09 November 2011

KEDAI RAKYAT 1MALAYSIA MAHAL DARI PASARAYA

Ke mana subsidi RM40 Juta Kedai Rakyat 1Malaysia?


KUALA LUMPUR 9 Nov: Pakatan Rakyat mempersoalkan kemana hilangnya subsidi sebanyak RM40 juta yang diberikan untuk pembukaan 85 unit Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).
Ini berikutan terdapat produk-produk yang ditawarkan oleh KR1M jauh lebih mahal berbanding produk yang dijual di pasaraya tempatan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mempersoalkan peruntukan berkenaan yang diumumkan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapan Belanjawan 2012, 7 Oktober lalu.
“Di mana perginya (wang itu)? Bagaimanakah ia dibelanjakan? Tujuan utama Kedai 1Malaysia adalah untuk meringankan kos serta mengurangkan beban rakyat dengan 250 produk 1Malaysia sehingga 40% lebih murah.
“Kalau dia kata memang murah dari harga dipasaran, kita (Pakatan) buktikan sebaliknya,” Katanya di Parlimen hari ini.


Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua yang turut hadir pada sidang media sama membandingkan beberapa barangan termasuk peluntur yang dijual RM0.60 sen lebih mahal berbanding pasaraya lain.

Beliau turut melampirkan satu salinan harga sebanyak 23 barang keperluan yang membuktikan ia tidak semurah didakwa malah ada yang lebih mahal.
“Kenapa PM kita menjanjikan ‘langit’ kepada rakyat yang kononnya harga barang lebih murah tapi sebaliknya?

“PM boleh cakap pada rakyat bahawa barang di Kedai 1Malaysia lebih murah tapi dia juga perlu promosi pasaraya lain yang lebih murah,” sindir Tony Pua.
Dalam sidang media sama, Nurul Izzah turut mempertikaikan tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mewujudkan Kedai Rakyat MAIWP yang kononnya “menawarkan harga rendah bagi membantu rakyat di sekitar ibu kota terutama golongan asnaf dan rakyat termiskin.
“Saya bangkitkan soalan ini kerana MAIWP pernah terbabit dalam salah guna dana apabila RM31,150 wang zakat diguna bagi membayar peguam dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Izzah.

Sebelum ini, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution mendedahkan wang itu dikeluarkan bagi membiayai yuran guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Ali.

Perkara itu diakui sendiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah dalam jawapannya di Parlimen sebelum ini.

http://www.keadilandaily.com/?p=22735

Tiada ulasan:

Catat Ulasan