07 Februari 2012

TERDESAK SANGAT NOH OMAR, BAGI KUNCI RUMAH TANPA CF

Exco: Saya tak cemburu, Noh kena ikut prosedur


GOMBAK - Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, beliau tiada masalah jika Datuk Seri Noh Omar mahu membantu pembeli-pembeli pangsapuri Residensi Bistaria, Hulu Klang, tetapi biarlah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu mengikut prosedur.

Iskandar berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah berhubung perkara tersebut walaupun pihaknya memantau perkembangan melalui perbincangan yang diadakan bersama pemaju sepanjang tempoh empat tahun lalu.Beliau menegaskan, sepatutnya ia dijalankan mengikut prosedur peraturan yang sedia ada kerana rumah tersebut masih belum mendapat sijil layak menduduki bangunan (CF).

“Saya tiada masalah walaupun kita pantau perkara ini sepanjang tempoh empat tahun tetapi akhirnya menteri yang turun, tetapi biarlah mengikut peraturan kerana laporan dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ) menunjukkan pada hari kunci diserah pemaju belum lagi memohon untuk mendapat CF.

“Selepas kunci diberi baru nak usaha dapatkan CF. Patutnya menteri ikutlah prosedur yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media Majlis Kesyukuran sempena kelulusan permohonan tanah penduduk Kampung Bendahara, di Batu Caves dekat sini, hari ini.
Iskandar menekankan beliau tidak ‘cemburu’ kunci tersebut diserahkan oleh Noh kepada pembeli-pembeli tetapi hanya mempertikaikan berhubung soal CF yang melibatkan perundangan.

Iskandar mendakwa, tindakan seperti itu dilakukan mungkin kerana pilihan raya yang semakin hampir. “Faham-faham sahajalah. Saya rasa mungkin sebab itulah kerana pilihan raya semakin dekat. Saya lihat Umno tiada isu atau sebarang benda yang nak dibanggakan di negeri ini.

“Jadi dia (Umno) perlu sesuatulah tetapi tidak mengapalah yang penting ikut undang-undang,” katanya.


Pada Selasa lalu, Iskandar berkata, beliau mengalu-alukan hasrat Noh, yang juga Timbalan Pengerusi Umno Selangor untuk membantu pembeli-pembeli rumah di Ukay Bistari, Hulu Kelang.
"Tetapi ia mestilah usaha yang bersungguh-sungguh dan bukan untuk mencari publisiti," kata Iskandar sambil menambah, terdapat kekeliruan dan banyak persoalan menyelubungi majlis serah kunci oleh Noh kepada pembeli-pembeli pangsapuri Residensi Bistaria, 30 Januari lepas.

Pertama, katanya, laporan Majlis Perbandaran Ampang Jaya atau MPAJ menunjukkan pemaju pada hari kunci diserah belum lagi memohon untuk mendapat sijil layak menduduki bangunan atau CF.
Tanpa CF, meter air tidak dapat dipasang maka sudah tentu penduduk tidak dapat berpindah masuk secara sah.Oleh itu, katanya, beliau menasihatkan Noh untuk tidak mempolitikkan masalah rakyat.

Dalam pada itu, Iskandar menambah, Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan 30 peratus masalah melibatkan 144 projek perumahan terbengkalai sejak mengambil alih tampuk pemerintahan.Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, daripada jumlah itu 20 peratus berjaya disiapkan manakala bakinya sedang dibina.

“Memang ada 144 yang terbengkalai tetapi apabila kita ambil alih 20 peratus kita dah siapkan.
“Sepuluh peratus lagi kita dapat selesaikan melalui pemaju yang baru atau kita mulakan semula,” katanya pada sidang media selepas Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat di Kampung Bendahara di sini, hari ini.

Majlis tersebut diadakan sempena kelulusan pemilikan tanah di kampung tersebut setelah 20 tahun penduduk menantikannya.Dalam perkembangan berasingan, sebanyak 220 geran tanah diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi penduduk di kawasan tersebut setelah menanti 20 tahun.
Iskandar berkata, bagaimanapun, 20 permohonan ditolak kerana tanah kosong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan