31 Oktober 2011

SEBUTIR PELURU ATAS NAMA SULTAN?

Sebutir peluru atas nama sultan?


Baru-baru ini pensyarah kanan undang-undang dan perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah menerima sepucuk sampul yang mengandungi sebutir peluru dengan disertakan dengan sekeping nota yang memberikan amaran kepada beliau agar tidak lagi “menderhakai” sultan.

Dr Aziz sebelum ini telah memberikan beberapa pendapat beliau berdasar kepakaran undang-undang dan perlembagaannya mengenai soal-soal kedudukan perlembagaan di dalam sesuatu isu yang dibangkitkan oleh beberapa orang pemimpin politik serta beberapa titah baginda sultan yang berkait dengan kepentingan umum.

Adakah kesemua pendapat beliau ini didapati mengancam kedudukan baginda sultan-sultan dan adakah Dr Aziz menunjukkan sebarang niat untuk mengancam atau menggulingkan sistem raja berpelembagaan di negara kita ini?

Sudah tentunya tidak. Dan jika diteliti dengan lebih mendalam kesemua pendapat dan kenyataan yang diberikan oleh Dr Aziz, kesemuanya adalah berbentuk maklumat yang disampaikan oleh seorang pakar akademik yang mempunyai pengalaman yang luas di dalam bidang yang sedang diamalkan oleh beliau.

Selain daripada itu, kesemua pendapat dan maklumat yang diberikan oleh Dr Aziz tersebut adalah juga bertujuan mendidik dan memperluaskan pengetahuan umum semata-mata dan ianya langsung tidak mempraktikkan sebarang tujuan politik.

Tidak bermoral nama sultan digunapakai

Adalah tidak bermoral sama sekali jika sekiranya ada pihak-pihak yang tertentu yang sanggup mempergunakan atau memperlekehkan nama sultan-sultan di dalam mencapai tujuan dan agenda politik mereka sewenang-wenangnya.

Setakat ini kita hanya telah mendengar dan melihat sebutir peluru dihantar kepada seseorang atas nama sultan kononnya kerana ingin “mempertahankan” baginda. Sebenarnya perbuatan tersebut hanya akan mencemarkan lagi nama-nama baginda sultan.

Apatah lagi jika sekiranya sebutir bom akan dihantar kepada seseorang mangsa atas nama sultan pada suatu hari nanti. Maka akan terjejaslah lagi nama institusi raja-raja di negara ini.

Kesemua perbuatan ini jelas adalah taktik politik yang tidak bermoral dan bertujuan untuk mencetuskan keganasan.

Raja-raja patut bersuara

Rakyat jelata kian berdukacita apabila tidak ada seorang pun di kalangan institusi raja-raja yang dapat tampil ke hadapan untuk mengutuk perbuatan yang sungguh keji dan tidak bermoral ini.

Oleh kerana perbuatan ini adalah berunsurkan jenayah dan ganas, kenapa tidak seorang pun baginda sultan yang tampil untuk memperbetulkan keadaan yang amat mengelirukan sekarang?

Kenapa hanya seorang putera diraja sahaja yang berani tampil ke hadapan untuk menjelaskan apakah itu hak rakyat, demokrasi, dan perlunya institusi tersebut untuk turut menerima sebarang pendapat membina daripada rakyat jelata?

Kenyataan putera diraja dari Negri Sembilan itu patut diteladani dan disanjungi oleh kerana baginda adalah satu-satunya ahli kerabat diraja yang sanggup keluar daripada ambang konservatif yang kuno dan tidak praktik untuk bersama dengan rakyat jelata untuk mempertahankan perlembagaan dan demokrasi.

Siapa yang menDemokrasikan institusi raja?

Sejak daripada 2008 lagi, kita telah banyak memerhati keadaan politik yang bergolak dan ianya bergolak dan bertambah goyah kerana institusi raja sering diheret masuk ke dalam kancah permasalahan politik dalam negara ini semata-matanya kerana ia perlu digunakan untuk mempertahankan satu parti politik elit yang sedang menghadapi kemerosotan sokongan.

Oleh kerana itulah, parti tersebut sering bersembunyi di belakang institusi raja apabila timbulnya persoalan mengenai kesahihan perlaksanaan atau tindakan parti tersebut dengan mengguna pakai istilah “menderhaka” bagi mengancam mereka-mereka yang tampil menyoal tindakan parti tersebut.

Jadi, adalah perlu kita kembali kepada kejadian asalnya iaitu siapakah yang telah menDemokrasikan institusi raja sebelum ini? Ya, semua pun tahu, bahawa Tun Dr Mahathir Mohamed, mantan perdana menteri pada masa itu yang juga presiden Umno di waktu itu telah menggerakkan usaha yang agresif bagi membendung kelebihan kuasa raja-raja dan menDemokrasikan institusi tersebut bagi membolehkan rakyat jelata memantau segala tindakan dan kegiatan baginda-baginda sultan demi kepentingan umum.

Malah yang meminda Perlembagaan Persekutuan dengan menambahkan Bab XV bagi membolehkan raja-raja disaman oleh rakyat jika perlu, adalah juga atas hasil usaha Umno dan Tun Dr Mahathir pada masa itu. Ianya berlaku pada Januari 1993 dan sejak dari tahun itulah, istilah “derhaka” itu telahpun hilang taringnya akibat usaha Umno.

Oleh yang demikian, para “pendukung” raja yang fanatik perlu mengingati, memahami dan akur menerima hakikat bahawa demokrasi yang kian subur pada institusi raja pada hari ini adalah hasil daripada usaha gigih Umno dan jika sekiranya ada mana-mana rakyat yang tampil untuk mengkritik atau memantau apa jua perbuatan atau tindakan para baginda sultan, ianya adalah berlandaskan Bab XV Perlembagaan Persekutuan yang telah diperkukuhkan pada Januari 1993.

Fahamilah kemanusiaan yang sejagat

Kepada mereka-mereka yang masih tidak faham atau enggan menerima hakikat yang sebenarnya dengan menghantar peluru (atau berkemungkinan besar bahan letupan di suatu hari nanti), perhatikanlah kesemua kejadian dan permasalahan ini dari sudut kemanusiaan dengan lebih mendalam.

Raja-raja, sultan-sultan ataupun mereka yang bergelar maharaja semuanya adalah insan manusia sama seperti kita semua, yang boleh melakukan kesilapan dan kebaikan. Apabila berlakunya sebarang kesilapan, perlulah wujudnya keinsafan, pemahaman dan kesedaran yang boleh membawanya ke suatu era yang dapat memajukan dirinya lagi.

Jika sekiranya seseorang itu enggan menerima hakikat kesilapan yang dilakukannya itu, maka akan timbul keburukan demi keburukan yang bakal menimpa dirinya ataupun seluruh keluarganya dan jika ianya terjadi kepada sesebuah negara, maka rakyat akan berasa tidak puashati, lantas daripada itu pemberontakan bagi menegakkan keadilan akan tercetus bagi mempertahankan rakyat jelata daripada penindasan tersebut.

Oleh yang demikian, semua insan manusia tidak mengira kedudukan perlu menerima hakikat bahawa hidup di bawah pengasingan dan enggan menerima kritikan serta pendapat yang membina akan memudaratkan lagi keadaan seseorang.

Janganlah mengukir nama sultan di atas peluru lagi!
Ampun Tuanku, berhati terbukalah kepada rakyat jelata!

MC

Tiada ulasan:

Catat Ulasan