Kerajaan Malaysia mengupah perunding asing, FBC media yang terlibat dalam kempen menyokong serangan tentera Israel terhadap konvoi misi bantuan Mavi Marmara Mei lalu, kata Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution.
Menurut Saifuddin, FBC yang menerima bayaran daripada kerajaan Malaysia sebanyak 19.6 juta Euro, memuji tindakan Israel menghentikan misi bantuan kemanusian kapal Mavi Marmara ke Gaza, yang menyaksikan beberapa orang terkorban.
“Peranan FBC Media untuk mengukuhkan imej Malaysia sebagai negara Islam yang berjaya, terang-terang bercanggah. Dia dapat duit kita, dia puji Israel. Kalau baca kempen online mereka, Nabi Muhammad diserang dengan begitu hina dan jijik sekali,”
“Kerajaan mesti menjelaskan kedudukan perkara ini,” kata Saifuddin Nasution dalam perbahasannya di Dewan Rakyat semalam.
Pada 31 Mei lalu, komando Israel menyerang kapal bantuan Mavi Marmara menyaksikan lebih 10 aktivis terbunuh, manakala 12 sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal itu ditahan.
Menurut Saifuddin, tindakan itu disokong FBC Media, sebuah firma penerbitan TV dan komunikasi strategik Britain yang dilantik kerajaan Malaysia dan kerajaan Sarawak.
FBC Media menerbitkan program TV berkaitan Malaysia yang kemudian ditayangkan syarikat penyiaran antarabangsa seperti CNBC, CNN dan BBC.
Kerajaan Persekutuan pula membayar RM57.68 juta kepada FBC Media antara tahun 2008 dan 2009, manakala kerajaan Sarawak membelanjakan RM15 juta setahun untuk tujuan itu.
Saifuddin menambah, kontrak FBC media yang bermula pada 2007 dan berakhir pada 2010 itu berperanan menasihat, mengurus kempen komunikasi kerajaan, meningkatkan profil kerajaan dan Perdana Menteri serta menangani persepsi negatif negara di peringkat antarabangsa.
Tindakan FBC mendapatkan bayaran dari kerajaan Malaysia bagi menghasilkan program TV berkenaan, bercanggah dengan etika kewartawanan.
“Selepas siasatan badan regulasi media di Britain iaitu Ofcom, semua program FBC Media digantung,”
“Begitu juga di CNN dan CNBC yang menghasilkan program-program mengenai Malaysia,” kata Saifuddin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan