22 Disember 2011

PALIMEN PEKAN : MENGHADAPI KRISIS AIR

Mahasiswa UMP Pekan hadapi krisis air

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Pahang (UMP) menggesa supaya krisis air di kampus UMP Pekan ditangani dengan segera.

Yang dipertuanya, Muhamad Fazli Abdul Halim berkata, krisis gangguan air semakin meruncing dan sudah berlarutan ke minggu kedua.

Bagaimanapun, katanya, tidak nampak sebarang tanda-tanda yang krisis tersebut akan berakhir.

Menurutnya, krisis ganguan air ini dikatakan berpunca daripada tekanan air yang rendah akibat UMP Kampus Pekan mempunyai kapasiti pelajar sekitar 2,000 orang dan terpaksa berkongsi sumber air dari tangki di Kuala Pahang yang turut sama disalurkan kepada masyarakat sekitarnya.

"Situasi ini cukup menyeksa dan menyukarkan urusan harian mahasiswa yang dalam masa yang sama ditambah dengan tekanan peperiksaan akhir semesta yang bakal berkunjung tiba.

"Krisis ini juga turut menjejaskan pihak pengusaha kafeteria yang secara langsung menggangu pengoperasian dan urusniaga mereka dan menambah kesengsaraan mahasiswa dalam mendapatkan makanan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Fazli, masalah ganguan air itu bukanlah perkara yang baru, tetapi turut berlaku dua tiga tahun lepas di Kampus Gambang.

Katanya, tindakan segera amat diperlukan terutamanya oleh Jabatan Bekalan Air Pahang bagi mengatasi masalah yang dihadapi mahasiswa bagi memudahkan urusan pembelajaran mereka di universiti itu.

Pohon bantuan PM

Sehubungan itu, kata Fazli, mereka memohon agar kebajikan pelajar di situ diberi perhatian dan tumpuan yang sewajarnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Katanya, ia bertepatan dengan hasrat perdana menteri yang berazam untuk terus membangunkan Pekan, kawasan parlimennya, serta masyarakatnya dalam apa jua keadaan sepertimana ucapannya semasa Himpunan Anak-anak Pekan Bersama Perdana Menteri di PWTC pada 19 Disember lepas.

Selain itu, sebuah jawatankuasa bertindak telah dibentuk di peringkat mahasiswa yang dikenali sebagai Gerakan Mahasiswa Penggesa Air Kampus (GEMPAK) UMP.

Ia dianggotai Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan fakulti dan perwakilan kolej kediaman serta beberapa wakil mahasiswa yang terpilih, untuk menuntut penyelesaian segera krisis air di UMP Pekan oleh pihak yang berkaitan dan bertanggungjawab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan