13 Januari 2012

MALAYSIA PUSAT WANG HARAM

Malaysia pusat wang haram Asia?
Written by Dr Rosli Yaakop

Dalam laporan bertajuk “Aliran Wang Haram dari Negara-negara Sedang Membangun: 2002-2006 (Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2002-2006) yang diterbitkan dalam tahun 2008, Global Financial Integrity (GFI), sebuah pertubuhan penyiasatan kewangan antarabangsa, mendedahkan wang haram (illicit money) berjumlah USD1 trilion mengalir keluar meninggalkan negara-negara sedang membangun setiap tahun dalam tempoh 2002-2006. Di dalam laporan selanjutnya yang diterbitkan dlam tahun 2011 bertajuk “Aliran Wang Haram dari Negara-negara sedang Membangun: 2000-2008 – Kemaskini dengan Fokus kepada Negara-Negara Asia” (Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2000-2008 – Update with a Focus on Asia), pertubuhan itu mendapati pemindahan wang haram yang lebih besar, iaitu, US1.26 trilion, berlaku setiap tahun dalam tempoh 2002-2008. GFI di dalam laporan yang dikemaskinikan ini menyebut perkara-perkara berikut:

Negara-negara Asia adalah penjana utama wang haram menyumbang sebanyak 44.4% kepada jumlah aliran wang haram dunia.

10 negara menyumbang sebanyak 70% kepada jumlah aliran wang haram dunia terdiri dari, mengikut urutan ranking masing-masing, China (USD2.18 trilion), Russia (USD427 bilion), Mexico (USD416 bilion), Saudi Arabia (USD302 bilion), Malaysia (USD291 bilion), Emiriyyah Arab Bersatu (USD276 bilion), Kuwait (USD242 bilion), Venuzuela (USD157 bilion), Qatar (USD138 bilion) dan Nigeria (USD130 bilion).

Lima negara Asia yang mengalami pemindahan wang haram ke luar negeri yang besar terdiri dari China (USD2.18 trilion), Malaysia (USD291 bilion), Filipina (USD109 bilion), Indonesia (USD104 bilion) dan India (USD104 bilion). Kelima-lima negara ini menyumbang 96.5% kepada jumlah aliran keluar wang haram dari Asia.

Aliran keluar wang haram dari negara-negara pengeksport petroleum seperti Russia, Emiriyyah Arab Bersatu, kuwait dan Nigeria semakin meningkat.

Bagi Malaysia, laporan terkini terbitan GFI itu mendedahkan sebanyak US291 bilion (RM1,077 bilion) wang haram telah mengalir keluar dari negara ini dalam tempoh 9 tahun (2000-2008). Penemuan ini amat memeranjatkan kerana, pertama, dari kalangan 152 buah negara, aliran keluar wang haram dari Malaysia adalah yang kelima terbesar di dunia dan yang kedua terbesar di kalangan lima negara Asia, tidak sepadan dengan saiz ekonomi. Dari segi saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Malaysia adalah sebuah ekonomi yang kecil pada kedudukan ke 38 dari 190 buah negara. Kedudukan Malaysia dalam aliran keluar wang haram jauh lebih buruk berbanding negara Thailand (ke 24) yang saiz ekonominya lebih besar, Brunei (ke 30), Bangladesh (ke 46) dan Zimbabwe (ke 73).

Kedua, dalam tempoh kajian (2000-2008) Malaysia menguatkuasakan kawalan pertukaran asing yang ketat yang tidak membenarkan warga negara dan pelabur asing membawa wang ke luar negera sesuka hati. Sejak 1998, pasaran luar persisiran pantai bagi ringgit telah dihentikan, matawang ringgit denominasi besar (RM1000 dan RM500) dimansuhkan, pelabur-pelabur luar dibenarkan menghantar dividen ke luar negara hanya selepas satu tahun ia diperolehi dan pelbagai lagi sekatan yang menghalang aliran keluar dana dari Malaysia.

Ketiga, aliran keluar wang haram itu berterusan dalam tempoh yang panjang sedangkan di Bank Negara Malaysia telah diwujudkan Unit Perisikan Kewangan atau “Financial Inteligence Unit” (sejak 2002) bagi mengesan aktiviti penyeludupan wang haram ke luar negara dan juga Bank Negara menguatkuasakan undang-undang “money laundering.”

Ini mengundang persoalan: Bagaimanakah wang haram yang begitu besar jumlahnya boleh mengalir keluar dari Malaysia tanpa dapat dikesan oleh “radar” Bank Negara Malaysia?

Wang haram atau “illicit money” adalah wang yang dijana oleh pemiliknya secara tidak sah atau menyalahi undang-undang dan dipindahkan ke luar negara atau digunakan oleh pemiliki dengan cara yang melepasi pengesanan dan rekod oleh pihak berkuasa di negara asal wang berkenaan. Sebahagian besar wang haram ini mengambil bentuk wang rasuah, bayaran komisyen yang tidak sah, pelarian dari cukai, wang rompakan dan penipuan, wang dari hasil penjualan dadah dan wang yang dijana dari pelbagai kegiatan haram. Ianya mengalir keluar negara dengan pelbagai cara seperti pemesongan nilai perdagangan (trade mispricing), penyeludupan, pergerakan wang tunai secara pukal (misalnya, dimuatkan di dalam kapal terbang pribadi) dan pindahan telegrafik (wire transfer).

Bagi Malaysia, memandang amalan rasuah amat berleluasa dan semakin teruk, maka dipercayai wang haram yang mengalir keluar dari Malaysia ke luar negara sebahagian besarnya adalah wang rasuah. Besarnya jumlah wang haram yang meleleh ke luar adalah satu mercu tanda penunjuk kepada parahnya gejala rasuah di Malaysia. Ia mensahihkan kedudukan Malaysia sebagai negara ke 60 dalam indeks persepsi rasuah dunia (2010).

Aliran keluar wang haram yang begitu besar dan gagal pula dikesan oleh pihak berkuasa menimbulkan berbagai kekhuatiran. Pertama, dikhuatiri di Malaysia wujud sindiket penyeludupan wang haram ke luar negara yang gagal dikesan dan dibenteras oleh pihak berkuasa.

Kedua, dikhuatiri aktiviti penyeludupan wang haram ke luar negara ini melibatkan “pemakan rasuah” bertaraf “ikan jerung” kerana tidak mungkin pemakan-pemakan rasuah yang bertaraf “ikan bilis” memiliki kemampuan untuk memindahkan wang haram ke luar negara selain daripada menyimpan wang itu di bawah tilam di kamar tidur.

Ketiga, yang paling dikhuatiri ialah kegiatan pemindahan wang haram ke luar negara ini mungkin mendapat restu dan perlindungan dari pihak berkuasa termasuklah pihak berkuasa Kastam dan Bank Negara Malaysia. Ketidakberkesanan penguatkuasaan undang-undang yang ada dan lemahnya pihak berkuasa untuk bertindak mungkin disebabkan wujudnya “tangan-tangan ghaib” yang lebih berkuasa.

Wang haram yang berjaya dipindahkan ke luar negara akhirnya akan disimpan bank-bank di negara maju yang menyediakan kemudahan akaun rahsia (secret account) seperti yang disediakan oleh Swiss Bank (di bawah Swiss Banking Act 1934) atau dilaburkan dalam pelaburan hartanah di luar negara. Banyak maklumat dipaparkan di dalam media massa tentang cerita-cerita rakyat Malaysia memiliki akaun bank yang besar di luar negara dan memiliki hartanah di lokasi yang dihuni oleh golangan kaya dan terkenal namun jarang sekali didengar tentang laporan penyiasatan tentang asal usul wang itu. Tidak lama dahalu seorang ahli politik bertaraf menteri besar telah ditangkap oleh pegawai kastam di sebuah negara maju kerana cuba menyeludup wang tunai berjuta-juta ringgit nilainya ke negara itu tetapi undang-undang di Malaysia seolah-olah tidak cukup taring untuk bertindak tegas ke atas penyeludup wang haram itu. Sejak kebelakangan ini pula banyak berita yang menuduh seorang ahli politik dari Malaysia bertaraf ketua menteri dan ahli keluarga memilki pelbagai pelaburan dan aset di luar negara bernilai berbilion-bilion ringgit, namun tiada penyiasatan serius dijalankankan oleh pihak berkuasa, mensahihkan sangkaan bahawa di sana ada tangan-tangan ghaib yang melindungi pemakan rasuah menyeludup wang haram ke luar negara.

Apabila sejumlah wang sesebuah negara dipindahkan ke negara lain, peredaran wang yang dipindahkan itu terhenti. Dalam istilah ekonominya dikatakan “jumlah wang itu telah dibunuh.” Wang yang beredar dari tangan ke tangan – dari pengguna kepada pengeluar barangan dan dari pengeluar kepada pembekal faktor pengeluaran (modal, buruh, pemilik tanah dan bangunan dan pembekal bahan mentah) - akan mewujudkan kegiatan ekonomi dan menjana pekerjaan, pendapatan dan kekayaan. Selagi wang itu beredar dari tangan ke tangan di dalam negara, maka selama itulah wang itu akan terus menyumbang kepada pembesaran dan pertumbuhan kegiatan ekonomi, pendapatan dan kekayaan. Ini bermakna wang negara yang ditompokkan di dalam bank luar negara merugikan negara dan semakin besar jumlah wang yang dilarikan maka semakin besar kesan negatifnya kepada ekonomi negara. Rendahnya kadar pertumbuhan ekonomi dalam tempoh satu dekad yang lepas rupa-rupanya disebabkan, antara lain, oleh besarnya jumlah wang yang “dibunuh.” Besarnya jumlah wang haram mengalir ke luar negara secara berterusan dalam jangka masa yang panjang telah menyebabkan ekonomi Malaysia terperangkap dalam jerat “ekonomi berpendapatan pertengahan.” Wang yang sebegitu besar jumlah, seandainya kekal beredar di dalam negara, mampu melonjakkan pendapatan negara ke tahap yang lebih tinggi. Oleh itu diyakini sekiranya amalan rasuah dapat dibanteras, pacuan roda ekonomi Malaysia akan menjadi lebih pantas.



Subang Jaya

Jumaat, 12 Januari 2011

Wang haram

1 ulasan:

  1. “Wang haram atau “illicit money” adalah wang yang dijana oleh pemiliknya secara tidak sah atau menyalahi undang-undang dan dipindahkan ke luar negara atau digunakan oleh pemiliki dengan cara yang melepasi pengesanan dan rekod oleh pihak berkuasa di negara asal wang berkenaan. Sebahagian besar wang haram ini mengambil bentuk wang rasuah, bayaran komisyen yang tidak sah, pelarian dari cukai, wang rompakan dan penipuan, wang dari hasil penjualan dadah dan wang yang dijana dari pelbagai kegiatan haram. Ianya mengalir keluar negara dengan pelbagai cara seperti pemesongan nilai perdagangan (trade mispricing), penyeludupan, pergerakan wang tunai secara pukal (misalnya, dimuatkan di dalam kapal terbang pribadi) dan pindahan telegrafik (wire transfer).”
    - Bagus, penulis memberikan Intro bagi istilah “illicit money” agar pembaca dapat paham dan tahu ape kah yang dimaksudkan dgn illicit money itu…

    - namun yang demikian untuk pernyataan ini pada saya penulis cuba untuk membuat kenyataan yang selektif dan berat sebelah semata-mata hanya ingin lebih menumpukan kepada tujuan penulis sahaja iaitu hanya mengetengahkan isu yang penulis lebih berminat dan dirasakan nnya boleh dijadikan modal.. modal politik shj. Saya bukan mahu membela kepada perasuah baik bertaraf Jerung mahu pun Bilis.. tapi pada saya penulis dan perasuah adalah sama shj.. perasuah akan lebih selektif dan tidak telus iaitu hanya kepada sesuatu yang boleh memberikan hasil yang diinginkan shj.. atau secara ringkas “ada duit, bole cerita”.. jadi bagi penulis pula saya lihat, beliau wlpn ada member definisi yang lengkap iaitu satu persatu cara dan kaedah yang bole dikategorikan dibawah “illicit money” namum memilih hanya untuk mengulas ttg RASUAH… yang pada saya seolah-olah “illicit money” ini adalah lebih berpunca daripada kegiatan RASUAH shj… sedangkan ada banyak lagi kegiatan yang menyumbang. Yang paling dangkal dan sangat ketara kebodohan penulis ini adalah apabila hanya lebih kepada andaian yang semata-mata dtg dari kepala otak penulis shj.. contoh pernyataan :

    “Bagi Malaysia, memandang amalan rasuah amat berleluasa dan semakin teruk, maka dipercayai wang haram yang mengalir keluar dari Malaysia ke luar negara sebahagian besarnya adalah wang rasuah. “
    - perkataan “memandang” dan “maka dipercayai” cukup untuk meletakkan pernyataan itu serta penulis nya setaraf dengan sampah.





    “Besarnya jumlah wang haram yang meleleh ke luar adalah satu mercu tanda penunjuk kepada parahnya gejala rasuah di Malaysia. Ia mensahihkan kedudukan Malaysia sebagai negara ke 60 dalam indeks persepsi rasuah dunia (2010).”

    - Definisi lengkap telah diberikan namun pernyataan ini sgat2 rubbish kerana Jumlah wang yang mengalir keluar itu secara total dipalitkan hanya berpunca dari perilaku RASUAH apabila dirujuk kepada perkataan “mercu tanda penunjuk” sedang kanpada awal perenggan penulis sendiri telah Mendifinisikan istilah “illicit money” kepada pebagai punca.

    Kepada penulis, tulis biarla cantek skett… pe bangang punye artikel la…. Puiiihh..

    BalasPadam