01 Februari 2012

Anwar nasihatkan Mahathir supaya 'duduk diam-diam'

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menasihatkan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed supaya “duduk diam-diam di rumah dan jaga cucu di rumah” serta tidak ‘menyerangnya’ tanpa sebarang asas.

"Itu orang tua belum habis lagi ka? Sudah la tu. Dia dan keluarga sudah kaya-raya, Mirzan dah berbilion.

"Cukuplah, duduk diam-diam di rumah dan jaga cucu di rumah," katanya kepada lebih 1,000 hadirin di acara rumah terbuka Tahun Baru Cina PKR Batu di Kuala Lumpur.

Anwar yang juga ketua umum PKR mengulas serangan bekas ketuanya pada Isnin lalu yang berkata bekas timbalan perdana menteri itu memang mempunyai hubungan rapat dengan Yahudi dan malah berkawan dengan anggota kongres Amerika Syarikat yang berbangsa Yahudi.

Mahathir juga dilaporkan berkata Anwar suka jika dipuji oleh orang Barat.

"Dia kata saya dekat dengan orang Israel. Dulu dia kata saya ikut orang Cina. Kalau jadi PM, saya akan jual negara ini pada orang Cina."

"Dey ane! Mana satu ini.

"Hari itu saya pergi majlis Ponggal, saya pakai topi India. Macam MGR (bintang filem India). Nanti dia kata saya ikut orang India pula!" sindir Anwar.

Ucapannya disambut dengan tepukan gemuruh daripada hadirin yang sebahagian besarnya masyarakat Cina yang telah menyambut beliau dengan paparan tarian singa sebelumnya.

Anwar juga diraikan dengan hidangan ‘yee sang’ dan disertai oleh pemimpin-pemimpin PKR serta komponen Pakatan yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan