01 Disember 2011

UMNO SALAH STRATEGI -DR.ASRI

Dr Asri: Umno nampak gelisah, masih gagal beri harapan


KUALA LUMPUR, 1 Dis — Umno, parti teras Barisan Nasional (BN) selain kelihatan dijangkiti “satu kegelisahan” masih gagal membawa harapan baru yang jelas bagi rakyat menjelang pilihan raya umum, kata Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Asri (gambar) yang berada di ibu negara sebagai tetamu Perhimpunan Agung Umno 2011 berkata, Umno perlu menyediakan satu harapan yang jelas ataupun satu harapan lebih baik berbanding sekarang jika mahu memikat pengundi dalam pilihan raya umum ke-13.

Ia merupakan antara tiga perkara ditekankan oleh beliau dalam perbualan dengan The Malaysian Insider malam tadi.

Perhimpunan Agung Tahunan Umno memulakan tirai dengan persidangan tiga sayapnya semalam - salah satu agenda difokuskan semalam ialah keperluan kelangsungan parti tersebut dengan mengekalkan kuasa pada pilihan raya umum ke-13.

Kelmarin, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak mahu ahli-ahlinya bertindak “luar biasa” untuk menang pilihan raya umum ke-13. Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengajak ahli-ahlinya berjihad menghadapi pilihan raya umum kali, yang disifatkannya sebagai “ibu kepada segala pilihan raya.”

“Berdasarkan pemerhatian saya di sini sejak beberapa hari ini , saya nampak Umno belum dapat memberi satu harapan atau memberi harapan yang lebih baik berbanding sekarang.

“Bermakna, Umno kerana memberi harapan baru yang jelas, satu harapan yang orang kata sebagai ‘kunci pengikat’ mengikut zaman, tempat dan generasi semasa. Harapan generasi sekarang berbeza dengan generasi masa lalu, mereka tidak boleh ditarik dengan diberikan wang tunai, ganjaran tetapi lebih daripada itu,” kata bekas mufti Perlis ini, yang kini merupakan felo penyelidikan Pusat Pengajian Islam Oxford.

Asri dijemput menghadiri perhimpunan kali ini sebagai tetamu. Najib akan merasmikan perhimpunan itu pagi ini dengan menyampaikan ucapan dasarnya.

Mengulas lanjut, Umno dan BN kena faham bahawa generasi semasa khususnya golongan muda tidak hanya memerlukan material semata-mata untuk melangsungkan kehidupan mereka.

Sebaliknya, kata beliau, mereka memerlukan satu jaminan ke atas hak dan kebebasan.

“Kita ambil negara Bahrain dan Arab Saudi, mereka kaya, tiada masalah wang, tetapi yang mereka perlukan, mereka mahukan hak dan kebebasan.

“Ini yang kerajaan perlu sediakan. Di Malaysia, Umno dan BN perlu sediakan, bukan setakat beri wang tunai dan sebagainya,” kata Asri yang secara langsung merujuk kepada transformasi politik yang cuba dibawa oleh Najib.

Sebahagian rakyat merasakan bahawa transformasi politik dijanjikan Najib pada 15 September lalu masih belum mencukupi.

Najib menjanjikan pemansuhan beberapa undang-undang, antaranya Akta Keselamatan Dalam Negeri tetapi digantikan dengan dua akta yang baru tahun depan.

Ekoran perhimpunan Bersih 2.0 Julai lalu, Najib akhirnya tunduk kepada tekanan lalu membentuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengkaji sistem penjalanan pilihan raya. Kelmarin, pentadbirannya membawa Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 bagi menggantikan Seksyen 27 Akta Polis, tetapi ramai melihat ia sebagai mengekang kebebasan awam dan dikritik hebat.

Ekoran keputusan mahkamah rayuan baru-baru ini, Najib pada minggu lalu berjanji untuk mengkaji pindaan Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti.

“Bila orang mengkritik, Umno tidak lagi boleh macam dulu, ia kena menggunakan kaedah boleh menghadapi mereka dan membuat penjelasan yang dapat memikat mereka,” katanya.

Seterusnya kata beliau, Umno masih belum gagal memahami masih kebanyakan rakyat memerlukan perikatan tersebut, tetapi tidak pandai memikat mereka.

“Ramai pengundi atau rakyat menyokong pembangkang bukan kerana mereka suka pada pembangkang, tetapi membenci Umno. Mengapa mereka membenci Umno? Ini fenomena yang Umno kena faham daripada mengecam habis-habisan pembangkang.

“Kalau dia (perwakilan Umno) pergi menghentam pembangkang, belum tentu boleh dapatkan balik undi dan sokongan mereka,” katanya yang dilihat pada ucapan pemimpin dan perwakilan semalam.

Aspek ketiga, menurut Asri ialah, kelemahan pemimpin-pemimpin menggunakan ruang perhimpunan untuk menyampaikan mesej kepada rakyat.

“Perwakilan kena faham bahawa ucapan mereka bukan setakat didengar oleh ahli-ahli Umno, tetapi juga keseluruhan rakyat.

“Walaupun tidak semua rakyat mendengar ucapan mereka secara langsung, tetapi mesej mereka diikuti oleh rakyat di seluruh negara, tetapi mereka masih bercakap di kalangan ahli dan perwakilan Umno sahaja. Ini kelemahan mereka yang ketiga,” kata Asri menambah, pemimpin-pemimpin Umno gagal menggunakan peluang, misalnya dengan adanya siaran langsung majlis perasmian dan penggulungan menerusi televisyen pro-Umno, yang tidak dinikmati oleh mana-mana parti lain.

Seperti lazimnya, majlis perasmian ketiga-ketiga sayap dan perhimpunan agung parti disiarkan secara langsung. Malah ucapan penggulungan melibatkan pemimpin-pemimpin kanan parti disiarkan secara langsung.

“Perhimpunan Agung Umno ini, mendapat liputan seluruh negara. Berbanding dengan PAS, ia bercakap dengan ahli-ahlinya sahaja dengan kemudahan yang terhad.

“Tetapi perhimpunan Umno disiarkan oleh media secara langsung dan mendapat liputan meluas, tetapi rakyat masih tidak suka. Mengapa?” soal beliau.

Asri, pensyarah Universiti Sains Malaysia berkata, “itu strategi Umno yang salah.”

“Umno bercakap sesama mereka. Saya lihat Umno sudah ada satu kegelisahan, mereka tidak jelas apa yang akan berlaku dalam pilihan raya akan datang,” katanya lagi-tmi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan