23 Januari 2012

KUIN 5 SEDIA BATALKAN KES MAHKAMAH,MOHON ISYTIHAR KUIN BEBAS AUKU

KUIN 5 Serah ‘Surat Perdamaian’, Sedia Batalkan Kes Mahkamah

Alor Setar, 22 Jan : Lima mahasiswa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) hari ini mengambil inisiatif untuk ‘berdamai’ dengan pihak pentadbiran kampus berkenaan yang sebelum ini bertindak menggantung dan mendenda lima mahasiswa berkenaan apabila bertindak menghantar satu ‘surat perdamaian’ yang diharapkan mampu menyelesaikan segala kemelut yang timbul.
Namun, penghantaran surat berkenaan dikatakan tidak semudah yang disangkakan apabila hasrat untuk menyerahkan sendiri kepada rektor KUIN, Profesor Datuk Dr Jamil Osman tidak kesampaian.
Ramai menolak mahu terima surat

“Kami hairan apabila kami hanya hendak menyerahkan surat perdamaian tersebut namun Rektor tiada kerana bercuit dan setiausaha Rektor (Puan Kamaliah) pula menolak untuk hanya menerima surat tersebut atas alasan tidak ada autoriti bagi menerima surat bagi pihak rektor.
Mereka diberitakan terus bergegas ke pejabat Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) untuk mengadakan pertemuan dengan Ustaz Baihaki bagi mewakilkan bagi pihak KUIN untuk menerima surat tersebut.
“Namun masa kami telah dilengah-lengahkan selama hampir setengah jam untuk menunggu berjumpa dengan pihak wakil KUIN yang mungkin mengambil masa tidak lebih dari 5 minit sahaja sebenarnya.
“Kami pun tidak mahu membuang masa lama-lama lalu kami terus naik ke pejabat Timbalan Rektor Hel Ehwal Pelajar Prof. Dr. Wan Sulaiman.

“Namun malangnya juga, beliau bercuti dan akhirnya kami membuat keputusan menyerahkan surat tersebut kepada Setiausaha Timbalan Rektor HEP yang hanya mengambil masa tidak lebih dari 10 minit sahaja. “, ujar wakil mahasiswa terbabit, Muhammad Aiman Ab Razak, yang merupakan salah seorang daripada lima mahasiswa yang digantung.

Lima mahasiswa berkenaan sebelum ini bertindak mencabar keputusan pergantungan berkenaan di mahkamah ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan terbabit.
Mahkamah sepatutnya bersidang 18 Januari baru-baru ini namun tidak dapat dijalankan kerana hakim yang diamanahkan telah bercuti akibat sakit.
Namun, tarikh baru perbicaraan masih belum diumumkan sehingga kini.
Tuntut gugur kes, isytihar KUIN bebas AUKU

Sementara itu, dalam ‘surat perdamaian’ berkenaan, antara tuntutan yang dikemukakan adalah mengharapkan KUIN mengisytiharkan universiti berkenaan bebas AUKU dan undang-undang yang sama taraf dengan AUKU.

Selain itu, mereka juga menuntut agar pihak pentadbiran menarik balik semua pergantungan yang dikenakan ke atas lima mahasiswa terbabit serta berharap pihak KUIN memohon maaf atas tindakan yang dilihat bertentangan dengan prinsip kebebasan dalam Perlembagaan Malaysia.
Lima mahasiswa tersebut ialah Mohd Faiz Mohd Arshad yang digantung dua semester manakala Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran. - GZDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan