Hampir 75 peratus dari anggota tentera dan bekas didakwa hidup dalam kesempitan hidup dan menghadapi tekanan emosi, kata presiden Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (KERABAT) Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar.
Selain itu, katanya lagi, masalah kewangan semasa dan masa depan yang kabur menghantui mereka sepanjang perkhidmatan.
"Terdapat sebilangan besar anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan melalui ikhtiar hidup buntu dan ramai menumpang teduh di rumah pusaka atau tinggal menumpang kepada saudara mara terdekat," katanya.
Selain itu, Mohd Nazari juga mendakwa ganjaran gaji bulanan yang diperolehi khususnya oleh anggota tentera lain-lain pangkat (LLP) tidak setimpal dengan beban tugas, lebih-lebih lagi dengan harga barangan keperluan asas yang semakin mahal.
"Kebajikan yang ala kadar menjadikan kehidupan mereka menderita hampir sepanjang tempoh dalam kerjaya mereka khususnya bagi anggota lain-lain pangkat yang kerap ditugaskan di lokaliti terpencil berhampiran perbatasan yang daif dengan prasrana.
Sehubungan itu, beliau yang mengetuai NGO tentera - Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (KERABAT) malam tadi menyerahkan memorandum kepada Pakatan Rakyat.
Memorandum itu sebagai memohon bantuan agar kebajikan anggota tentera dan veteran yang telah berkhidmat mempertahankan negara dari anasir luar diperjuangkan jika pembangkang berjaya menguasai Putrajaya.
Memorandum itu diserahkan oleh Mohd Nazari Mokhtar kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Stadium Tertutup Subang Jaya di Serdang Jaya jam 9.30 malam yang hadiri kira-kira 300 orang termasuk bekas tentera.
Antara pemimpin Pakatan yang turut hadir, termasuk Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, setiausaha oolitik menteri besar Selangor Faekah Hussin, ahli jawatankuasa PAS Pusat Mazlan Aliman dan pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman.
Dalam memorandum itu, Mohd Nazari berkata berdasarkan Perintah Majlis Angkatan Tentera (PMAT) bertarikh 29 Ogos 1973, setiap anggota tentera dan isteri dijanjikan hak memohon 20 ekar tanah pertanian dan dua tapak perumahan dari kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (Kementah).
Bagaimanapun, dakwanya yang pernah berkhidmat dengan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) hampir 28 tahun - berdasarkan rekod Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA) Kementah "tidak sampai 100 anggota tentera yang berjaya memperolehi tanah yang dimaksudkan dengan rekod yang sangat menjengkelkan".
Dakwanya lagi, kehidupan askar yang sentiasa berada di perbatasan sama ada di darat, laut atau udara menyebabkan kesukaran mereka meninjau perolehan tanah untuk dipohon. Ini diburukkan lagi dengan faktor birokrasi dari pejabat tanah tempatan yang menyumbang kepada kegagalan permohonan mereka.
"Termaktubnya PMAT 1973 yang memberi keistimewaan perolehan tanah ini telah tidak diurustadbir dengan cekap malah diabaikan oleh Kementerian Pertahanan.
"Akibatnya, hampir 150,000 tentera yang telah menamatkan tugas bakti kepada negara dengan jayanya sejak 1973, tetapi hak keistimewaan ini telah dibiarkan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang usaha dari kementerian bertanggungjawab.
"Ini adalah pencabulan hak asas kehidupan mereka sekeluarga untuk mendapatkan peluang memiliki tanah perumahan dan pertanian yang termaktub dalam akta dan diluluskan oleh kabinet," kata Mohd Nazari dalam memorandum itu.
Beliau yang juga timbalan yang dipertua PAS Tenggara, Johor berkata walaupun ada usaha veteran tentera menyuarakan masalah perkara itu melalui kumpulan atau persatuan tetapi keluhan mereka itu disifatkannya sebagai "anjing menyalak bukit".
Oleh sebab itu, Mohd Nazari mendakwa sebilangan besar pegawai dan anggota LLP ini "bercita-cita besar" untuk menamatkan perkhidmatan berdasarkan peraturan "semata-mata untuk merasai hidup tanpa tekanan, bebas dari ancaman undang-undang tentera dan adat resam budaya penjajah" yang masih menjadi amalan tradisi tentera.
Sehubungan itu, bagi merealisasikan tuntutan tersebut, beliau mencadangkan lapan resolusi utama pemerkasaan kebajikan dan sosio-ekonomi anggota dan bekas tentara jika Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya dalam tempoh 100 hari .
Lapan resolusi tersebut dibacakan oleh Mohd Nazari, antara lain memperkasakan NGO itu di bawah kerajaan pusat dan negeri serta bertanggungjawab memberikan khidmat nasihat kepada kebajikan untuk mempastikan khidmat balas jasa dan kebajikan veteran Angkatan Tentera (ATM) dan tanggungan.
Tujuh resolusi lain adalah:-
* Mengambil alih dan memperkemaskan dasar dan urustadbir Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Syarikat Perumahan Angkatan Tentera (SPAT).
* Memberikan keutamaan kepada kebajikan tentera, veteran, balu-balu dan anak-anak yatim tentera khususnya dalam pemilikan tanah Felda Plantation dan rumah mesra rakyat.
* Melaksanakan bantuan pendidikan sepanjang hayat secara percuma kepada tentera, balu dan tanggungan mereka.
* Memberikan rebet 50 peratus untuk bayaran api dan air bagi setiap premis kediaman kepada tentera dan bekas tentera sepanjang hayat.
* Pelarasan kenaikan gaji dan pencen sebanyak RM500 sebukan kepada semua tentera dan veteran serta imbuhan khas sebanyak RM500 setiap bulan kepada bekas tentera yang tidak berpencen.
* Setiap anggota tentera dan pesara tentera dikecualikan dari cukai untuk pendapatan gaji dan pencen kerajaan.
* Memberikan peruntukan dana khas dan merancang plan dasar penempatan Bandar Baru Veteran yang lengkap dengan prasarana latihan medan tempur untuk bekas tentera agar ketrampilan kepakaran semasa berkhidmat dapat dikekalkan.
Ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Mohd Nazari berkata sejak ditubuhkan pada 18 Julai lalu, jumlah anggota tentera yang menyertai NGO itu setakat ini mencecah kira-kira 2,900 orang, khususnya dari Johor dan Perak
Katanya, selepas ini pihaknya akan menjelajah dan memberikan penerangan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan