29 Oktober 2011

KDEB, ada kerja kosong tak?

Nazli Ibrahim | October 29, 2011

"Kerajaan negeri melantik sebuah syarikat kontraktor secara rundingan terus bagi menjalankan kerja-kerja penyelengaraan yang bernilai RM7.11 juta."
COMMENT

Ungkapan ‘rundingan terus’ dalam petikan di atas memang biasa kita terbaca sebelum ini dan lazimnya terutama bagi penyokong Pakatan Rakyat pasti dapat mengagak petikan ini merujuk kepada kerajaan pusat atau negeri di bawah Barisan Nasional (BN).

Tetapi kali ini anda salah, kerana kali ini ungkapan rundingan terus itu wujud di dalam kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan bukanlah dalam pentadbiran BN.
Saya percaya, kebanyakan penyokong Pakatan lebih-lebih lagi penyokong tegar tentu beranggapan kerajaan negeri Selangor yang ada hari ini akan membuka tender dalam setiap kerja-kerja yang melibatkan perbelanjaan wang kerajaan.

Rupa-rupanya tidak juga, masih ada lagi rundingan terus dan sekaligus membuat saya sendiri tertanya-tanya, syarikat manakah agak- agaknya yang bertuah itu dapat kontrak melalui rundingan terus dengan kerajaan negeri.

Ia juga membuatkan saya tertanya-tanya lagi, agak-agaknya siapalah pemilik dan manusia-manusia di dalam syarikat ini dan mereka ini saudara-mara atau suku-sakat kepada sipolan atau sianu siapa pula?
Kalau tidak, masakan boleh memperolehi kontrak secara rundingan terus begitu sahaja melainkan ada di antara pihak-pihak yang telah mengenali antara satu sama lain terlebih dahulu dan lazimnya mempunyai hubungan yang akrab, bukankah begitu?

Meskipun kontrak baru itu lebih baik harganya iaitu RM7.11 juta berbanding RM9.90 juta yang dimeterai oleh kerajaan BN sebelumnya, tetapi wajarkah kaedah rundingan terus ini dijadikan amalan oleh sebuah parti yang mendakwa diri mereka lebih telus?

Tambah menjadikan saya tertanya-tanya lagi, adakah wujud suatu pertikaian disebalik perjanjian itu apabila perjanjian itu tidak pula ditandatangani oleh Exco berkaitan.
Adakah isu rundingan terus ini mempunyai kaitan dengan pihak dan persamaan kisah-kisah mereka di sebalik bill board-bil board di sepanjang jalan raya di sekitar Selangor ini?
Bukankah tidak mustahil, kebarangkalian memperolehi sebut harga lebih baik itu tetap ada sekiranya tender dibuka kepada mana-mana kontraktor di negeri ini yang berminat.

Bayar bonus RM576,563

Bagaimana pula dengan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang menyebut Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) yang mencatatkan kerugian pada 2009 tetapi tetap membayar bonus berjumlah RM576,563 kepada 30 kakitangannya.
Aduhai, serta-merta hati saya melonjak-lonjak ingin mencari kenalan yang bekerja di syarikat ini sebab manalah tahu kalau-kalau ada kekosongan jawatan, walaupun cuma kerani rendah pun tidak kisahlah.

Cuba bayangkan dengan pengiraan mudah, RM576,563 dibahagikan 30 orang, secara purata setiap seorang memperolehi RM19,218.67 dalam bentuk bonus tahunan.
Kalau pun kemungkinan kakitangan rendah memperolehi kurang dari jumlah yang disebutkan di atas ekoran bahagian lebih besar disapu oleh kepala-kepala di atas, sekurang-kurangnya cecah angka RM10,000 agak pasti, tetapi itu pun cuma congakan saya.
Agaknya congak kepala-kepala di atas itu pula, tidak kisahlah walaupun syarikat rugi dan mesyuarat yang sepatutnya diadakan cuma empat kali setahun pun kantoi, tetapi bab bonus jangan sesekali kantoi dan pastikan lumayan.
Bagi orang yang terkais-kais seperti saya, kalaulah dapat RM10,000 memang sudah cukup besar dan dah kira patut buat majlis kenduri kesyukuran!
Itu baru dua, belum lagi sebut tentang jumlah hasil dan pelaburan menurun, jualan Kumpulan Harta Selangor Berhad (KHSB) tidak ikut pasaran semasa dan beberapa perkara lain yang juga disentuh dalam LKAN.

Kepada pemimpin-pemimpin Pakatan khususnya dari PKR, kalau mahukan sepenggal lagi, tidak usahlah memuji tinggi melangit akan pencapaian kerajaan Pakatan negeri Selangor yang juga ada terkandung dalam LKAN.

Sebaliknya adalah lebih baik sekiranya teguran dan tumpuan diberikan untuk memperbaiki kelemahan prestasi pengurusan kerajaan negeri yang ada pada masa sekarang.
Ingat, para pengundi di Selangor sedang memerhatikan anda dan jangan sampai mereka kesal dengan pilihan mereka pada pilihan raya 2008 lalu kerana milihat anda yang sama sahaja seperti ‘penunggu mahligai RM24 juta’ dan kuncu-kuncunya sebelum ini.-FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan