Interlok: Akhirnya Putrajaya dengar suara rakyat, kata NIAT
Oleh G Manimaran December 17, 2011
Novel penuh lontroversi akan digugurkan dari rujukan buku teks. - Gambar fail
KUALA LUMPUR, 17 Dis — Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT), yang membantah penggunaan Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain sejak Januari lalu, menyifatkan keputusan menggugurkan novel kontroversi itu sebagai kemenangan rakyat khususnya kaum India, dengan kerajaan akhirnya sedia mendengar suara dan sentimen orang ramai.
Pengerusi NIAT Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim berkata, pihak berkuasa kini sudah mendengar penemuan dan alasan bahawa Interlok sememangnya tidak sesuai, dari aspek agama dan sosial, untuk digunakan di sekolah sebagai buku teks.
“Penemuan-penemuan kami adalah berdasarkan kriteria-kriteria Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri, di mana novel ini walaupun ditulis oleh Sasterawan Negara tetapi tidak sesuai digunakan di sekolah.
“Pada masa yang sama kami mengucapkan penghargaan kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin (Yang di-Pertuan Agong Tuanku ke-13), yang perkenan menerima memorandum kami bulan lalu... kami di NIAT yakin ia turut ada membawa kesan dalam kerajaan membuat keputusan ini,” kata beliau ketika dihubungi.
Ketika ditanya sama ada ia keputusan politik, beliau enggan menjawab. “Apapun keputusan ini baik daripada tiada langsung,” katanya lagi.
Pada 12 November lalu, susulan gesaan selama 10 bulan, NIAT dengan sokongan lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong agar campur tangan membolehkan novel Interlok yang kontroversi ditarik balik daripada silibus sekolah.
NGO itu juga akan menyerahkan memorandum yang sama kepada Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Negeri Sembilan pada 19 November lalu.
Novel itu digunakan di sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan, Selangor dan Negeri Sembilan. NIAT memulakan kempen menggesa Putrajaya agar menarik balik penggunaan novel Interlok sejak awal tahun ini walaupun Kabinet memutuskan ia akan terus digunakan dengan dibuat beberapa pindaan.
Akhir Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah.
Semalam, dua pemimpin kanan MIC mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk tidak lagi menggunakan novel Interlok yang menjadi buku teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan lima mulai tahun depan.
Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, perkara itu telah diputuskan oleh kerajaan pada mesyuarat Kabinet baru-baru ini dan berharap akan diumumkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh terdekat.
Beliau berharap penarikan balik novel karya Abdullah itu dapat diterima oleh semua pihak dan sekaligus menamatkan kontroversi yang ditimbulkan sebelum ini.
“Menteri Pelajaran telah bersetuju tidak akan menggunakan buku ini mulai tahun hadapan dan saya minta pengumuman rasmi mengenainya dapat dibuat dalam tempoh terdekat agar tiada lagi pertikaian dibangkitkan oleh mana-mana pihak,” katanya di Air Keroh, Melaka.
Novel itu sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang dianggap menghina masyarakat India namun telah ditarik balik dan perkataan berkenaan telah dipinda hasil cadangan sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan.
Perkara yang sama diumumkan oleh Presiden MIC Datuk G. Palanivel di Kulim, Kedah.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) S Barathidasan berkata kenyataan dikeluarkan Dr Subramaniam semalam tidak boleh dianggap rasmi.
“Kenyataan berhubung novel Interlok seharusnya datang daripada menteri yang bertanggungjawab ke atas portfolio berkenaan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Maka, Mipas percaya pengumuman yang dibuat Menteri Sumber Manusia tidak masuk akal dan seakan-akan tidak sahih. Ia juga dilihat sebagai usaha memancing undi masyarakat India pada pilihan raya umum ke-13,” katanya dalam kenyataan berasingan.
Kata beliau, jika benar ia dilakukan atas dasar kepentingan masyarakat, maka Muhyiddin tidak perlu membisu.
“Beliau tidak perlu berdolak dalih dengan menyatakan akan membuat pengumuman pada suatu masa nanti.
“Bilakah masa yang disebutkan beliau? Mungkin kah sehari sebelum tarikh pengundian?” katanya.
Kata beliau, Mipas memang dari dulu mahukan Interlok ditarik balik tetapi kesal Menteri Pelajaran mengupah orang lain untuk menyampaikan mesej dan bukan berani tampil mengeluarkan kenyataan rasmi.
“Mipas meminta Menteri Pelajaran agar tidak menunggu lagi dan segera mengeluarkan satu kenyataan rasmi.
Ini akan menampakkan sikap bertanggungjawab beliau terhadap isu ini dan juga menamatkan spekulasi sesetengah pihak yang menyatakan pengumuman Menteri Sumber Manusia sebagai satu sandiwara politik,” katanya lagi.-tmi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan