21 Disember 2011

SBPA ruang untuk BUANG PEKERJA

Siapa sebenarnya mahu kurangkan kakitangan awam? – Oleh Adil Mat Selamat

20 DISEMBER – Apabila pemimpin DAP Tony Pua mencadangkan supaya perkhidmatan awam diuruskan dengan baik dengan cara mengambil tindakan terhadap mereka yang malas dan makan gaji buta, para pemimpin UMNO dan konco-konco mereka menuduh DAP dan Pakatan sebagai anti-Melayu.

Cadangan “edit policy” DAP telah dicanangkan oleh lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, sebagai usaha untuk menjejaskan orang Melayu.

Kini, Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang ingin diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah terserlah “exit policy” kerajaan UMNO-Barisan Nasional untuk pegawai dan kakitangan awam.

Yang dituduh orang lain, yang mahu melaksanakan “exit policy” adalah kerajaan UMNO-BN. Bukankah ini hipokrasi namanya?

Sudah mula kedengaran suara sumbang berkaitan dengan keadilan dan cara pelaksanaan SBPA. Ramai pihak khususnya kakitangan awam mengeluh apabila didesak untuk menandatangani borang persetujuan bagi menerima pakai SBPA.

Siapa sebenarnya yang mahu membuang kerja kakitangan awam? Siapa sebenarnya yang memaksa kakitangan awam menerima sistem yang dikatakan tidak adil itu oleh kebanyakan kakitangan awam, khususnya Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)?

Pelaksanaan dasar yang cincai

Dalam isu SBPA ini, kita dihadapkan dengan pelbagai dakwaan oleh pihak kakitangan awam iaitu dari kumpulan Pelaksana itu sendiri:

Terdapat jurang gaji yang begitu lebar di antara kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) dengan kumpulan Pelaksana (Penolong Pegawai, Pembantu Tadbir dan ke bawah).
- Semakan gaji ini tidak selari dengan kehendak kerajaan sendiri. Keadaan ini telah menwujudkan rasa tidak puas hati antara kumpulan Pelaksana dengan pihak kerajaan melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

- Asas pekiraan gaji dan peratus kenaikan hanya berpihak serta kelebihan kepada kumpulan P&P ke atas.

Penerangan secara roadshow tentang SBPA oleh pihak JPA telah dibuat tetapi maklumat tidak mencukupi dan ia dilaksanakan secara tergesa-gesa dalam waktu yang singkat sekali.
- Banyak persoalan tidak dapat dijawab oleh JPA ketika taklimat diadakan, malah terdapat beberapa lampiran tidak disertakan khususnya lampiran C mengenai gaji kumpulan P&P. Ia menggambarkan seolah-olah jumlah kenaikan gaji kumpulan tersebut begitu hendak disembunyikan daripada pengetahuan kumpulan pekerja peringkat Pelaksana.

- Hingga kini tidak diketahui pihak manakah yang membuat kajian yang lengkap berkenaan dengan kaedah SBPA ini. Jika sistem ini benar-benar baik dan adil, seharusnya kerajaan menerusi JPA melantik pihak luar untuk mengkaji secara mendalam dan menyeluruh dalam aspek asas, pelaksanaan, pilihan dan penyelesaian. Justeru, tidak akan wujud jurang pendapatan yang begitu lebar antara kumpulan P&P dan kumpulan Pelaksana.

Rungutan di kalangan kakitangan awam ini membuktikan bahawa kerajaan UMNO-BN sedang melaksanakan agenda transformasinya dengan cara yang sangat ‘cincai’. Ini menunjukkan tahap kebertanggungjawaban mereka yang rendah. Ruang masa untuk dibincang, dibahas dan dipilih cukup singkat.

Sistem paksaaan UMNO-BN

Dengan kata yang lebih mudah, kerajaan UMNO-BN mahu kumpulan kakitangan awam ini menerima sahaja transformasi yang diilhamkan oleh Najib tanpa banyak soal.

Cara ini mendedahkan bentuk pemerintahan UMNO-BN yang mengamalkan sistem arahan hanya datang dari atas, tidak ada konsep timbal-balik dalam demokrasi terpimpin ala UMNO ini.

Suara pihak bawahan, walau pun bernas, tidak terguna pakai dalam sistem UMNO ini, malah jika ada kakitangan yang bertindak seperti ‘Hang Nadim’, mereka akhirnya akan ditukarkan tempat kerja atau dikenakan tindakan disiplin.

Kerajaan UMNO-BN masih menganggap bahawa kakitangan awam kumpulan Pelaksana rendah mentaliti dan pengetahuan mereka. Ini satu penghinaan yang cukup ketara, bilangan kumpulan pekerja ini merupakan majoriti dari kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) di dalam sektor awam.

Tidak salah untuk memanjakan sedikit kumpulan P&P demi memberi imbuhan yang wajar dengan kelulusan mereka, namun biarlah ianya lebih adil kerana kumpulan Pelaksana ini lebih ramai dan majoriti mereka juga memerlukan pembelaan.

Nama kumpulan mereka pun sebagai ‘pelaksana’, ini menunjukkan betapa pentingnya peranan kumpulan ini dalam sektor awam.

Fakta-fakta sebenar

Difahamkan, gaji asas bulanan bagi pegawai JUSA, sebagai contoh dalam kelas C sahaja, dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ada sekarang akan dinaikkan hampir dua kali ganda dalam SBPA mulai 1 Januari depan, di mana gaji asas mereka akan mencecah lima angka. Ini gaji asas, tidak termasuk elaun dan imbuhan lain.

Jika hendak dibandingkan dengan perbezaan gaji kumpulan Pelaksana yang rata-ratanya berkelulusan dari SRP (PMR), SPM, STPM hingga Diploma dan ijazah pertama, mereka hanya mendapat kenaikan sekitar RM100 dan RM300 sahaja. Malah diperingkat paling bawah ada yang menerima kenaikan sekitar RM80 yang tidak mencecah RM100 pun.

Dalam waktu di mana kos sara hidup semakin meningkat ini dan harga barangan harian bertambah tinggi, kakitangan awam khususnya pada kumpulan Pelaksana, semakin terhimpit dan tidak banyak diberi pilihan. Malah kumpulan ini selalu dipersalahkan oleh kerajaan UMNO-BN apabila tahap produktiviti mereka tidak mencapai seperti yang diharapkan.

Teladan negeri-negeri Pakatan Rakyat

Namun, di negeri Pakatan Rakyat seperti Pulau Pinang dan Selangor, tidak kedengaran pula masalah tahap produktiviti yang rendah di kalangan kakitangan kerajaan negeri.

Mengapa mereka ini boleh pula melakukan kerja mengikut keperluan seperti mana dasar pembaharuan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri? Mengapa pula di peringkat kerajaan pusat, masalah itu tidak pernah selesai?

Model yang diperkenalkan oleh kerajaan Pulau Pinang agak mudah tetapi sangat praktis. Tidak timbul isu pemberhentian kerja di sektor tersebut, malah Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang mengangkat golongan wanita untuk mengisi jawatan penting dalam sektor tersebut, ini diikuti oleh negeri Selangor.

Jika rasuah dan salah guna kuasa diamalkan oleh pemimpin, ia akan menjadi ikutan oleh pegawai dan kakitangan awam. Jika amalan ini dikikis, seperti yang sedang dilaksanakan di Pulau Pinang dan Selangor, pasti budaya kerja sektor awam akan turut berubah dan meningkat produktiviti.

Urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT) menjadi budaya baru kepada sektor awam di negeri-negeri Pakatan. Ia benar-benar diamalkan oleh pegawai dan kakitangan awam kerana mereka kini bangga dapat menjalankan khidmat dengan penuh amanah kepada rakyat. Ini adalah soal maruah dan harga diri.

Pelaksanaannya juga mudah, iaitu pemimpin, ketua atau ketua jabatan dahulu yang harus berubah kerana tidak ada gunanya ketam mahu mengajar anaknya berjalan lurus.

Tidak ada apa yang hendak dimalukan jika JPA meniru urus tadbir CAT. Ia bukan hak milik DAP atau Pakatan Rakyat, ia adalah hak milik bersama rakyat, termasuk kakitangan awam, demi kebaikan semua rakyat.

Jika kakitangan awam merasakan kepimpinan kerajaan pusat yang ada sekarang tidak mempunyai iltizam politik untuk berubah, maka mereka perlu mencari alternatif lain untuk memantapkan serta memartabatkan perkhidmatan awam. Mereka berhak menentukan masa depan mereka sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan