akan dibunyikan. BN mahu terus berkuasa dan Pakatan mahu merampas kuasa. BN kita sudah boleh baca wataknya oleh kerana telah terlalu lama memerintah.
Akan tetapi cabaran kini terletak kepada bahu Pakatan kerana mereka mahu menjadi alternatif kepada BN. Dalam PRU ke-13 ini, jika benar-benar ingin menguasai Malaysia, Pakatan harus menunjukkan imej sebuah gabungan parti politik yang benar-benar mampu untuk memimpin Malaysia.
Amalan bertanding di kerusi DUN dan Parlimen sekali gus bagi seorang calon sudah sampai masanya dimansuhkan. Amalan ini sesuai bagi parti politik baru atau calon yang tidak mempunyai keyakinan untuk menang di sesuatu kerusi.
Ini adalah taktik "play safe" untuk memastikan seseorang pemimpin itu menang sekurang-kurangnya di salah satu kerusi yang dipertandingkan.
Pada 8 Mac 2008, rakyat masih boleh faham jika Lim Guan eng bertanding di kedua-dua kerusi DUN dan Parlimen sekaligus. Ini kerana, Lim Guan Eng sendiri tidak begitu yakin untuk menang.
Jika dalam PRU ke-13 ini Pakatan masih lagi meneruskan amalan ini, calon yang bertanding kedua-dua kawasan DUN dan Parlimen ini akan dilihat gelojoh.
Orang-orang lain yang berpotensi juga tidak akan mendapat peluang untuk ditonjolkan sebagai pemimpin. Tsunami seharusnya memberikan pengajaran kepada semua pihak baik BN mahu pun PR.
Jika khianat rakyat, Tsunami yang melanda BN tidak mustahil akan berbalik kepada Pakatan. Yang pasti, rakyat bukan lagi bodoh dan mudah untuk diperkotak-katikkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan