24 Mac 2012

HUKUMAN IMAM BALING SELIPAR DIRAYU OLEH ISTERI

Menurut Karpal, hukuman setahun penjara yang dikenakan ke atas imam itu adalah melangkaui bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

PUTRAJAYA, 23 Mac — Isteri kepada Hoslan Husin, imam yang telah dijatuhkan hukuman setahun penjara oleh mahkamah atas kesalahan menghina mahkamah ekoran membaling hakim menggunakan selipar hari ini membuat rayuan kepada mahkamah agar melakukan semakan semula ke atas hukuman suaminya itu.
Noorliza Mat Isa membuat permohonan tersebut di Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman di sini dengan ditemani peguamnya, Karpal Singh.

Menurut Karpal, hukuman setahun penjara yang dikenakan ke atas suaminya adalah melangkaui bidang kuasa Mahkamah Persekutuan, dan hakim tidak menyatakan dengan jelas akta yang digunakan untuk menghukum Hoslan.

"Hukuman setahun penjara ke atas Hoslan adalah di luar bidang kuasa Mahkamah Persekutuan kerana berdasarkan Seksyen 228 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

"Terdapat peruntukan yang menyatakan maksimum enam bulan penjara kerana menghina mahkamah," kata Karpal.

"Di bawah Seksyen 228, setiap gangguan terhadap proses perundangan terhadap pegawai kerajaan boleh dikenakan penjara tidak lebih enam bulan dan denda RM2,000.

Tambah Karpal, walaupun mahkamah tidak menyatakan di bawah undang-undang mana Hoslan di hukum, "tidak akan ada akta lain selain 228."

"Sekarang kita lihat dia dijatuhkan huuman setahun, itu menunjukkan mahkamah bertindak melebihi kuasanya," jelas Karpal lagi.

Tambahnya lagi, turut tidak dinyatakan secara terperinci butiran dari mana hukuman "penjara setahun" itu dikenakan.

"Hukuman tersebut turut tidak menyatakan mahkamah menggunakan akta mana, dan ada kekurangan di situ," tambahnya.

Dalam permohonannya itu, Karpal juga menuntut hukuman ke atas Hoslan dikurangkan dengan sekurang-kurangnya dikenakan hukuman denda dan dia dibebaskan.

"Tiada undang-undang lain untuk menjatuhkan hukuman," kata Karpal.

Hoslan yang merupakan bekas imam Masjid Al-Rahimah di Kampung Pandan sebelum ini telah melemparkan selipar ke arah hakim ketika perbicaraan kerana tidak berpuas hati hakim hanya mengambil masa kurang setengah jam untuk menggugurkan kesnya.

Disebabkan insiden tersebut, dia dijatuhkan hukuman setahun penjara kerana dikatakan telah menghina mahkamah atas tindakannya itu.

Dia kini dipenjarakan di Penjara Kajang dan menurut isterinya, Hoslan turut mengajar Fardhu Ain kepada banduan di penjara berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan