19 Januari 2012

PENJELASAN MB KEDAH: AUKU DILAKSANAKAN DI KUIN

MB Kedah: AUKU tetap dilaksanakan di KUIN


KUALA LUMPUR, 19 Jan - Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan tetap dikenakan terhadap mana-mana mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang melakukan kesalahan.

Jelas Azizan, isu sama ada KUIN melaksanakan AUKU ke atas mahasiswa yang melakukan kesalahan bukan isu besar sebaliknya ia boleh diselesaikan secara baik.Beliau berkata penggantungan lima mahasiwa KUIN tahun lalu dibuat mengikut peruntukan di bawah kesalahan AUKU menambah pengurusan pusat pengajian tinggi itu membuat keputusan berdasarkan undang-undang sedia ada.

"Tindakan dibuat kerana kelima-lima mahasiswa ini melakukan kesalahan dan hukuman dibuat mengikut undang-undang sedia ada, jadi tidak timbul sama ada kerajaan negeri Kedah tidak seiiring dengan kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat yang mahu memansuhkan AUKU.

"KUIN adalah di bawah tanggungjawab penuh kerajaan negeri Kedah, keputusan penggantungan dibuat pentadbiran KUIN...dan saya tidak campur tangan sangat dalam hal ini," katanya kepada The Malaysian Insider. Semalam kumpulan mahasiswa mendesak Azizan menyatakan pendirian rasmi berhubung AUKU yang menjadi matlamat Pakatan Rakyat untuk memansuhkan undang-undang yang telah menyekat kebebasan mahasiswa selama ini.

Lima mahasiswa itu didakwa di bawah kesalahan AUKU kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.

Dalam perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, kelima-lima mahasiswa itu dijatuhkan hukuman gantung pengajian.

Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran.

Tempoh penggantungan empat mahasiswa yang digantung satu semester sudah tamat.

Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Mohd Safwan Anang berkata penggantungan lima mahasiswa KUIN itu bertentangan dengan janji dan prinsip Pakatan Rakyat untuk memansuhkan undang-undang itu.

“Kita mahukan satu jawapan rasmi dan permohonan maaf daripada kerajaan negeri Kedah dalam perkara ini, jika perlu bayar ganti rugi," katanya.

Ekoran penggantungan itu, kelima-lima mahasiswa itu mengambil tindakan perundangan mencabar keputusan KUIN itu.Kes itu akan mula disebut pada 12 Mac depan.
Menyentuh tindakan lima mahasiswa itu, Azizan berkata KUIN akan memberikan hujah-hujah di mahkamah nanti.

"Mereka yang failkan di mahkamah, bukannya kita...kalau kita (failkan) kita akan tarik balik.

"Kita akan jumpa mereka di mahkamah, kita akan lihat siapa yang betul," katanya.

Beliau juga menegaskan tidak akan membuat permohonan maaf kepada lima mahasiswa itu sambil menyifatkan "tidak melakukan apa-apa kesalahan."
- TMI

Semalam berlaku protes mahasiswa di depan pejabat agung pas
Mahasiswa mahu MB Kedah bebaskan KUIN daripada AUKU

KUALA LUMPUR, 18 Jan — Seperti perumpaan “paku dulang paku serpih”, mungkin itulah gambaran yang disuarakan kumpulan mahasiswa terhadap kepimpinan PAS yang mendesak Putrajaya agar memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) namun gagal menasihati Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) dalam isu penggantungan lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

PAS bersama rakan komponen Pakatan Rakyat selama ini mendesak Putrajaya memansuhkan AUKU namun lima mahasiswa KUIN digantung pengajian tahun lalu dengan menggunakan undang-undang itu.

Kesemua penuntut itu didakwa di bawah kesalahan AUKU kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara di sudut pidato dan mengadakan sidang akhbar berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.

Dalam perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, kelima-lima mahasiswa itu dijatuhkan hukuman gantung pengajian.Empat mahasiswa digantung satu semester sementara seorang lagi dua semester.
Tempoh penggantungan empat mahasiswa sudah tamat.

Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) Mohd Safwan Anang berkata sehingga kini masih belum ada jawapan rasmi daripada Azizan mengenai AUKU.“Masih belum ada kenyataan rasmi daripada KUIN, kerajaan negeri Kedah khususnya Menteri Besar dalam isu penggantungan lima mahasiswa KUIN ini.

“Jika di Selangor Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengatakan AUKU tidak akan digunakan. Jadi apa pendirian Kedah di bawah PAS dalam isu ini...dalam manifesto Pakatan Rakyat mengatakan akan mansuhkan AUKU tapi di Kedah macam mana pula?” katanya pada sidang media di hadapan ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut di sini.

Jelas Safwan, penggantungan lima mahasiswa KUIN itu bertentangan dengan janji dan prinsip Pakatan Rakyat untuk memansuhkan undang-undang yang telah menyekat kebebasan mahasiswa selama ini.

“Kita mahukan satu jawapan rasmi dan permohonan maaf daripada kerajaan negeri Kedah dalam perkara ini, jika perlu bayar ganti rugi.“Namun sehingga kini tiada respons, memorandum sudah dihantar namun tiada jawapan,” katanya.Sementara itu Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Ahmad Syukri Abd Razab menegaskan penggantungan lima mahasiswa itu disifatkan beliau sebagai diskriminasi terhadap kebebasan akademik.

“Apa yang berlaku di KUIN bertentangan dengan apa yang diperjuangkan PAS dan Pakatan rakyat, kita membantah sebarang bentuk diskriminasi terhadap kebebasan akademik,” katanya.

Kira-kira 20 aktivis mahasiswa berkumpul di hadapan ibu pejabat PAS sambil membawa sepanduk tertulis “Bebaskan 5 Mahasiswa KUIN”, “Benarkan Mahasiswa Bersuara”, “Mahasiswa Tolak AUKU” dan “Mansuhkan Akta 174”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan