Rozali Ismail: Saya tak sabotaj pelan senaraikan Felda, tapi perlu masa
KUALA LUMPUR, 15 Dis — Tan Sri Rozali Ismail menafikan beliau cuba menghalang proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH), sebaliknya menegaskan, beliau hanya mahukan lebih banyak masa untuk mengkaji sama ada langkah itu akan memanfaatkan para peneroka.
Pengerusi Gabungan Generasi Wawasan Felda ini melahirkan pendirian ini ketika mengumumkan pembentukan satu pakatan bersama Jawatankuasa Pengerusi Perunding Felda (JKPP) untuk mengkaji merit langkah penyenaraian agensi itu di Bursa Malaysia.
Ikatan itu yang dikenali sebagai Gabungan Peneroka Generasi Wawasan Felda Kebangsaan (Gempak) akan meneliti dengan mendalam kandungan cadangan dengan pakar runding bebas dan juga akan bertindak sebagai perantara antara FGVH dan para peneroka, kata Rozali.
“Masalahnya ialah soal penerangan tidak terurus. Sekarang ia mudah. Felda Global boleh datang kepada kami dan membuat penjelasan, hanya satu pihak. Jadi, kami akan berurusan dengan mereka.
“Sehingga kami memahami cadangan penyenaraian, kami tidak akan ya atau tidak. Saya berharap Felda Global Ventures dan Felda akan memahami kekangan kami,” kata beliau.
Rozali juga menafikan beliau mahu menggantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda Holdings.
“Persoalan mengenai jawatan tidak timbul buat saya. Kami bekerja untuk melindungi kepentingan Felda dan generasi semasa dan akan datang.
“Perdana menteri akan memutuskan soal jawatan. Apa juga keputusan dibuat, kami tidak ada masalah,” katanya lagi.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa bekas pengerusi Felda Tan Sri Yusof Noor Yusof dan Rozali kemungkinan bergandingan dengan pembangkang dalam menentang penyenaraian FGVH.
Katanya, beliau ada maklumat Rozali, yang juga Pengerusi Eksekutif Syabas menyasarkan jawatan pengerusi Felda.
Langkah penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2012 Oktober lalu.
Sebelum ini wakil peneroka juga mendesak Najib menangguhkan penyenaraian itu atas alasan maklumat tidak mencukupi.
Pertubuhan Anak juga mengambil pendirian yang sama dengan berkata usaha sedemikian akan merugikan Felda dan peneroka sendiri dalam jangka panjang.-TMI
Sementara itu PERKASA menyokong langkah Tranformasi....
Memo Perkasa sokong inisiatif Felda, hantar Dzulkifli cuti lapan bulan
Oleh Zabidi Saidi December 15, 2011
KUALA LUMPUR, 15 Dis — Dua hari selepas Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendesak agar Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab dikekalkan jawatan, hari ini Perkasa pula menyerahkan memorandum kepada agensi itu melahirkan sokongan terhadap tindakan pengurusan.
Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Abd Rahman Abu Bakar mengetuai perarakan seramai 1,000 peneroka Felda dari seluruh, dari Anjung Felda ke Balai Felda menyerahkan memorandum kepada Pegawai Khas Pengerusi Felda, Asbanizam Baharuddin 1 tengah hari tadi.
Sebanyak 25 bas digunakan mengangkut para peneroka dari seluruh negara.
Beliau diiringi oleh wakil Gerakan Memertabatkan Pejuang Negara (GMPN) dan Majlis Belia Felda Kebangsaan.
Menurut Abd Rahman, Perkasa menyokong penuh usaha murni Perdana Mentenrei, Datuk Seri Najib Razak melaksanakan program transformasi Felda.
“Kami percaya kepada keikhlasan Perdana Menteri dalam merangka formula terbaik buat Felda sekali gus dapat melonjakkan lagi taraf hidup dan pendapatan peneroka supaya menjadi masyarakat contoh di luarr bandar,” katanya.
Pada masa yang sama Perkasa menyokong kepimpinan Tan Sri Isa Samad selaku pengerusi Felda dalam melaksanakan aspirasi Najib.
Beliau menambah, Perkasa menyokong penyenaraian Felda Global Ventures Holdings di Bursa Malaysia yang mana ia akan memberi kebaikan kepada warga Felda.
“Kami mengutuk campur tangan Anak yang merupakan sebuah badan NGO tajaan PAS, yang tidak tahu keadaan sebenar serta sentiasa menghasut peneroka Felda agar menolak usaha murni kerajaan dalam membantu peneroka,” katanya lagi.
Katanya lagi, Perkasa menyokong penuh Datuk Dzulkifli Abd Wahab dihantar bercuti belajar bagi menambah ilmu pengetahuannya.
“Kami yakin tindakan ini tepat pada masanya dan sudah tentu tindakan ini telah difikir semasak-masaknya oleh Perdana Menteri,” tegas beliau
Tiada ulasan:
Catat Ulasan