31 Januari 2012

Penulis Lirik 'Awan Nano' Buddhi Hekayat Anggap Berpolitik Tak Pernah Halang Kerja Seninya

Penulis Lirik 'Awan Nano' Buddhi Hekayat Anggap Berpolitik Tak Pernah Halang Kerja Seninya
Nasmi Hashim atau lebih dikenali sebagai Buddhi Hekayat

PETALING JAYA: Penulis lirik lagu Awan Nano, yang menjuarai Anugerah Juara Lagu Ke-26, semalam (Ahad) Nasmi Hashim atau lebih dikenali sebagai Buddhi Hekayat berkata beliau tidak menggunakan bidang seni sebagai medium untuk berpolitik walaupun beliau terlibat dalam bidang tersebut secara langsung.

Nasmi kini memegang jawatan sebagai Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parit Sulong, Johor.

Menurut penulis lirik itu, dalam berkarya apa yang menjadi keutamaannya ialah menyampaikan mesej berunsur kemanusiaan dan mampu memberi kebahagiaan kepada orang lain yang mendengarnya.

"Seni masih lagi medium terbaik untuk saya menyampaikan mesej kemanusiaan.

"Saya berkarya untuk semua orang, saya tak buat lagu untuk satu parti atau mana-mana parti tertentu," katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Justeru katanya, lagu Awan Nano yang bermaksud 'pelindung' dan karya-karyanya yang lain turut mempunyai unsur-unsur kemanusiaan selari dengan prinsip penulisannya.

Lirik lagu tersebut katanya dicipta lebih kurang tiga tahun yang lalu sebelum diserahkan kepada komposer.

Lagu itu dinyanyikan oleh juara Akademi Fantasia Ke-7, Hafiz turut mengungguli dalam kategori vokal terbaik. Melodi lagu tersebut adalah ciptaan komposer terkenal M.Nasir.

Nasmi berkata, beliau sebenarnya sudah terlibat dalam bidang seni dan penulisan bukan baru tetapi kira-kira 15 tahun yang lalu dan tidak menganggap berpolitik sebagai halangan untuk berkarya.

"Kerja seni saya melampaui parti dan saya tak jadikan parti sebagai halangan.

"Parti sebagai wadah untuk saya bergerak, itu sahaja," katanya.

Sebelum Awan Nano, pemuda berusia 36 tahun ini pernah menulis lagu untuk kumpulan Spider berjudul 'Ajaib' dan banyak mempelajari tentang teknik penulisan lirik daripada arwah Loloq.

Beliau juga banyak menghasilkan karya-karya untuk kumpulan muzik bebas selain mengisi ruang Sastera Budaya, Berita Harian (1998-2001), portal Kakiseni dan Jalantelawi.com.

Nasmi menambah, berkarya sambil menceburi bidang politik adalah perkara biasa yang turut berlaku di luar negara.

Malah, beliau turut menegaskan nama pena Buddhi Hekayat yang digunakannya sekarang dalam bidang seni juga bukan bertujuan untuk menyembunyikan identitinya sebagai ahli politik daripada diketahui umum.

"Dalam dunia penulisan nama pena adalah perkara biasa. Lima belas tahun saya dalam bidang seni, lima belas tahun jugalah saya guna nama yang sama ini," ujarnya lagi.

Mengulas lanjut penglibatannya dalam bidang politik, beliau berkata selepas PKR berjaya pada pilihan raya umum 2008 yang lalu yang menyaksikan parti tersebut berjaya menguasai beberapa buah negeri, beliau lebih banyak memberi tumpuan kepada bidang seni.

"Nak kata saya berpolitik sepenuh masa pun tidak juga. Tugas saya agak kurang. Saya sukakan cabaran.

"Banyak yang saya sudah cuba dalam usia muda. Saya menulis, saya ceburi bidang politik. Sama jugalah orang seni yang sudah tua, dan mereka beralih ke politik," jelasnya.

Ditanya adakah beliau bimbang kerjayanya dalam bidang seni akan terganggu selepas masyarakat mengetahui tentang diri dan latar belakang politiknya, beliau menjawab:

"Saya lebih senang orang kenal saya sebagai orang yang mahu beri kesenangan dan kebahagiaan kepada ramai orang dengan karya-karya saya.

"Dalam politik pun pandangan saya lebih kepada manusiawi, bukan matlamat untuk bermusuh atau merebut kuasa."

Dalam pada itu, beliau berkata selepas kemenangan Awan Nano, beliau mula melihat arah yang dicari-cari selama ini dan akan lebih aktif menulis lirik.

"Saya akan lebih aktif dalam bidang seni. Bukan sebab kecewa dalam politik, tapi saya rasa waktu yang ditunggu-tunggu sudah tiba," katanya lagi.

Dengan kemenangan Awan Nano ciptaan komposer M.Nasir dan nyanyian Hafiz telah berjaya membawa pulang hadiah berupa trofi dan wang tunai keseluruhan sebanyak RM35,000.

Hafiz turut memenangi vokal terbaik dengan menerima trofi dan wang tunai RM10,000.

Awan Nano telah berjaya mengalahkan 11 buah lagu lain antaranya Cinta Muka Buku (Najwa Latif), Kalau Berpacaran (Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan, Altimet), Karma (Faizal Tahir), Penakut (Yuna) dan Sedetik Lebih (Jaclyn Victor).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan