25 Februari 2012

10 lagu dangdut haram disiar

JAKARTA- Komisi Penyiaran Daerah Nusa Tenggara Barat (NTB) melarang lembaga penyiaran radio dan televisyen menyiarkan 10 lagu dangdut yang mempunyai lirik mengandungi unsur lucah dan tidak mendidik.

Ketua Komisi Penyiaran Indonesia (KPID) Daerah NTB, Badrun AM semalam berkata di Mataram, pihaknya mengeluarkan larangan penyiaran 10 lagu dangdut itu kerana boleh merosakkan moral masyarakat. Sepuluh lagu yang dilarang daripada disiarkan itu adalah lagu Jupe Paling Suka 69, Mobil Bergoyang, Apa Aja Boleh, Hamil Duluan, Maaf Kamu Hamil Duluan, Satu Jam Saja, Mucikari Cinta, Melanggar Hukum Wanita Lubang Buaya dan Ada Yang Panjang.

Larangan menyiarkan lagu dangdut berkenaan dibuat selepas satu penyelidikan terperinci dilakukan membabitkan segelintir tokoh, termasuk tokoh budayawan, Musbiawan; tokoh media, Bochri Rohman; tokoh akademik, Dr Kadri, pengamal media, Adhar Hakim dan wartawan kanan, Karna Sinoel. Sebelum ini, Bahagian Pengawasan Isi Siaran KPID NTB menerima aduan masyarakat dan beberapa tokoh agama di daerah itu yang berpendapat penyiaran lagu dangdut itu di radio tempatan dan televisyen di Jakarta tidak wajar kerana liriknya tidak bersesuaian dan tidak mendidik masyarakat. “Selama dua minggu mulai 25 Januari hingga 14 Februari lalu, pasukan pemantau melakukan penyelidikan terperinci terhadap 300 lagu dangdut pelbagai versi dan genre, termasuk klasik, pop, koplo, reggae dan house dangdut yang paling diminati dan menjadi pilihan orang ramai,” katanya.

Badrun berkata, pendapat dan kritikan pelbagai tokoh dijadikan rujukan untuk KPID NTB membuat keputusan. Menurut Badrun, hasil analisis menunjukkan lagu Jupe Paling Suka 69 nyanyian artis kontroversi Julia Perez dengan nada suara erotik menggambar hubungan intim penyanyi itu. Lagu itu adalah lagu tema filem lakonan Jupe, Pocong Minta Kawin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan