29 November 2011

Jangan lupa jasa skuad Bawah-23 Harimau Muda

Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang menimpa pasukan bawah-23 kebangsaan yang tewas secara 'terkejut' kepada pasukan bawah-23 Bahrain walaupun pasukan negara mendahului dua gol sehingga minit ke-79.

Mendahului pada minit ke-30 dengan satu jaringan yang menakjubkan oleh pemain termuda atas padang, Faiz Nazmi, dan pasukan Harimau Muda menambah satu lagi gol pada minit ke-67 oleh jaringan Mahali Jasuli setelah Bahrain bermain hanya dengan 10 pemain, tidak mampu menterjemahkah sebarang mata. Akhirnya harapan untuk ke Olimpik 2012 hanya tinggal kenangan.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengambil pendekatan akan tetap bersama pasukan Harimau Muda, ingin mengingatkan semua bahawa rata-rata pemain dari pasukan Harimau Muda ini sangat berjasa kepada negara apabila bukan sahaja menamatkan kemarau pingat emas sukan SEA dua tahun lalu dan mempertahankannya dalam edisi sukan SEA kali ini. Pasukan Harimau Muda juga sebahagiannya terlibat dalam menjulang Piala AFF Suzuki yang menobatkan pasukan kebangsaan sebagai Juara Asia Tenggara.

Pasukan yang sama juga mengembalikan maruah seluruh kontigen sukan SEA negara setelah dihina dan dicerca oleh tuan rumah Indonesia di sepanjang temasya berlangsung, akhirnya anak-anak harimau ini jugalah yang mempalit duka ke atas ratusan juta rakyat Indonesia. Bukanlah kita nak bergaduh dengan kem Indonesia yang kuat provokasinya terhadap kem negara, tetapi menumbangkan garuda pada final sukan SEA adalah begitu bermakna selain kepuasan menyentap ego mereka.

Pasukan bawah-23 negara adalah pasukan kebanggaan kita yang tidak harus dipersalahkan hanya kerana 5 minit terleka. Barangkali kita lupa sebelum masuk ke padang, pasukan Bahrain sebenarnya bukan pasukan setara mengikut ranking dunia. Kedudukkan pasukan kebangsaan adalah lebih 50 anak tangga di belakang pasukan Bahrain. Oleh demikian, apakah kita terlalu kejam menghukum apabila tewas 2-3 kepada Bahrain sedangkan tiada harapan yang menggunung diletakkan dalam perlawanan tersebut?

Walaupun kita kecewa, namun bagi SAMM kita harus bersama ketika susah dan senang. Itulah resam dalam memberi sokongan membina, bukan mengkritik semata-mata hingga membawa rebah. Janganlah hanya menyanjung tinggi ketika menang tetapi bila kalah terus buat pelbagai spekulasi.

Sikap sesetengah pihak termasuklah blogger yang penyokong kerajaan dan juga akhbar Kosmo yang menghina pasukan kebangsaan setelah kekalahan kepada Bahrain adalah sangat tidak wajar. Blogger Umno tersebut telah menyentuh peribadi salah seorang pemain kebangsaan manakala akhbar kosmo dalam tajuk utama sukan hari ini mengatakan "Harimau Malaya memalukan negara". Apakah sumbangan blogger dan juga penulis akhbar Kosmo ini kepada sukan tanahair sehingga tergamak berkata demikian? Pasukan Harimau Muda Layak ke peringkat kumpulan kelayakkan sukan Olimpik juga sebenarnya telah membuktikan pasukan ini adalah produk terbaik negara.

SAMM melihat pasukan Harimau Muda ini harus diberi ruang untuk menganalisi apa yang terjadi malam itu dan menjadikannya iktibar buat mana-mana peringkat pasukan yang mewakili negara. Pasukan Harimau Muda ini juga harus diberi pendedahan lebih meluas terutamanya dari aspek pertahanan mental dan masih belum terlambat skuad bawah 23 ini terus digilap.

Sebagai penggerak anak muda, SAMM hadir sebagai platform anak muda untuk berani bersuara, bukan hadir ke dalam kelompok sukan ini untuk berpolitik semata-mata. SAMM membawa resam anak muda yang mempertahankan hak serta kebenaran. Memandangkan sukan adalah bidang utama untuk anak muda, SAMM menyahut cabaran anak muda untuk bersama dalam pelbagai program termasuklah dalam memberi sokongan terhadap pasukan Harimau Muda. Ia merangkumi sebarang usahasama dengan NGO anak muda lain seperti Ultras Malaya, demi sukan negara.

Semoga skuad bawah-23 Harimau Muda negara mempamir aksi cemerlang dalam temasya atau perlawanan akan datang. SAMM tetap memberikan sokongan walau apajua keputusannya asalkan pasukan kebangsaan menunjukkan semangat dan juga permainan menarik seperti ketika mendahului 2 gol terhadap Bahrain.

Yaser Sheikh Abdul Rahman

Penyelaras SAMM segmentasi Anak Muda

Tiada ulasan:

Catat Ulasan